Ekspresi Seni Mural, Penambah Seri, Pendukung Budaya

Oleh NIDA ZAHAR untuk Lensa Seni

“Mural perlu dilihat daripada perspektif baharu. Ia bukan sekadar contengan, tetapi suatu seni bernilai tinggi yang mampu menyampaikan mesej-mesej positif kepada masyarakat.” Begitu aspirasi Amer Farouk atau mesra dengan panggilan Amer, seorang pemuda yang telah menaikkan mural di persada seni visual tanah air.

Dia tidak menyangka, usaha suka-suka dengan teman artisan untuk melukis mural bertema ‘Barisan Hadapan’ (COVID-19) telah membuka ruang kepada projek berskala besar. Malah inisiatif itu juga telah menjadi pencetus kepada tertubuhnya pasukan pelukis mural yang menggelar diri mereka sebagai Project ZeroSix.

Menurut Amer, idea penghasilan mural di Jambatan Tanjung Lumpur itu pada asalnya mendapat ilham daripada aliran serupa yang sedang popular.

“Semasa pandemik mula-mula melanda, ahli barisan hadapan di seluruh dunia telah kehilangan arah dan kehabisan tenaga. Ramai yang terlalu penat akibat kerja lebih masa, dan ada pula yang sedih kerana berjauhan dengan keluarga. Mereka perlu diberikan semangat. Salah satu cara untuk menyatakan penghargaan dan tanda sokongan tersebut adalah dalam bentuk sebuah mural.” Tambahnya.

Mural penghargaan buat Barisan Hadapan semasa dalam pembinaan.

Setelah berbincang dengan kenalan artis yang lain – Ahmad Fadzril (Faz Figura), Kamal Idris (Kamal Patio) dan Muhammad Ikmal (Jund) – mereka bersepakat untuk mengabadikan hasil kerja tangan mereka pada satu kawasan dinding di Jambatan Tanjung Lumpur.

“Kami lihat di Jambatan Tanjung Lumpur ada satu kawasan tiang dinding di mana terdapat grafiti berbaur negatif. Kami terfikir untuk menggantikan lukisan itu dengan mesej yang lebih bermakna,” ujarnya. Mural tersebut berjaya disiapkan dalam masa tujuh jam.

Siapa sangka, hasil kerja mereka menjadi tular dan mendapat perhatian Datuk Bandar Kuantan, sekaligus membuka peluang kepada Project ZeroSix untuk menghasilkan beberapa mural lagi di sekitar bandar raya itu.

Cabaran projek mega pertama Project ZeroSix

“Alhamdulillah, tidak lama kemudian, kami telah dihubungi Majlis Perbandaran Kuantan yang kini telah dinaik taraf kepada Bandaraya, untuk menghasilkan Kuantan Art Street, sebuah tarikan baharu berkonsepkan mural sempena pengisytiharan Kuantan sebagai sebuah bandar raya,” kata Amer apabila ditanya tentang projek mega pertama yang diberikan kepada Project ZeroSix.

Untuk projek tersebut, sebatang lorong belakang barisan kedai lama di antara Jalan Besar dan Jalan Mahkota telah dipilih sebagai ‘kanvas’ lukisan agam memaparkan kisah rakyat dan identiti negeri Pahang.

Pemandangan Kuantan Art Street.

Mural sepanjang 200 meter itu dihasilkan oleh 13 artis anak jati Pahang diketuai Project ZeroSix sendiri. Kerja-kerja yang bermula sejak Disember 2020 mengambil masa lebih lama daripada yang dijangkakan akibat kekangan pandemik dan cuaca.

Selain itu, penggunaan kren pengangkut untuk dinding yang tinggi juga menjadi antara cabaran utama. Namun, semangat kumpulan pelukis itu tidak pudar memandangkan seni yang dipaparkan membawa maksud tersendiri kepada bandar raya Kuantan dan berjaya menarik pengunjung walaupun masih dalam pembinaan.

Walaupun merasa segan dengan keadaan itu, Amer dan rakan-rakannya berbangga kerana mural yang mereka hasilkan berjaya menarik pelancong luar dan tempatan. Mural Kuantan Art Street akhirnya siap sepenuhnya pada Mac 2021.

Amer berkata, reaksi orang ramai melihat mural yang dihasilkan sering mencuit hatinya. Antaranya ialah lukisan kerbau hitam menarik pedati berisi hasil laut yang diilhamkan daripada masyarakat nelayan Pantai Beserah yang menggunakan khidmat haiwan itu sekitar 70-an bagi memudahkan kerja pengangkutan.

Selain kerbau, mural yang turut mendapat perhatian ialah lukisan corak batik ala Cherating dan aktiviti papan luncur yang terkenal di Cherating yang dikatakan mempunyai ombak setinggi lima kaki.

Turut diabadikan ialah paparan seorang lelaki memasak burger dikenali sebagai Lan Burger. Mengikut sejarah lisan masyarakat setempat, gerai Lan Burger ialah gerai burger pertama di bandar Kuantan yang beroperasi pada tahun 1977.

Orang ramai yang melalui Jalan Mahkota pasti tidak akan terlepas pandang mural agam yang menjadi tarikan utama. Mural pada bangunan dua tingkat itu memaparkan lukisan seorang tukang kasut yang membuka gerainya betul-betul di tepi bangunan tersebut.

Mural Tukang Kasut yang mengangkat peniaga setempat sebagai subjek.

Mural-mural lain yang terdapat di Kuantan Art Street termasuklah Naga Tasik Chini, 25000 (poskod Kuantan), Sudirman, dan pelbagai watak masyarakat setempat.

Menurut penduduk sekitar, landskap Bandaraya Kuantan lebih meriah dengan adanya Kuantan Art Street. “Apa yang saya dengar, peniaga di sini berasa gembira dengan impak penghasilan mural-mural ini kerana lorong belakang yang dahulunya gelap kini lebih hidup disebabkan lukisan kami. Malah, penambahbaikan dan pembersihan lorong sebelum kerja-kerja mural bermula telah menjadikan lorong lebih bersih dan bebas daripada haiwan perosak seperti tikus,” ujar Amer dengan rasa syukur.

Mural Allahyarham Sudirman, seorang bintang persada seni tanah air yang juga anak kelahiran Pahang.

Menurut Amer lagi, dia dan rakan-rakannya berharap hasil seni mereka di Kuantan Art Street berjaya menarik kedatangan pelancong ke situ setelah sekian lama menyepi akibat pandemik COVID-19. Apa yang lebih utama, karya-karya yang telah dihasilkan mengetengahkan elemen warisan dan budaya Pahang yang sewajarnya diberikan perhatian agar terus kekal di jiwa rakyat.

Teknik penghasilan mural berskala besar untuk Kuantan Art Street

Berkongsi mengenai penghasilan mural berskala besar, menurut Amer, terdapat beberapa teknik yang digunakan pelukis termasuklah freehand, pancaran projektor dan grid. “Bagi Project ZeroSix termasuk di Kuantan Art Street, kami memilih untuk mengaplikasikan teknik grid,” ujar Amer.

Teknik grid ialah satu kaedah penghasilan mural yang dimulai dengan melukis objek-objek doodle atau contengan pelbagai bentuk untuk memenuhi dinding yang bakal dimuralkan. Contengan ini bertindak seakan grid atau tanda pada dinding, dan perlulah mempunyai tona yang ringan agar tidak kelihatan apabila mural siap, contohnya bagi dinding putih, warna yang sesuai untuk lakaran grid ialah kuning.

Pelukis kemudiannya perlu mengambil gambar keseluruhan dinding yang telah digridkan tadi di telefon bimbit. Seterusnya, dengan menggunakan aplikasi imej, pelukis hendaklah menindan imej lukisan atau motif yang bakal dilukis ke atas grid contengan tadi. Dengan melakukan langkah ini, pelukis mendapat satu skala atau perkadaran yang lebih tepat bagi lukisan yang bakal dimuralkan.

Bagi teknik grid, penggunaan telefon bimbit adalah penting kerana menurut Amer, pelukis perlu kerap merujuk kepada imej yang telah ditindan tadi sepanjang proses melukis. Seterusnya, pelukis bolehlah mula melukis dengan melakar garisan. Proses diteruskan dengan kerja-kerja mewarna dan melakar butiran sehinggalah mural siap.

Bagi kumpulan Project ZeroSix, mereka serasi dengan teknik ini kerana ia mudah diaplikasikan terutamanya dalam kerja-kerja yang dilakukan secara berkumpulan.

Apabila ditanya bagaimana dia boleh terlibat dengan seni lukis, anak jati Pahang ini berkata, dia asalnya meneroka bidang ini melalui kerja-kerja air brush.

“Latar belakang pendidikan saya bukanlah dalam bidang seni. Selepas SPM, saya mengambil bidang teknologi penyelenggaraan. Tetapi, oleh kerana saya suka melukis, saya membuka bengkel airbrush yang bertumpu kepada produk helmet dan motosikal.

“Di situlah saya menambah kemahiran melukis, dan lama kelamaan membawa kepada karya yang lebih besar,” ujarnya yang telah melukis beberapa mural sebelum bertemu dengan rakan-rakan artis lain untuk menubuhkan Project ZeroSix.

Antara karya-karya mural terawalnya termasuklah Vespa dan Cobler.

Amer sedang menyiapkan karya terawalnya, Vespa.

Menurut Amer, walaupun bermula secara individu, dia seronok bergerak secara berkumpulan kerana impak hasil karya menjadi lebih besar dan bermakna.

“Pada saya, setiap karya itu bukanlah hasil saya seorang sahaja. Semuanya adalah hasil usaha gigih sebuah pasukan,” ujarnya.

“Artis memainkan peranan besar dalam masyarakat. Kita boleh melukis apa sahaja dan kesannya nanti adalah kepada mereka yang melihat karya kita. Bagi Project ZeroSix, kami mahu bawakan seni dengan mesej budaya yang positif serta mengetengahkan lebih banyak unsur-unsur warisan agar ia kekal, sekurang-kurangnya dalam bentuk lukisan,” ujar Amer mengakhiri perbualan.

Untuk melihat karya-karya mural dan perkembangan terkini Amer dan kumpulan Project ZeroSix anda boleh klik di SINI.

Penulis bergambar di hadapan mural kegemarannya, motif batik ikat ala Cherating

Nida Zahar merupakan peserta daripada CENDANA ARTS WRITING MASTERCLASS & MENTORSHIP PROGRAMME 2021. Jika anda ingin membaca artikel lain yang menarik daripada peserta program ini, anda boleh klik di LENSA SENI dan dapatkan maklumat terkini mengenai program menarik anjuran CENDANA.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites