Perayaan seniman muda di Thirteen Best Artists Showcase

13 seniman muda mempamerkan sebanyak 65 karya di International Gallery, Lim Kok Wing University sehingga Jul 16

Teks dan gambar oleh DANIAL FUAD

CIMB Foundation dengan kerjasama MEA Management telah melancarkan pameran Thirteen Best Artists Showcase pada 6 Julai lalu. Pameran ini merupakan kesinambungan daripada Malaysian Emerging Artist Award (MEAA) 2022 di mana lima orang pemenang telah terpilih daripada 13 orang finalis.

Bayu Utomo Radjikin memberi ucapan sebagai pengasas Malaysian Emerging Artist Award

Diasaskan pada tahun 2009 oleh seniman sohor tempatan Bayu Utomo Radjikin, MEAA merupakan pertandingan dwitahunan yang tertumpu kepada seniman bawah 35 tahun. Pada Oktober lalu, Amar Shahid, Aza Ikmal, Noor Zahran, Syahmi Jamaluddin dan Syazwan Rahim telah dinobatkan sebagai pemenang untuk MEAA 2022. Antara hadiah yang diterima merupakan sebuah pengembaraan seni ke tiga buah kota di Indonesia iaitu Bandung, Jakarta dan Yogyakarta.

Jika sebelum ini hanya lima orang pemenang sahaja yang mendapat hadiah tersebut, dengan kerjasama CIMB Foundation, MEA Management telah juga memanjangkan jemputan pengembaraan seni ini kepada lapan orang lagi peserta akhir MEAA 2022. Sepanjang 10 hari di sana, mereka telah berpeluang untuk melawat galeri, bengkel dan juga studio seniman di sana dengan tujuan memberi pendedahan yang lebih luas kepada seniman-seniman muda ini.

Tafsiran Pengembaraan Seni Ke Tiga Kota Indonesia

Setelah hampir setengah tahun berlalu sejak pengembaraan seni tersebut, kini seniman-seniman yang terlibat mempamerkan hasil daripada pengalaman tersebut. Sebanyak 65 karya dipamerkan di International Gallery, Lim Kok Wing University of Creative Technology, Cyberjaya selama 10 hari. Bayu Utomo Radjikin telah mengulas, “mereka telah cuba untuk menjelmakan idea dan semangat yang didapati daripada ketiga-tiga bandar tersebut ke atas karya-karya mereka dengan percubaan yang baru.”

Pengerusi MyCreative Ventures YB Dato’ Muhammad Bakhtiar Wan Chik dijemput bagi melancarkan pameran

Acara telah disempurnakan oleh Pengerusi MyCreative Ventures YB Dato’ Muhammad Bakhtiar Wan Chik. Turut hadir bersama adalah Ketua Pegawai Penjenamaan Universiti Lim Kok Wing, Dato’ Tiffanee Lim, Pengerusi CIMB Foundation, Datuk Mohd Nasir Ahmad dan juga Ahmad Shahriman Mohd Shariff, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Foundation.

“Kami sangat berbesar hati untuk meneraju dalam memastikan perkembangan ekosistem seni dan budaya tempatan terus maju dengan menyuntik lebih semangat dalam pasaran melalui Thirteen Best Artists Showcase ini, yang juga merupakan sebuah pentas unik bagi bakat muda kita mempamerkan karya seni mereka,” ujar Datuk Mohd Nasir.

Datuk Mohd Nasir Ahmad memberikan ucapan beliau sebagai Pengerusi CIMB Foundation

Kepentingan seni rupa dalam pemajuan negara

Dato’ Muhammad Bakhtiar semasa ucapan pelancarannya telah berkongsi tentang sebuah mural di Balik Pulau yang telah berjaya menggalakkan ekonomi pelancongan kawasan tersebut. Beliau juga menyatakan, “seni merupakan sebuah penyumbang besar dalam ekonomi dan memainkan peranan penting dalam membentuk identiti peribadi dan juga pembinaan negara. Tambahan lagi, seni dan budaya memberi sesebuah kota itu pengisian, perwatakan dan kerancakan serta mencerminkan ketegasan intelektual dan keterlibatan masyarakat.”

Noor Zahran salah seorang seniman terlibat dalam pameran ditemuramah

Semestinya kesemua tiga belas seniman yang terlibat dalam pameran ini boleh dikatakan antara yang terbaik di masa ini. Ini adalah kerana para finalis ini telah dipilih secara teliti dan diundi oleh juri yang datang dari pelbagai latar belakang seperti bidang korporat hingga pekerja budaya. Dato’ Tiffanee Lim turut mengulas, “sebagaimana Basquiat dan Andy Warhol mewakili New York dan Charles Satchii serta David Hockney mewakili London, Malaysia juga mempunyai ramai bakat luar biasa yang bersedia untuk diabadikan.”

Salah seorang peserta pameran, Izzudin Basiron bersama YB Muhammad Bakhtiar dan Dato’ Tiffanee Lim

Inisiatif Artober 2022

MEA Award oleh CIMB Foundation merupakan salah satu inisiatif di bawah CIMB Artober 2022. Untuk tahun ini, CIMB Artober Art & Soul bakal berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Center (MITEC) dan dijangka bermula pada Okt 5 sehingga Okt 8 2023.

Pameran Best Thirteen Artist ini akan berjalan dari sekarang sehingga 16 Jul dan galeri dibuka dari jam 11pg hingga 7ptg setiap hari. Sebarang kemaskini bagi MEAA boleh didapati di laman Instagram mereka.

Ikuti kisah menarik lain yang terdapat di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites