Bono Stellar telah mengamalkan peneguhan positif melalui gelombang otak Theta selama hampir satu tahun
Oleh DANIAL FUAD
Semenjak hampir satu tahun yang lalu, seniman Nawwar Shukriah Ali atau lebih dikenali sebagai Bono Stellar telah mengkaji gelombang otak Theta. “Dalam perjalanan menyembuhkan diri sendiri, terdapat pelbagai cara dan langkah yang saya telah cuba dan gelombang otak Theta ini merupakan yang terbaharu yang saya amalkan untuk melahirkan rasa syukur dan menabur niat di alam minda bawah sedar,” ujar Bono.
Gelombang Theta ini merupakan salah satu daripada empat gelombang otak utama yang berkait dengan pelbagai keadaan semasa otak. Bono berkongsi, “gelombang otak Theta ini wujud apabila kita dalam keadaan mamai dan ia merupakan waktu yang paling terbuka untuk menerima idea.”
Menurutnya lagi, setiap insan lahir dalam keadaan suci; ketika membesar dan berhadapan dengan bermacam isu serta masalah membuatkan otak kita mengehadkan kepercayaan kepada diri sendiri. “Untuk membuang masalah ini, kita boleh mengambil kelebihan keadaan Theta ini untuk menerapkan keyakinan melalui muhasabah diri sebelum tidur,” Bono mengulas.
Sehubungan dengan itu, Bono mengajak orang ramai untuk melangkah ke alam mimpi dan melihat potensi diri sendiri melalui karya terbaharunya yang berjudul Theta di Balai Seni Negara, Kuala Lumpur.
Kongsi beliau lagi, “otak kita akan mereneh kata-kata semangat yang kita terapkan sebelum tidur melalui minda separa sedar dan apabila kita bangun pun kita perlu mengulangi kata-kata semangat itu. Saya dapat lihat perubahan dalam diri saya apabila mengamalkan perkara tersebut daripada sentiasa berfikiran negatif kepada lebih yakin dan mudah untuk menenangkan diri sendiri.”
Hadir dengan identiti warna-warni dan kepingan akriliknya, karya Theta ini dipamerkan di Ruang Hanya Satu di lobi Balai Seni Negara yang bakal menjemput orang ramai sejurus masuk galeri tersebut. Ia akan mewujudkan pengalaman seperti mimpi yang nyata, sambil mencetus tanda soal, rasa ingin tahu serta renungan dalam kalangan penonton.
“Walaupun cerita di sebalik karya saya kebanyakan sedih, tetapi saya tidak mahu menekankan penggunaan warna sedih kerana tanpa saya sedari, kebanyakan karya saya juga menceritakan tentang harapan. Kita tidak perlu menjadi sedih untuk menceritakan kesedihan supaya kita lebih menumpukan kepada penyembuhan diri dan masa depan,” ujar Bono berkenaan karya-karyanya.
Kebanyakkan karya Bono terdapat penamaan Yunani di dalamnya seperti Charmolypi dan Eudaimonia. Beliau telah megulasnya, “saya memilih tajuk bahasa Yunani kerana keindahan bahasa tersebut dan terkait dengan falsafah dan psikologi yang mana saya sering terokai temanya. Theta ini juga secara tidak sengaja merupakan huruf Yunani kerana pada asalnya saya memang mengkaji gelombang otak itu dan langsung menjadikan tajuk karya saya.”
Beliau sering bekerjasama dengan pelbagai jenama besar seperti Google, Vans, H&M, BMW dan Mini Cooper antaranya dan ia telah membantu dalam perkembangan artistiknya. Ujar Bono, “antara cabaran dalam bekerjasama dengan jenama besar ini adalah bagaimana untuk menggabungkan identiti anda sendiri bersama dengan identiti jenama tersebut. Secara tidak langsung ia telah membantu saya untuk berkembang dan mempunyai suara sendiri yang mampu menyesuaikan diri dalam pelbagai situasi.”
Tambahnya lagi, “Setiap karya saya perlu mempunyai kesinambungan antara satu sama lain walaupun saya bekerja dengan pelbagai jenis bahantara dan gaya kerana identiti itu penting dalam pengkaryaan.”
Bono mengujar, “saya dan pasukan sedang menjalankan beberapa projek juga sejajar dengan Theta ini dan apa yang menariknya untuk tahun ini, setiap projek menggunakan bahantara yang berbeza. Pameran tunggal juga ada timbul dalam kepala tetapi harus tengok keadaan semasa bagaimana.” Sebarang kemaskini aktiviti Bono boleh didapati di laman Instagramnya.
Pameran Theta ini berlangsung daripada sekarang hingga 24 Julai 2023 dan Balai Seni Negara dibuka setiap hari daripada 9pg hingga 5ptg. Maklumat lanjut berkenaan pameran boleh didapati di laman Instagram Balai Seni Negara dan juga laman sesawang mereka.
Ikuti kisah menarik lain yang terdapat di BASKL melalui pautan di bawah: