EXPOSURE+ acara bertaraf antarabangsa, hasil kerjasama tempatan

EXPOSURE+ Photography Festival kembali untuk siri keduanya yang mempamerkan projek fotografi daripada 20 seniman tempatan dan antarabangsa sehingga 1 Okt ini.

Teks oleh DANIAL FUAD Gambar oleh ALL IS AMAZING

Kesihatan latar fotografi di Malaysia

Fotografi sebagai seni halus merupakan sesuatu yang sukar diterima khalayak bukan sahaja di Malaysia malahan di luar negara. Salah satu sebabnya adalah kerana sifat mekanikal kamera yang hanya mampu merakam berbanding dengan imaginasi para pelukis catan. Namun begitu, perkara tersebut tidak menghalang para jurugambar untuk cuba menembusi latar seni tampak.

Akan tetapi, seni fotografi hidup cukup sihat dalam lingkungan mereka tersendiri seperti kumpulan Facebook Fotografi Jalanan Malaysia yang mempunyai 25,000 ahli. Selain daripada itu, pelbagai acara fotografi kian bercambah mengikut tahun dengan acara Kuala Lumpur Photography Festival yang baru sahaja mencecah 10 tahun umurnya tahun 2023. Selain itu, terdapat juga Kuala Lumpur International Photoawards (KLPA) yang bermula pada tahun 2009 sehingga kini.

Walaupun jurugambar seni halus boleh dikatakan kurang pemainnya, tetapi kita mempunyai jurugambar seperti Alex Moh, Ismail Hashim, Dr. Azril Ismail dan Soraya Yusof Talismail  yang aktif dalam latar seni nampak. Kita juga mempunyai jurugambar komersial yang hebat belaka seperti Bustamam Mokhtar, Amri Ginang, Nana Safiana dan Annice Lyn yang antara mereka terkenal di dalam dan juga luar negara.

EXPOSURE+ Photography Festival

Menambah sebuah lagi acara fotografi yang kian meningkat naik namanya adalah EXPOSURE+ Photography Festival. Diasaskan oleh dua jurugambar sohor Malaysia, Nadirah Zakariya dan Steven Lee, festival ini bermula sebagai KL20X20 pada tahun 2020; mereka membuat keputusan untuk menukar nama acara mereka kepada EXPOSURE+ Photography Festival untuk tidak menghadkan kepada Kuala Lumpur sahaja.

Baru sahaja dilancarkan pada 21 Sept lalu, festival ini dianjurkan untuk kali ketiga yang sarat dengan jurugambar tempatan di samping antarabangsa. Awal tahun lalu, mereka telah membuat panggilan terbuka untuk kertas cadangan projek fotografi. Dengan tema, A Different Light (Sudut Yang Berbeza), pengasas bersama festival itu, Steven telah menyatakan, “kami menerima lebih dari 160 permohonan dari seluruh pelusuk dunia. Daripada jumlah ini, panel juri kami terdiri dari nama-nama besar industri termasuk Ihiro Hayami, pengarah T3 Photo Festival Tokyo dan Carol Körting, editor foto majalah LFI (Leica Fotografie International) telah memilih 20 artis dengan projek yang memberikan impak terbesar”.

Seniman-seniman terlibat

20 seniman ini sedang mempamerkan hasil karya mereka di 10 lokasi di sekitar bandar raya Kuala Lumpur; dua lagi lokasi baru telah diperkenalkan, biarpun tahun lepas mereka mempunyai lapan buah lokasi sahaja.

Penyertaan kali ini cukup pelbagai, peserta datang dari seluruh penjuru dunia hingga terdapat penyertaan daripada Venezuela, Uruguay, Italy, Hong Kong, Jepun dan tentulah daripada Malaysia juga.

Pelbagai tema diterokai oleh jurugambar-jurugambar ini; di antaranya tentang hubungan kekeluargaan, pendewasaan dan juga penderaan rumah tangga. Seramai 11 orang jurugambar antarabangsa dan sembilan orang jurugambar tempatan telah disenarai pendek untuk siri festival tahun ini.

Nadirah telah mengulas, “Fokus festival ini adalah untuk mengetengahkan projek fotografi termasuk video yang dekat dengan hati dan jiwa khalayak festival. Tema yang dipilih penganjur adalah cukup luas untuk diinterpretasikan dalam genre fotografi yang berlainan dan boleh dianggap sebagai tema yang boleh dibawa ke pelbagai arah”.

Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat

Semestinya festival ini sukar untuk direalisasi tanpa kerjasama pelbagai pihak. Bak kata pepatah, berat sama dipikul ringan sama dijinjing; festival tahun ini telah disokong oleh pelbagai pihak. Penaja dan rakan kongsi seperti Canon Malaysia, KLPA, Photobook Club Kuala Lumpur, JCPR, Filamen, Rozou Project, Gueari Galeri dan juga Tryke Malaysia telah berganding bahu bersama pengajur dalam pelbagai aspek.

Selain daripada itu, EXPOSURE+ Photography Festival tahun ini juga telah disokong oleh Kedutaan Itali Kuala Lumpur, Goethe Institut, temu house dan mingle. Tidak dilupakan rakan kongsi yang menyediakan lokasi pameran seperti GMBB, REXKL, Book Xcess, Kloe Hotel, LOKL Coffee, High Street Studios, Kantata, Triptyk, Zon Tiga dan Zhongsan Building.

Boleh dikatakan festival kali ini mempunyai lebih ramai rakan kongsi dan ini merupakan perkara yang baik kerana makin ramai merasakan kepentingan acara ini yang memberikan manfaat kepada ramai orang.

Jangkamasa festival

EXPOSURE+ Photography Festival ini sedang berlangsung sekarang sehingga 1 Oktober dengan lokasi di sekitar kotaraya Kuala Lumpur. Maklumat lanjut untuk lokasi dan juga barisan seniman terlibat sepenuhnya boleh didapati di laman sesawang mereka. Selain daripada pameran, terdapat pelbagai jenis aktiviti telah dirancang oleh penganjur. Jadual aktiviti juga boleh didapati di tempat yang sama.

Syabas diucapkan kepada pihak penganjur kerana berjaya menghasilkan festival yang bertaraf antarabangsa. Tentunya bukan sahaja jurugambar bahkan orang ramai boleh memanfaatkan program yang dihasilkan sepanjang festival ini. Diharapkan acara seperti ini kian bertambah untuk mencerminkan tahap kesihatan latar fotografi di Malaysia ini dan menempatkan negara ini di mata dunia dengan lebih jelas.

Ikuti pelbagai lagi kisah menarik yang terdapat di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites