Exposure+ Photo mencari karya menarik fotografi dan video untuk pameran

Exposure+ Photo kini kembali untuk siri kedua dengan panggilan terbuka hingga 31 Mac

Oleh DANIAL FUAD

Festival fotografi merupakan suatu yang tidak asing lagi bagi latar fotografi luar negara. Thessaloniki Photobiennale dan Les Rencontres D’arles boleh dikatakan antara festival yang tertua yang mempunyai sejarah hampir 30 tahun. Malaysia juga tidak ketinggalan dengan kewujudan festival seperti Kuala Lumpur Photography Festival antara yang ada di sini yang bermula sejak 2013. Kini terdapat juga pemain baru di latar fotografi Malaysia yang diterajui oleh Steven Lee dan Nadirah Zakariya.

Steven merupakan seorang jurugambar bebas yang berpusat di London, di mana beliau memulakan perjalanan sebagai jurugambar dokumentari dan telah membuat pameran semenjak dari tahun 1990-an lagi di Tokyo, Paris dan London. Nadirah pula merupakan seorang jurugambar di mana gambar-gambarnya telah diterbitkan dalam majalah seperti The New York Times, NYLON, Bloomberg dan Vice serta telah membuat di New York, London, Paris dan San Francisco. Selain daripada itu, jurugambar berusia 39 tahun ini juga aktif dalam membuat muzik video untuk artis seperti Dato’ Siti Nurhaliza, Daiyan Trisha dan Nur Fazura antaranya.

Diberi nama Exposure+ Photo, festival ini dilancarkan pada tahun 2021 dan kini mereka kembali untuk siri kedua tahun ini. “Pada Disember 2019, saya dan Nadirah sering berhubung melalui WhatsApp untuk projek kami di Jepun dan ia membuat kami terfikir untuk melakukan perkara sebegini di Malaysia juga,” ujar Steven tentang bagaimana kerjasama antara mereka berdua bermula. Di situ bermula festival pertama mereka yang diberi nama KL20X20 sempena Wawasan 2020.

KL20X20 telah berlangsung dengan penyertaan oleh 18 orang jurugambar dan Nadirah mengulas, “Setelah projek itu selesai, kami tidak menjangka untuk meneruskannya akan tetapi terdapat teman yang mula bertanya tentang tema untuk tahun depan.” Dari situlah bermulanya festival Exposure+ Photo, “Kami tidak mahu menghadkan diri kepada satu bandar sahaja. jadi kami mengelakkan penggunaan nama KL dan menghidupkan semula satu program bimbingan Steven yang digelar Exposure+,” tambah Nadirah lagi.

“Panggilan terbuka dibuat pada tahun 2021 dan kami telah menerima lebih kurang 90 kertas kerja,” ujar Steven. Akibat daripada pandemik yang melanda dunia, festival terpaksa diadakan pada Februari 2022 dengan penyertaan seramai 11 jurugambar tempatan dan lima jurugambar antarabangsa. Berlangsung di lapan tempat yang berbeza, Nadirah telah menyatakan, “Keputusan untuk mempamerkan karya-karya di pelbagai lokasi di luar kebiasaan bukan sahaja diterima baik oleh khalayak ramai tetapi oleh pengusaha lokasi tersebut kerana ia membantu perniagaan mereka”.

Untuk tahun ini, mereka kembali lagi di mana panggilan terbuka sedang berlangsung untuk orang ramai menghantar kertas kerja. “Hanya terdapat beberapa galeri di Kuala Lumpur yang mempamerkan karya fotografi jadi sedikit sukar untuk jurugambar yang baru untuk menempa nama. Diharapkan festival seperti ini dapat membantu mereka kerana selain dari fizikal, kami juga mempunyai mempunyai kehadiran atas talian yang kuat,” ujar Steven.

Jika sebelum ini temanya menggunakan satu perkataan iaitu Belong, Nadirah telah menyatakan tema tahun ini, “Untuk melakukan sedikit kelainan, kami telah memutuskan untuk menggunakan frasa dan bukannya satu perkataan sahaja. Jadi keputusan telah dibuat di mana tema A Different Light digunakan untuk tahun ini.”

“Sepanjang dua tahun yang lalu, terdapat banyak festival dan anugerah fotografi menggunakan tema COVID jadi kami memilih A Different Light di mana ia meliputi semua genre di mana apa yang penting adalah untuk mempunyai pandangan segar terhadap idea sedia ada,” tambah Steven.

Walaupun diberi nama Exposure+ Photo, kertas cadangan tidak terhad kepada karya fotografi sahaja di mana karya video juga diterima. “Kami memang menerima karya video semenjak dua edisi yang lepas, tetapi tahun ini kami ingin menekankan bahawa karya video sangatlah dialukan,” ujar Nadirah. Steven menambah, “apa yang penting adalah anda harus meyakinkan panel karya anda berkait dengan tema.”

“Selain daripada kami berdua, terdapat dua orang panel antarabangsa iaitu Ihiro Hayami, pengasas T3 Photo Festival dan juga Carol Körting, editor foto untuk Leica Fotografie International Magazine,” ulas Steven. “Ini merupakan percubaan pertama kami dalam mendapatkan pandangan antarabangsa di mana kami merasakan ia sangat penting,” tambah Nadirah.

Berlangsung pada 21 Sep hingga 1 Okt 2023, panggilan terbuka untuk menghantar kertas kerja sedang berlangsung dan bakal berakhir pada 31 Mac ini. Orang ramai boleh menghantar sehingga dua kertas kerja bersama dengan kenyataan projek dan 10-15 gambar. Nadirah telah mengulas, “Apa yang paling penting adalah anda boleh menyiapkan projek pada bulan Jun dan seeloknya ia adalah projek yang sedang berjalan atau pun baru sahaja selesai.” Terdapat yuran penyertaan sebanyak RM35 untuk jurugambar Malaysia dan USD25 untuk jurugambar antarabangsa bagi setiap kertas kerja.

“Saya berharap agar ramai lagi pengunjung tempatan yang akan datang ke festival ini bukan sahaja dalam komuniti kami sendiri malahan luar daripada kebiasaan,” ujar Steven. Nadirah telah menambah, “Tidak banyak peluang yang ada untuk mempamerkan karya fotografi dan kami tidak mahu menunggu untuk orang lain membuatnya sedangkan kami berkemampuan untuk membina pentas itu sendiri.”

Maklumat lanjut berkenaan panggilan terbuka Exposure+ Photo ini boleh didapati di laman sesawang mereka. Boleh ikuti Instagram Steven dan Nadirah di sini untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan mereka.

Ikuti pautan di bawah untuk kisah menarik yang lain di BASKL:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites