Cerita rakyat moden melalui makanan

Buku hasil seniman berusia 26 tahun ini menceritakan kisah rakyat berkisarkan makanan dalam konteks moden.

Oleh DANIAL FUAD

Makanan merupakan satu aspek yang penting dalam peradaban manusia. Ia membentuk cara kehidupan manusia seperti ketika perubahan daripada zaman memburu kepada zaman pertanian lebih kurang 12,000 tahun dahulu.

Penyediaan makanan juga dibentuk melalui keperluan masyarakat seperti menyalai daging dan juga membuat rendang dengan tujuan bagi mengawetnya supaya boleh disimpan dalam jangka masa yang lama.

Makanan juga terdapat dalam cerita rakyat seperti kisah Batu Belah Batu Bertangkup dan juga Si Tanggang. Bagi menyambung legasi cerita rakyat, Afi Sulaiman kini tampil dengan buku terbaharu beliau yang berjudul Malaysian Food Tales.

Seorang yang tidak asing lagi dalam menghasilkan karya berkisarkan makanan, buku keluaran Afi kali ini semestinya sarat dengan hasil lukisannya. Ilustrasi yang dihasilkan dalam buku ini mencerminkan dua buah cerita yang juga ditulisnya sendiri dengan judul O’Nasi O’Lemak dan Kuih Talam Dua Muka.

Menurut Afi, buku ini dihasilkan dengan tujuan untuk mempamerkan budaya makanan Malaysia dalam konteks moden. Tidak hanya membangkitkan perasaan nostalgia dalam komuniti tempatan, buku ini juga bertujuan menarik minat lebih ramai orang terutamanya di peringkat antarabangsa, untuk menghayati kepelbagaian budaya Malaysia.

Sehubungan dengan itu, Afi dengan kerjasama Kakiseni Junior bakal mengadakan sebuah jerayawara buat bukunya. Dengan tajuk Food Ga(lore), acara pertama dalam jerayawara ini telah berlangsung pada Jumaat , 7 Julai sempena Hari Keamanan dan Cinta Sedunia.

Bertempat di Badan Warisan Negara, acara ini telah dipenuhi pelbagai aktiviti yang boleh dinikmati para pengunjung. Bermula seawal jam 12:30tgh, para pengunjung telah dihidangkan dengan dua sesi penceritaan di mana Afi telah membaca cerita yang terkandung dalam buku terbaharunya itu.

Pengunjung juga berkesempatan mendapatkan tandatangan Afi semasa cara ini. Di samping itu, bengkel yang berjudul Draw in the City juga sempat diadakan di mana Afi mengajar bagaimana untuk melakar bangunan Badan Warisan Malaysia.

Jerayawara Food Ga(lore) ini bukan sahaja bersemangat untuk memperkenalkan Malaysian Food Tales kepada khalayak yang lebih luas. Ia juga bertujuan untuk menyokong bakat muda tempatan dalam industri kreatif. Selain daripada aktiviti yang disebut, terdapat juga pameran karya Afi sepanjang acara ini berlangsung.

Acara sebegini bakal berlangsung secara bulanan di sekitar Lembah Kelang di tempat seperti Museum of Picture Book Art di GMBB pada Ogos 26, Galeri ILHAM pada Sep 16 dan Malaya Garden Chinatown pada Okt 15. Program ini bakal berakhir pada Nov 12 sempena Hari Baik Hati Sedunia di Mari! Bangi.

Bagi yang berminat untuk menyertai acara ini, bolehlah melayari laman sesawang Kakiseni Junior untuk maklumat lebih lanjut. Terdapat bayaran sebanyak RM5 bagi yang ingin menyertai acara tersebut sahaja. Untuk menyertai bengkel Draw in the City, terdapat tambahan sebanyak RM15 seorang.

Kakiseni Junior merupakan sebuah laman sesawang yang dihasilkan oleh Kakiseni di mana guru dan juga ibu-bapa boleh mencari pelbagai kelas kreatif yang dijalankan oleh pengamal dan pendidik seni yang bertauliah buat pelajar dan juga anak-anak mereka . Bayaran yang dikenakan untuk acara ini bakal disalurkan kepada Seni Making A Difference (SeniMAD), sebuah inisiatif memupuk cinta kepada seni dalam kalangan anak muda.

Sebarang kemaskini tentang jerayawara Food Ga(lore) ini boleh didapat melalui laman Instagram dan juga Facebook Kakiseni Junior. Untuk Afi pula, kemaskini berkenaan aktiviti beliau boleh didapati di laman Instagramnya.  

Ikuti kisah menarik lain yang terdapat di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites