Di ‘September’ terbentang perspektif yang bermain di minda

Oleh ADRIANA NORDIN MANAN

Sejurus mendapat tahu bahawa kunjungan ke galeri diizinkan setelah beberapa lama, saya terus ke The Back Room di Bangunan Zhongshan untuk melawat pameran September oleh Noor Mahnun Mohamed. Meskipun terdapat pilihan untuk melawat pameran tersebut dalam talian, keinginan untuk menggarap dimensi ruang dan susunan karya seperti dihasratkan seniman dan kurator lebih memanggil diri. 

Dua perkataan yang berlegar di fikiran setelah melawat pameran tersebut adalah skala dan corak. Skala kerana karya yang dipamerkan boleh dianggap kecil (20x20cm), dan kekecilan itu lebih ketara apabila dibandingkan dengan dinding putih luas yang melatari susunan 20 karya berbingkai tersebut. Kita diharuskan mendekati setiap karya, mengambil masa untuk mengamati corak dan membina naratif untuk cuba meneka hasrat atau ilham di sebalik setiap satu.

Sejujurnya, pengalaman saya di September dipengaruhi suatu kejadian di luar kawalan. Pelawat akan perasan yang tiada sebarang tulisan atau kenyataan seniman yang mendampingi karya. Rupa-rupanya, saya dikhabarkan yang risalah pameran tiada kerana terkandas di syarikat pencetak di kala Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Jika ingin dibaca versi dalam talian boleh sahaja, tetapi terasa seperti mengalihkan pandangan dari karya yang terpampang di depan mata, untuk mengelamun dan merenung skrin. Rugi jika kesempatan tidak diambil untuk menikmati saat keberadaan di ruang nyata.

Corak karya catan Noor Mahnun Mohamed ‘cerulean blue monday’

Corak karya catan Noor Mahnun, yang lebih mesra dipanggil Anum, memiliki unsur ulangan dan tindanan yang begitu rapi dan bersudut tajam. Corak zigzag dan lozenj intan (“diamond lozenge”) yang tersusun rapat kelihatan seperti dawai pagar, susunan bata ataupun tikar anyaman. Perspektif lukisan berulang yang seperti bermain silap mata dengan fahaman perspektif lukisan dari sudut pandang penatap mengingatkan diri kepada karya M. C Escher, seniman Belanda yang dikenali dengan seni berlandaskan pola matematik, ulangan dan tindanan imej.

Tulisan seperti “Sky Blue,” “Wow” dan “Dye”  mungkin menyingkap perasaan Anum ketika berkarya di masa PKP. Ada kepelbagaian warna (setiap satu dipamerkan secara berpasangan dengan warna putih), dan meskipun naratif masih samar, ketekunan seniman untuk melukis corak berulang dengan begitu kemas dan yakin tetap dihargai.

wow #3

Setelah meninggalkan galeri, baru diambil masa untuk membaca kenyataan seniman di laman sesawang The Back Room. Rupa-rupanya Anum sudah menghuraikan dengan terperinci kisah permulaan September dan di sebalik setiap karya.  Dalam pengalaman singkat saya sebagai pengulas seni, jarang terdapat seniman yang menulis esei sendiri dan memberi penerangan menyeluruh dan mutlak tentang makna karya yang dipamerkan. Inspirasi termasuk seni bina Jerman (negara di mana Anum menghabiskan tujuh tahun ketika menuntut dalam jurusan seni halus pada awal 90-an), mural Renaissance Itali serta tokoh sains tersohor Isaac Newton.

Esei Anum juga mempelawa pelawat memahami proses penghasilan karya dari kaca mata seniman. Lukisan berulang menjadi fokus pengkaryaan berikutan proses beliau mendalami aspek pengkaryaan seperti lukisan botani, teknik cat air, warna pelangi dan seterusnya. Menggunakan pensel, Anum menghasilkan lukisan garisan zigzag bersilang berulang-ulang.

“Proses menghasilkan corak memakan masa yang lama, dan bukan sesuatu yang mengasyikkan. Bermula sebagai tindakan ingin mendalami konsep ketekunan, ia kemudian menjadi obsesi,” ujar Anum.

Sejarah karya turut dijelaskan, manakala kenyataan kurator pula menyatakan bahawa perkataan yang muncul di beberapa karya ibarat permainan psikologi hubung kait. Tidak ada susun atur yang mengikut pola tertentu, dan oleh itu muncul perkataan ketiga di minda saya, iaitu kerawakan. Kerawakan dalam kerencaman fikiran, tema renungan dan pemerhatian ketika pandemik. Minda terasing lebih ligat berkeliaran mungkin.

September ialah pameran yang membuka tirai kepada proses pengkaryaan, terutama sekali memandangkan perkongsian bertulis yang menyeluruh oleh seniman. Skala kecil, berulang dan rawak. Mungkin ada maksud tersirat di sebalik permainan hubung kait perkataan yang dibuahkan oleh pameran September di bulan September.

September berlangsung di The Back Room KL, Bangunan Zhongshan dari 9 September – 10 Oktober. Janji temu perlu ditempah sehari lebih awal, dengan menghubungi +6016 6602585 (Liza).

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites