Festival What About Kuching, WAK 2022 himpunkan ratusan acara setiap hari di bulan Oktober!

Melebarkan sayapnya melalui senarai 24 kategori acara pada tahun ini, WAK 2022 pasti akan menghidupkan setiap deria anda!

Oleh NABILA AZLAN

What About Kuching yang mudah digelar WAK merupakan festival yang diadakan setiap Oktober sejak tahun 2017. Direktor dan pengasas bersama WAK, iaitu Donald Tan dan Marina Foo yang arif tentang selok-belok festival mengimpikan sebuah himpunan acara gemilang yang mengetengahkan seni, budaya dan gaya hidup masyarakat di Kuching dan Sarawak secara keseluruhannya – maka lahirlah festival ini!

Penggiat utama; diambil dari bual ekslusif Donald Tan dan Marina Foo bersama pelatih Swinburne mereka di YouTube rasmi What About Kuching.

Nama WAK yang boleh diterjemahkan kepada “Bagaimana pula dengan Kuching?” ada ceritanya sendiri – bandar Kuching sering ‘dilupakan’ apabila kita menyentuh bab penyenaraian lokasi untuk acara-acara besar. Namun tidak lagi, kerana bulan ini saban tahun didedikasikan untuk menghimpunkan pelbagai program di bawah payung yang sama.

Bermula dengan 75 buah acara pada tahun pertamanya, WAK 2022 menjanjikan 181 buah acara unik merentasi 34 buah lokasi sekitar Kuching. Setiap hari, pengunjung akan dapat menikmati dan alami sendiri lebih 400 buah acara! Penat lelah dua bulan kritikal yang dijalani oleh Tan dan Foo bersama-sama semua pihak yang terlibat, termasuk kumpulan penganjur, peminat, dan kolaborator dalam merancang program ini ternyata tidak sia-sia – selepas ketiadaan festival WAK pada tahun 2020 dan 2021 akibat ‘rehat pandemik’, ia kembali dengan semangat baru.

Pada awal bulan ini, pelancaran program WAK 2022 di Old Court House disaksikan oleh YB Dato Sri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah, YB Datuk Snowdan Lawan dan Hii Chang Kee serta wakil dari Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Pentas. Kata Tan dalam ucapan perasmiannya, “Para penggiat industri kreatif hanya diberikan sebulan untuk menghantar kertas kerja (proposal) masing-masing – tetapi hasil yang diterima amat mengagumkan. Kami bertemu dengan semua yang menghantar idea-idea unik dan inovatif selama dua minggu berturut-turut, dengan lebih kurang empat sesi perkongsian lanjut setiap hari!”

Genre acara pelbagai yang dipentaskan di bandar Kuching dari 1 hingga 31 Oktober 2022 meliputi muzik, tari, teater, spoken word dan bermacam-macam lagi. Selain itu juga, WAK 2022 digandingkan pula dengan SproutFest di The Spring Mall yang membawa himpunan konsep berkebun serta penjualan makanan yang berteraskan ‘dari ladang terus ke meja (farm to table)’. Festival yang sudah berlangsung selama lebih kurang dua minggu ini juga menjadikan bengkel, bual bicara dan bermacam-macam peraduan menarik sebagai tarikan pengunjung.

Sukar untuk kami senaraikan setiap satu acara yang dimuatkan di dalam edisi WAK 2022!

Untuk senarai penuh acara di festival ini, sila lawati laman Kalendar Acara.

Selanjutnya ada di laman rasmi What About Kuching (WAK). Ikuti lnstagram WAK untuk info terkini!

Anda juga boleh membaca cerita lain di sini:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites