5 Perkara Menarik Di Pelancaran CIMB Artober 2023

CIMB Artober Art & Soul dan juga CIMB Artober Fashion Week berlangsung daripada 6 - 8 Oktober ini bertempat di MITEC, Kuala Lumpur

oleh DANIAL FUAD

Kembali untuk tahun yang keempat, Artober merupakan sebuah ikhtiar dari CIMB Group Holdings Berhad. Program tiga bulan yang berlangsung secara tahunan ini dianjurkan bagi memacu ekonomi seni kontemporari tempatan. Dilancarkan pada Khamis lalu, Artober kali ini bermula dengan CIMB Artober Art & Soul dan juga CIMB Artober Fashion Week yang berlangsung dari 6 hingga 8 Oktober di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC.)

Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj berkenan mencemar duli ke majlis pelancaran CIMB Artober Khamis lalu

Acara perasmian telah dimeriahkan lagi dengan kehadiran Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj. Mengiringi baginda adalah Datuk Mohd Nasir Ahmad, Pengerusi Kumpulan CIMB bersama pemimpin-pemimpin kanan Kumpulan CIMB.

Program dimulakan dengan lawatan KDYMM Raja Permaisuri Agong ke sekitar CIMB Artober Art & Soul, pameran seni yang disertai oleh galeri ternama tempatan dan juga serantau. Orang ramai dikejutkan dengan ucapan pembukaan oleh KDYMM Raja Permaisuri Agong sebelum baginda bersemayam bagi menyaksikan CIMB Artober Fashion Week yang menampilkan pereka Pink Jambu, Daliey Fazdly dan Radzuan Radziwill.

KDYMM Raja Permaisuri Agong memberi ucapan bagi merasmikan acara CIMB Artober Art & Soul dan juga CIMB Artober Fashion Week

Semestinya terdapat pelbagai aktiviti dan pameran yang boleh disaksikan sepanjang hujung minggu ini. Di sini merupakan lima perkara menarik yang terdapat di CIMB Artober Art & Soul dan juga CIMB Artober Fashion Week yang berlangsung di MITEC.

1. Mendalami seni kebudayaan serata Malaysia

Salah sebuah reruai yang membuat demonstrasi kebudayaan tradisional

Malaysia cukup terkenal dengan kepelbagaian seni kebudayaannya dan CIMB tentulah faham tentang kepentingan memperkenalkan perkara tersebut dengan lebih meluas. Terdapat pelbagai reruai yang menyediakan demonstrasi secara langsung tentang kesenian yang ada di negara ini. Seni tekstil seperti tekat, tenun dan batik mendapat sorotan dengan pelbagai negeri memperagakan kekayaan budaya mereka. Orang ramai dapat menyaksikan demonstrasi ini di sekitar lantai pusat pameran MITEC ini sepanjang hari.


2. Melawati Kain Tenun DiRaja Pahang koleksi KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong

Astaka Pahang kali ini merupakan siri kedua ia dipamerkan

Antara yang mendapat perhatian juga adalah penyertaan KDYMM Raja Permaisuri Agong sebagai pempamer bagi Artober ini di Astaka Pahang. Baginda mempamerkan koleksi tersendiri Tenun Pahang DiRaja yang ditenun oleh banduan di Penjara Bentong dan Penor serta dari perusahaan sosial yang diasaskan KDYMM Raja Permaisuri Agong, Cheminahsayang. Selain itu terdapat juga koleksi baju kurung; gaya yang cukup rapat dengan KDYMM Raja Permaisuri Agong hasil tangan pereka terkenal Rizalman Ibrahim. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan pameran yang sangat unik ini di mana terdapat juga batik cantingan Pink Jambu di sini.


3. Menyumbang kesenian anda di kolaj gergasi

Para pengunjung asyik mengunting kertas bagi menghasilkan kolaj

Hidup bermasyarakat juga merupakan satu asas kehidupan di Malaysia ini dan tepat dengan temanya Art & Soul, seni merupakan jiwa bagi sesebuah kemasyarakatan. Untuk meraikan perkara tersebut, seniman Anisa Abdullah telah tampil dengan karya gergasi di mana beliau menjemput orang ramai turut serta menyumbang hasil tangan mereka. Karya kolaj yang cukup rapat dengan Anisa ini bakal disiapkan sepanjang acara ini berlangsung. Orang ramai boleh hadir ke reruai CIMB Art Project Room untuk menghasilkan kolaj bagi mengisi ruangan kosong karya Anissa ini. Sebanyak 24 kanvas bakal diisi dengan kolaj sarat penceritaan sejarah CIMB serta kepelbagaian masyarakat Malaysia di mana hasil akhirnya akan dicantum menjadi karya gergasi.

 
4. Menikmati pelbagai persembahan kebudayaan

Persembahan alarippu telah mengiringi pertunjukkan fesyen Radzuan Radziwill

Muzik juga diraikan di CIMB Art & Soul ini di mana rakan kerjasama bagi acara ini, MyCreative Ventures Sdn Bhd telah menyediakan pelbagai persembahan tradisional rakyat Malaysia. KDYMM Raja Permaisuri Agong telah sempat menyaksikan persembahan ‘alarippu’ semasa majlis pelancaran tempoh hari. Terdapat pelbagai lagi persembahan bakal menyaji para pengunjung MITEC hujung minggu ini seperti gambus, rebana, sape, sitar dan juga tabla yang bakal mengiringi pertunjukan fesyen. Pertunjukan tersebut dijadualkan berlangsung pada jam 8mlm pada hari Jumaat dan Sabtu manakala pertunjukan hari Ahad bermula jam 5ptg.


5. Semestinya seni tampak tempatan dan serantau!

Salah sebuah sudut pameran di antara reruai galeri yang terlibat dalam pameran seni tampak

Akhir sekali, sudah namanya Art & Soul, semestinya perlu ada pameran seni tampak. Jika sebelum ini pameran Artober tahun lepas berlangsung di hotel, tahun ini pameran mereka cukup gilang-gemilang. Disertai oleh galeri ternama tempatan seperti Galeri Puteh, G13 Gallery, Segaris Art Center, Wei-Ling Gallery, TAKSU dan Zhan Art Space antaranya; terdapat juga galeri serantau seperti The Drawing Room yang berpusat di Manila, Filipina. Barisan seniman terlibat dalam pameran lengkap daripada yang muda seperti Najib Bamadhaj serta Fawwaz Shukri sehinggalah yang lebih kanan seperti Khalil Ibrahim. Keraian seni kontemporari Malaysia sedang berlangsung di MITEC ini dan orang ramai seharusnya tidak melepaskan peluang ini untuk mendalami latar seni tampak kita.

Seni dan budaya merupakan lambang ketinggian sesebuah peradaban. Ikhtiar seperti ini untuk memupuk semangat dan memperkenalkan seni dan kebudayaan perlu dipuji. Selain daripada itu, tentunya seni dan budaya mampu menaikkan pendapatan negara melalui pelancongan. Jika tidak, mengapa portfolio seni berada bersama pelancongan. Tentunya dengan kesihatan ekonomi kreatif kita berada di jalan yang betul, ia dapat membantu dalam kemajuan negara ini.

Acara seperti ini semestinya memerlukan kepakaran ramai jadi CIMB telah bekerjasama dengan Malaysia International Trade and Exhibition Centre, Kuala Lumpur Design Festival 2023, MyCreative Ventures, Yayasan Hasanah, MEA Management, Lim Kok Wing University sertai Balai Seni Negara bagi merealisasikan program ini.

Sekali lagi tahniah kepada CIMB kerana menganjurkan acara sebegini untuk membantu meningkatkan kesihatan ekonomi kreatif Malaysia. CIMB Artober Art & Soul serta CIMB Artober Fashion Week berlangsung daripada 6 – 8 Okt ini di MITEC, Kuala Lumpur. Maklumat lanjut berkenaan pengisian program boleh didapati melalui laman sesawang ini.

Ikuti kisah menarik lain yang terdapat di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites