Butir permata dalam karya P. Ramlee

Dalam menyambut Hari Seniman Negara pada 22 Mac, wajib untuk kita mengulang kisah seorang insan istimewa yang pernah hidup dalam kalangan kita. Sebelum pulang menemui penciptanya, insan ini telah menghiburkan kita dengan lagu dan filemnya yang masih kita putar dan nyanyikan sehingga ke hari ini. Sebutir permata yang masih belum kita temui sinar sepertinya, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Oleh AZUWAN AHMAD

Allahyarham Tan Sri P. Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria Bin Teuku Nyak Puteh lahir pada tarikh ini pada 94 tahun yang lalu. Bintang ini lahir di Pulau Pinang dan meninggal dunia pada usia yang agak muda iaitu 44 tahun pada 29 Mei 1973. Walaupun ramai orang mengetahui tentang fakta ini, sengaja penulis ulangkan sebagai peringatan bahawa P. Ramlee sudah terlalu lama meninggalkan kita.  

Sudah banyak peristiwa khususnya di Malaysia yang berlaku setelah pemergiannya, namun karya-karya P. Ramlee masih relevan dan bermanfaat untuk semua, termasuklah generasi muda yang mungkin belum mengenalinya. Penulis yakin, cahaya P. Ramlee dalam bentuk apa pun masih dapat menerangi orang lain di masa hadapan.

P. Ramlee melalui peristiwa yang memeritkan di hujung usianya. Gambar: Soscili

Dengan semangat ini, penulis bertanya-tanya sambil merujuk beberapa tulisan buku mengenai legenda ini. Antara yang menjadi rujukan penulis adalah Raihani Mohd Saaid, seorang pengkaji pemikiran P. Ramlee. Menurut Raihani, P. Ramlee menduduki tempat yang penting bukan sahaja dalam sejarah perkembangan filem dan muzik Melayu, tetapi juga dalam pembinaan identiti budaya Malaysia dan Singapura. Kata Raihani, “P. Ramlee bukanlah seorang ahli falsafah tetapi pemikir untuk bangsanya. Dia menggunakan wadah filem untuk mengemukakan pemikiran dan kritikannya. Filem memang alat yang berkesan untuk membentuk budaya dan jati diri. Fesyen, muzik, cara hidup dan bahasa banyak yang dipengaruhi oleh filem.” Oleh yang demikian, tidak peliklah kalau orang pada zaman sekarang turut menggunakan dialog dalam filem-filem P. Ramlee sebagai sindiran politik!

Kalau kita menonton filem-filem arahan dan lakonan bintang yang pernah memenangi Anugerah Pelakon Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik 1956 ini, kita memang dapat melihat sindiran terhadap kondisi masyarakat di sekelilingnya. Selain digunakan untuk menyindir gagasan, pegangan atau kebiasaan orang ramai, satira mampu memberikan kefahaman dan kesedaran terhadap nilai yang dipegang oleh sekelompok masyarakat. Dalam bahasa yang lebih canggih, P. Ramlee sangat ke hadapan dalam pembawaan satira berkisarkan masyarakat, baik politik, kemiskinan mahupun agama. Sebab itulah, penulis tidak hairan akan status ikonik bintang ini, sehinggakan filem-filem yang dihasilkan sebelum tahun 70-an disebut sebagai ‘era filem P Ramlee’ walaupun dia tidak terlibat secara langsung dalam pembikinan filem pada zaman tersebut.

Bila dibandingkan keadaan dan mutu produksi filem Melayu pada zaman 60-an dengan industri filem yang lebih maju seperti Hollywood, sudah tentu filem-filem Melayu termasuk karya P. Ramlee kalah dari segi teknikal, bajet dan pemasaran. Namun, filemnya masih dianggap bermutu tinggi kerana karyanya sesuai dengan keadaan masyarakatnya. Pada zamannya, dia berjaya mengangkat isu-isu sosiobudaya dalam suasana pemulihan selepas perang. “Sekitar zaman 50-an, dunia kesusasteraan Melayu mula mendesak studio Malay Film Productions (MFP) untuk menerbitkan filem yang lebih bercirikan identiti tempatan. P Ramlee ketika diberi peluang mengarah disuruh memilih antara skrip filem Hindi atau China untuk ditiru, namun dia dan rakan-rakannya berkeras untuk memfilemkan cerita asli yang berlatarkan budaya tempatan. Dia menggunakan skrip dengan bahasa yang mudah untuk difahami oleh khalayak ketika itu yang kebanyakannya buta huruf dan berpendidikan rendah,” cerita Raihani.

P. Ramlee memang handal dalam menyentuh perkara yang intim dalam kehidupan masyarakat kita. Dalam kesempatan ini, penulis ni berkongsi sedikit tentang isi yang diperolehi daripada sebuah buku tulisan Daniyal Kadir iaitu Membedah P. Ramlee. Daniyal merupakan seorang penggemar sejarah filem yang telah pun menulis tafsiran mengenai 15 buah filem seniman agung ini. Buat renungan semua, dua buah filem dengan genre dan persoalan berbeza yang penulis pilih sebagai benih fikiran adalah Bujang Lapok dan Semerah Padi.

Bujang Lapok (1957) adalah sebuah filem komedi romantik yang menceritakan tentang kelompok masyarakat moden yang tinggal di bandar. Melalui tiga watak bujang terlajak yang diberi nama Ramlee, Sudin dan Aziz, filem ini menggambarkan tekanan yang dihadapi oleh orang yang hidup dalam dunia yang materialistik. Filem ini dibuka dengan penjelasan tentang pekerjaan tiga watak ini yang jelas melihat kepada kebendaan dan bagaimana sikap ini akan akhirnya membawa kemusnahan.

Ramlee, Aziz dan Sudin adalah tiga watak yang tidak dapat dilupakan sampai bila-bila

Dalam tulisan mengenai filem ini, Daniyal menyentuh babak Ramlee yang kesempitan wang, namun masih memilih untuk memakan stik daging di sebuah restoran; sedangkan umum tahu bahawa makanan seperti itu dikira mahal. Babak ini menunjukkan bahawa masyarakat tidak dapat membezakan antara keperluan dan juga kehendak. Tentunya, dari sini kita dapat belajar mengenai kelompok masyarakat yang suka berlagak kaya walaupun sebenarnya tidak mampu. Sikap ini masih ada sekarang, tambah-tambah lagi dengan dorongan teknologi media sosial untuk memprojeksi diri sebagai orang berada atau kelihatan bahagia. Hal ini memberikan tekanan dalam masyarakat untuk berlumba-lumba memiliki sebuah kehidupan yang belum tentu menenangkan dan tidak pula penting dalam pembentukan diri sebagai manusia yang baik.

Sebuah lagi filem yang lebih bersifat serius dan menyentuh perihal perilaku orang Timur yang beragama Islam adalah Semerah Padi yang diterbitkan tahun yang sama dengan Bujang Lapok. Bagi penulis, filem ini banyak memberi hikmah dan pengajaran kepada penonton. Di samping bahasa filem untuk menunjukkan maksud-maksud tertentu serta bayangan tentang apa akan berlaku di dalam filem ini yang disentuh Daniyal, penulis merasakan ada satu perkara penting yang dibawa oleh filem ini. Dalam acuan masyarakat yang teratur sekalipun, misalnya warga Kampung Semerah Padi yang mengamalkan adat dan hukum Islam yang jelas, manusia memang tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan. Pertentangan dalam diri manusia mengenai apa yang benar dalam melawan kehendak hasrat diri adalah sebuah peperangan yang besar dan paling sukar. Dalam filem ini, kesilapan watak Aduka adalah hubungan intimnya dengan Dara iaitu tunang kepada sahabat baiknya, Taruna. Kemaafan yang dipinta oleh Aduka daripada Taruna tidak menghalang aturan dirinya dan Dara yang tetap dihukum menurut agama, bukti bahawa amanah tetap dijalankan oleh pemimpin di Kampung Semerah Padi.

Menerusi lebih 60 buah filem yang dilakonkan dan 33 buah filem arahannya, P. Ramlee mewariskan butiran permata hikmah dan pengajarannya kepada masyarakat. Daripada penderitaan dan kemiskinan, dia melahirkan gelak tawa; dari gurau dan suka, dia mewujudkan kebenaran yang sama ada enak dihadam atau pahit ditelan. Hasil kerjanya sebagai pengarah, penulis skrip dan lagu, pelawak dan penyanyi, dia memberikan makna yang besar kepada dunia seni dan kreatif tanah air. Terima kasih P. Ramlee kerana membuktikan bahawa seni sememangnya boleh memanusiakan kita.

Ikuti kisah-kisah menarik yang lain di BASKL:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites