CloudJoi sedia platform untuk anak seni!

Pandemik Covid-19 telah membuka jalan fikiran dan membangkitkan kreativiti bukan sahaja kepada orang-orang yang mengamalkan seni sebagai pekerjaan dan gaya hidup, namun juga untuk orang-orang teknokrat yang peduli seni. CloudJoi platform terbaru untuk seni persembahan menyalakan api di hujung terowong yang gelap serta menjadi penyambung yang mengeratkan komuniti masyarakat dan seni.

Oleh AZUWAN AHMAD

Pada 19 Okt tahun ini, bertempat di GMBB, sebuah platform atas talian untuk seni persembahan telah dilancarkan. Sebelum ini dikenali sebagai CloudTheatre, Cloudtix dan CloudTheatre Revive, ia telah dijenamakan semula sebagai CloudJoi di mana semua fungsi yang terdapat pada 3 platform sebelumnya digabungkan dan diletakkan di dalam satu platform. CloudJoi jika boleh dianalogikan sebagai ‘Netflix’ untuk seni persembahan tempatan dimana persembahan seni seperti teater boleh dimuatnaik ke dalam CloudJoi dan boleh ditonton secara langsung di seluruh dunia. Selain itu, ia juga mempunyai fungsi pembelian tiket bagi persembahan-persembahan yang berlangsung secara fizikal terutamanya Lembah Klang.

Pelancaran ini bertujuan sebagai pemberitahuan penjenamaan semula, ia juga mengajak masyarakat untuk lebih mengenali platform yang berupa sebuah laman web yang baru lengkap dengan aplikasi mobil.

Apa yang menarik mengenai CloudJoi ini, ia juga mengikut arus inovasi seni global dengan mewujudkan sebuah fungsi di dalam laman web tersebut yang dinamakan JoiFest. Dalam pelancaran ini yang dikemudi oleh pengasas platform merangkap pengurus urusan, Dennis Lee menyebut bahawa CloudJoi mendapat bantuan geran daripada Cradle CIP Sprint Grant malahan antara kumpulan pertama yang mendapat kemudahan geran tersebut. Ia membolehkan CloudJoi dikembangkan dengan baik.

Dalam ucapannya, Dennis memberitahu ada tiga matlamat yang mahu dikongsikan kepada masyarakat bersempena pelancaran tersebut iaitu untuk membina ekosistem seni yang lebih proaktif untuk menyambung dan menutup lompong dalam komuniti tempatan, membesarkan saiz pasaran seni persembahan serta menjadikannya lebih dekat dengan golongan muda dan ketiga, mengembangkan seni Malaysia ke peringkat dunia melalui kolaborasi dan pertukaran seni dengan dunia luar.  

Dennis menerangkan fungsi-fungsi CloudJoi

CloudJoi yang diasaskan bersama William Yap dan Kevin Teh mempunyai makna nama “Joi” yang sebenarnya adalah gabungan kata joy yang bererti kegembiraan dan join yang membawa maksud bersama. Ia akan merangkumi on-ground, on-demand dan persembahan atas talian. Ia akan menjadi hab sentral untuk persembahan, tempat persembahan, penganjur, pengamal teater dan penonton. CloudJoi mempunyai 3 medium bahasa iaitu English, Bahasa Melayu dan Mandarin. Platform baru ini akan memudahkan orang ramai atau penonton untuk mengetahui persembahan yang akan berlangsung, apa yang terbaru dan yang terhangat. Ia juga boleh merekomen kepada anda persembahan yang mungkin anda berminat.

Seiring dengan teknologi yang canggih, ia mempunyai enjin carian built-in untuk penonton mencari persembahan berdasarkan judul, penganjur, atau tempat persembahan dan mendapat hasil carian yang serta merta. Laman web ini juga menambah baik tapisan jadi ia memudahkan kita menapis persembahan berdasarkan lokasi, waktu, genre dan jenis. Sekarang penonton boleh menyimpan sebuah persembahan di dalam fungsi favourite untuk menontonnya pada bila-bila masa. Bagi pembelian tiket pula, penonton boleh membeli tiket secara pantas berdasarkan seni persembahan yang mahu mereka tonton secara langsung. Aplikasi mobile membantu penonton untuk mendapatkan tiket yang telah dibeli tanpa perlu mencari semula emel pengesahan. Hanya di dalam aplikasi ini penonton klik favourite pada pengamal teater atau penganjur tertentu menerbitkan persembahan terbaru, penonton akan mendapat notifikasi.

BoboKL antara pemilik venue yang datang ke pelancaran CloudJoi

Dennis menegaskan CloudJoi berada di posisi yang unik untuk berada kedepan dalam seni persembahan kerana mereka berjaya menyatukan seni dan teknologi dan mencipta sebuah platform seni untuk seni.  Terdahulu, Cloud Theatre berjaya untuk membawa penonton dari 70 buah negara pada waktu pandemic dan kini mereka sedang berbincang mengenai pertukaran seni dengan negara-negara seperti Korea, Jepun dan Jerman. JoiFest salah satu fungsi dalam laman web tersebut merupakan festival seni atas talian yang pertama seumpamanya dan bermula dengan tema Broadway Month. Sebanyak lebih 20 persembahan, muzikal, ballet dan dokumentari datang dari Broadway dan West End akan dipertontonkan bermula November hingga Disember dan dapat ditonton di CloudTheatre Malaysia.

Ini sudah tentunya merupakan berita yang sangat baik untuk penggiat seni persembahan tempatan terutamanya dari segi mengembangkan persembahan teater mereka lebih jauh lagi bukan hanya di lokaliti setempat. Ia akan memudahkan penggiat, penganjur dan juga penonton serta peminat seni persembahan tanah air. Mereka seharusnya mengambil peluang ini secepat mungkin!

Aplikasi CloudJoi sudah boleh dimuat turun di Apple App Store, Google Playstore dan Huawei App Gallery.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites