BSN dan DBP bergabung memperkasakan seni pantun

Pertandingan Pantun Lakon 2023 anjuran BSN dan juga DBP menawarkan hadiah berjumlah RM10,000 keseluruhannya.

Oleh DANIAL FUAD

Pantun ialah hadiah paling berharga dari Dunia Melayu buat Kesusasteraan Dunia 

Ismail Zain

Jika dilihat dari konteks di atas, pantun merupakan satu seni lisan yang sangat lazim dengan kehidupan alam Melayu. Pelbagai fungsi pantun dapat dilihat dalam kehidupan seharian daripada menzahirkan penghargaan, tujuan istiadat, meluahkan perasaan sayang, menyampaikan mesej keagamaan sehinggalah digunakan untuk menyindir.

Namun begitu, seni ini semakin ditelan zaman sehinggalah ada yang mengenali pantun hanya ketika ingin merisik bagi tujuan perkahwinan atau sebagai pelajaran di sekolah. Untuk menangani permasalahan tersebut, Bank Simpanan Nasional (BSN) telah menjalinkan kerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk menganjurkan Pertandingan Pantun Lakon 2023.

Ketua Pegawai Kewangan BSN, Norhafizah Binti Md Shariff memberi ucapan

Ikhtiar ini telah hadir apabila DBP melalui Bahagian Promosi dan Pengiktirafan telah mengadakan kunjung hormat kepada BSN pada 9 Februari 2023 bagi membincangkan kesinambungan kerjasama antara kedua-dua belah pihak. Kerjasama antara mereka berlaku pada tahun 2022 di mana mereka telah menganjurkan pertandingan berbalas pantun secara dalam talian dan juga penyebaran istilah perbankan dan promosi tulisan Jawi.

Tahun ini mereka meneruskan kerjasama bagi menyebarkan bahasa dan sastera kepada masyarakat. Lahirlah Pertandingan Pantun Lakon 2023 yang menggabungkan elemen berbalas pantun dan juga lakonan pentas. Peringkat saringan pertandingan ini telah berlangsung pada 1-31 Ogos 2023 secara dalam talian melalui medium media sosial Facebook, Instagram dan TikTok. Sebanyak 48 penyertaan telah diterima dan enam orang peserta terbaik telah terpilih untuk ke peringkat akhir.

Ucapan juga diberi oleh YBrs. Dr. Hazami bin Jahari, Ketua Pengarah DBP

Enam peserta yang telah disenarai pendek ini telah berentap secara bersemuka di Pertandingan Akhir Pantun Lakon 2023 yang telah berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP pada 10 Oktober 2023 (Selasa), pukul 9.00 malam. Peserta akan bertanding secara berpasukan dan akan melalui 3 pusingan pertandingan yang diberikan latar tempat yang berbeza, iaitu Wisma DBP, Wisma BSN dan Dataran Merdeka.

Kesemua peserta memberikan yang terbaik pada malam tersebut dengan lakonan yang baik serta susunan pantun yang sangatlah menarik. Mereka memberikan gambaran jelas bahawa Bahasa Malaysia ini sangatlah indah penuh dengan tatabahasa dan kelembutan gaya. Namun begitu, kalah menang adat pertandingan, jadi persembahan mereka diadili oleh lima orang juri.

Salah satu pusingan pertandingan yang berlatarkan Wisma BSN

Hadiah yang disediakan pihak penganjur juga lumayan di mana tempat pertama menerima wang tunai sejumlah RM3,500, tempat kedua RM,2500 manakala RM1,500 pula untuk tempat ketiga. Selain daripada itu, terdapat juga hadiah sagu hati untuk tiga orang serta  anugerah Pemantun Terbaik dan juga Pelakon Terbaik yang menerima hadiah sejumlah RM500 setiap seorang.

Tempat pertama telah berjaya dirangkul oleh Mohamad Syafeq Zainal Amin yang juga berjaya menjadi Pelakon Terbaik membuatkan kemenangannya pada malam tersebut berjumlah RM4,000. Noraznie Syakirah Mohd Nor pula mendapat tempat kedua di samping dinobat Pemantun Terbaik manakala tempat ketiga diterima oleh Muhammad Shamsuri Hashim. Muhammad Hanif Haikal Kamaruzzaman, Muhammad Ikhwan Hakimi Mohd Yusof dan Nur Fatin Anina Nor Azman masing-masing menerima hadiah saguhati.

Kini dapat dilihat terdapat badan korporat dan bankyang semakin berminat dalam memajukan seni seperti CIMB Bank dan juga RHB Bank. Diharapkan usaha seperti ini diteruskan oleh banyak lagi badan korporat yang berganding bahu bersama jabatan kerajaan. Selain daripada peserta pertandingan, Kumpulan Dikir Barat Anjung Aksara juga mendapat perhatian dengan memberikan persembahan selingan di antara pusingan. Apa yang menariknya adalah peserta termuda kumpulan tersebut berusia lapan tahun.

Dari kiri, Muhammad Shamsuri Hashim, Mohamad Syafeq Zainal Amin dan Noraznie Syakirah Mohd Nor

Turut hadir bagi memeriahkan majlis adalah YBrs. Dr. Hazami bin Jahari, Ketua Pengarah DBP, YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin bin Dato’ Paduka Mohamed, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP dan juga YBrs. Encik Abdul Ghani bin Abu, Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan. Mewakili pihak BSN pula adalah Ketua Pegawai Kewangan, Norhafizah Binti Md Shariff dan juga Aizurra Mellissa Muzammil selaku Ketua Komunikasi Strategik BSN.

Ikuti kisah menarik lain yang terdapat di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites