Budaya Pembacaan Naskhah Lakon Secara Terbuka Membentuk Generasi Artis Dinamik

Bacaan naskhah lakon diadakan di Galeri Creative Art Hub by ASWARA, Sunway Putra Mall

oleh MIMI SALLEH

“All the world’s a stage. And all the men and women merely players.” Itu dialog Jacques kepada Duke Senior daripada naskhah As You Like It oleh William Shakespeare. Dialog tersohor itu menunjukkan kecaknaan Shakespeare pada kehidupan manusia yang kompleks sekaligus sifat sebenar manusia – yang baik dan yang buruk. Walaupun sudah lima abad berlalu, namun hasil karyanya masih releven pada abad ke-21 sebagaimana ia meninggalkan kesan kepada umum, pertama kali ia dibaca. 

Justeru, apabila mendapat tahu ada acara bacaan naskhah lakon (playwright) secara terbuka saya segera mengambil peluang untuk hadir. Acara yang dianjurkan oleh Rumah Lakon hanya menawarkan dua slot – jam 2.30 petang dan jam 4 petang – dengan bilangan penonton yang dihadkan. Bacaan naskhah lakon itu diadakan di Galeri Creative Art Hub by ASWARA, Sunway Putra Mall. 

Bukan kebetulan tiga orang penulis wanita mempersembahkan naskhah mereka pada acara itu kerana ia bersempena dengan Hari Wanita Sedunia. Skrip Puisi Untuk Dia ditulis oleh Farah Hanani, Tiga Kuntum ditulis oleh Atira Nordin dan Chaya oleh Izzah Zainal. Pembaca-pembaca pula ialah Ahmad Nuruddeen, Puteri Nur Asmah, Amirul Fitry, Hiedayu Sulaiman, Puteri Jazmina. 

Memandangkan acara ini adalah projek latihan industri beberapa pelajar Aswara, saya tidaklah meletakkan pengharapan tinggi. Namun, saya harus adil tanpa menghakimi. Jika goyah, tidak perlulah saya menegakkan benang yang basah. Jujur dalam berkarya harus berlaku dua hala, termasuklah ketelusan saya menyampaikan apa yang dilihat, didengar dan dihayati.

Selepas beberapa minit menonton dan mendengar pembacaan naskhah-naskhah tersebut, saya kecewa apabila watak-watak wanita tidak menonjol sebagai protagonis. Malah, watak Miranda dalam naskhah Puisi Untuk Dia ditamatkan di awal babak empat di tangan Hadi, bekas teman lelakinya yang cemburu, tanpa meninggalkan sebarang mesej jelas. Dialog Hadi dan teman lelaki baru yang kedua-duanya menjadi gila kerana cinta juga tidak digarap kemas. 

Naskhah Tiga Kuntum mengisahkan konflik diri Bunga yang digambarkan melalui dua personaliti iaitu Mawar dan Orkid. Pada babak pertama kita boleh melihat dua personaliti yang optimis dan pesimis saling bertelingkah mengenai bakat dan peluang Bunga menjadi pengacara. Dalam babak akhir, apabila Bunga berjaya mencapai impiannya sebagai pengacara, dia memarahi kedua-dua personaliti. Di sini saya tertanya-tanya, kenapakah Bunga tiba-tiba memarahi Mawar dan Orkid yang selama ini hanya berada dalam benaknya, seolah-olah ada personaliti ketiga pula yang muncul? Saya keliru. 

Naskhah Chaya dipersembahkan pada kala saya terasa seperti jatuh ke dalam lohong gelap, selepas mendengar pembacaan dua naskhah terdahulu. Chaya mengisahkan Mulia dan Kaseh yang memilih kerjaya berbeza namun sisi gelap menjadi persamaan mereka. Kehilangan ibu menyebabkan dua beradik ini bekerjasama. Sebaik para pembaca membacakan dialog di babak pertama membawa ke babak kedua, saya terasa seolah-olah melihat sinar di hujung terowong.

Penonton dibawa menghayati kisah Mulia dan Kaseh selapis demi selapis. Babak pertama dimulakan perlahan, namun di babak kedua kita mula mendengar kisah penderaan emosi dan fizikal yang dialami oleh kedua-dua beradik ini. Dialog, “Jangan berlagaklah, kau sampai dunia ni 12 minit awal je dari aku” oleh watak Mulia menjelaskan lebih lanjut bahawa mereka adik-beradik kembar. Malah, Izzah berjaya memasukkan elemen ironik mengenai kerjaya Kaseh sebagai seorang pegawai keadilan yang korup. 

Dialog Mulia kepada kakaknya si inspektor berbunyi, “Baju yang aku pakai, memang dah tentu gelap. Tapi kau masuk dunia gelap, kau pakai uniform polis. Tak ada bezanya, dua-dua masih tak nampak dalam gelap…,” membuka hijab kepalsuan manusia yang berselindung di sebalik kuasa keadilan. 

Seterusnya apabila kedua-dua beradiknya ini membangkitkan peranan bapa dalam hidup mereka. Kaseh cuba merasionalkan perbuatan si bapa durjana dengan alasan, “Tapi apa pilihan yang aku ada? Aku nak berdendam atau tak mengaku dia bapak aku sekalipun, nama aku tetap berbintikan dia.” Jawapan balas Mulia, “Jadi perempuan ni jangan bodoh. Jangan hambakan syurga ilusi bawah tapak kaki lelaki yang kau panggil suami, kalau dia pun neraka untuk kau.” Ayat ini bagi saya bertepatan dengan tema Hari Wanita Sedunia iaitu Memilih Untuk Mencabar (Choose To Challenge). Wanita yang menjadi mangsa perlu sedar dan bangkit mencabar norma sengsara. 

Setiap butir dialog dari skrip Chaya seperti melihat butir-butir pasir bercantum membentuk istana. Setiap dialog memberi maklumat mengenai watak dan latar cerita tanpa memuntahkannya sekaligus. Izzah sebagai seorang penulis skrip mempunyai bakat menjalin ayat menjadi mutiara kata yang meninggalkan kesan di hati. Malah kita yang menonton turut merasai emosi yang melanda para pembaca apabila mereka mengungkapkan dialog-dialog tersebut.

Menurut Mohd Raimi Jaafar, Pengarah Kreatif Rumah Lakon, acara bacaan naskhah lakon secara terbuka ini jarang-jarang dianjurkan di Malaysia berbanding di negara jiran, Indonesia.

“Budaya bacaan naskhah secara terbuka bukanlah amalan di Malaysia. Malah, generasi artis muda tidak tahu bahawa sesi bacaan sebegini adalah sebahagian daripada bentuk seni lakon. Ini jauh berbeza dengan negara jiran yang meraikan setiap aktiviti bacaan naskhah. Di sana, mereka ada Festival Pembacaan Naskah Lakon,” jelas Raimi.

Tambahnya lagi, “Rumah Lakon berusaha menjadikan aktiviti bacaan naskhah ini sebagai input yang boleh membentuk kelompok artis muda yang lebih terbuka kepada kritikan langsung penonton.”

Syabas atas usaha Rumah Lakon menyokong dan memberi ruang kebebasan kepada generasi muda untuk berkarya dan menggilap kemahiran. Semoga proses pembelajaran pendidikan seni kreatif itu berjaya melahirkan pelapis artis yang dinamik. 

Mimi Salleh merupakan peserta di bawah Program Bimbingan Penulisan Kesenian CENDANA-ASWARA 2020-2021.

Tags:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites