Bicara monolog dan gagasan seni Adlin Aman Ramlie

Mendalami pemikiran Adlin Aman Ramlie yang telah menceburi bidang seni sejak tahun 1990 lagi. Open Art Classes membantu peserta membina kefahaman tentang drama dari sudut pandangan seorang pelakon yang sudah mencipta nama lebih 31 tahun di persada industri tanah air.

Oleh FAZRINA JASMIN

Titik perubahan pemikiran kreatif dan kritis dalam dirinya bermula sejak zaman remaja. Masih segar dalam ingatannya sehingga sekarang – ketika itu buku kegemaran yang sering dibaca ialah bertemakan kosmologi, galaksi dan universal science atau sains sejagat. Bagi sesetengah orang, mungkin agak rumit untuk menyelami sambil membayangkan mind engagement seawal usia 19 tahun pada skala yang cukup besar persis ledakan supernova. Dia sangat adaptive dan boleh menangani jenis-jenis kerumitan atau complexities yang melibatkan jurusan pemikiran, pembelajaran dan pengendalian bermacam benda serentak pada satu-satu masa. Acapkali dirinya memerhati, mengkaji dan membuat perbandingan berdasarkan filem-filem yang terdahulu ditontonnya atau melalui novel mahupun naskah yang lengkap dibaca. Selain hobi, mungkin itu juga merupakan suatu kelebihan yang menggambarkan bagaimana mindanya bekerja – traits atau sifat yang ada pada Adlin Aman Ramlie.

Menceburi industri seni negara bermula dari tahun 1990 lagi, Adlin yang terkenal sebagai pelakon yang menjulang watak Sultan Mahmud Shah dalam filem/teater muzikal “Puteri Gunung Ledang” bakal mengendalikan sesi Zoom Seni Lakonan Monolog Dalam Teater dan Skrin di bawah kelolaan CENDANA pada 30 Oktober 2021 selama dua jam, bermula 2.00 petang waktu tempatan. Kursus dalam talian ini menggunakan pendekatan video tutorial sebagai alat bantuan mengajar bagi memperincikan tiga modul asas yang merangkumi seni drama, seni persembahan dan seni lakon monolog, diikuti dengan perbincangan interaktif atau sesi soal jawab pada setiap pengakhiran modul.

Gambar: Instagram

Menurut Adlin, sesi pengenalan ini bertujuan untuk memberikan orientasi menyeluruh dalam membina kefahaman dan memacu gaya berfikir secara kreatif, kritis dan imaginatif yang sewajarnya ada pada seseorang pelakon. Sebagai seorang anak seni yang cukup berpengalaman dan selayaknya digelar “master”, Adlin akan berkongsi buah fikiran dan ilmu asas lakonan bagi menyiapkan minda para peserta sebelum mereka turun padang dan mula beraksi.

“Sebagai sasaran pembelajaran, adalah amat penting untuk setiap individu mempunyai idea dan pemikiran yang tepat. Paling tidak, sesi ini menjadi pemangkin bagi menggerakkan daya fikir peserta agar tahu apa yang perlu dipersoalkan dan bagaimana untuk menanyakan soalan-soalan yang bijak. Apabila mereka alert dan tahu apa yang mereka perlu tahu, proses pembelajaran pastinya akan menjadi lebih sistematik dan terarah. Itu maksud orientasi – konsepnya sama seperti minggu orientasi/pengenalan ketika hendak memulakan sesuatu pengajian di kolej/universiti.”

“Pertama, peserta perlu bina kefahaman berkaitan terminologi, fungsi dan elemen-elemen yang wujud dalam drama. Drama melibatkan aksi, aksi melibatkan perlakuan/lakonan. Di situ wujudnya pelakon. Kedua, saya akan menyentuh tentang makna dan orientasi seni persembahan – konvensi lakonan teater berbanding lakonan di skrin. Ketiga, kesenian monolog – keupayaan pelakon untuk berdiri sendiri berdasarkan teks bertulis/tidak bertulis tanpa perlu bergantung kepada mana-mana pelakon lain untuk berbalas dialog. Bahagian ketiga adalah lebih kepada memahamkan craftmanship – umum perlu tahu yang menguasai seni bermonolog adalah pintu masuk bagi seorang aktor yang benar-benar serius. Sesi ini diharapkan dapat memberi inspirasi, kefahaman dan koordinasi yang jelas tentang perjalanan seni yang bakal ditempuhi kelak,” jelas Adlin.

Gambar: Facebook

Menurutnya lagi, sesi tutorial yang diadakan tidak hanya terhad kepada mereka yang meminati bidang lakonan sahaja memandangkan dalam dunia skrin mahupun teater, pelakon lazimnya diapit oleh skrip dan pengarahan. Jelas Adlin, dia meletakkan dirinya di tengah-tengah agar dapat memberikan kefahaman orientasi yang menyeluruh dengan mengambil kira kepelbagaian latar belakang para peserta. Dengan cara ini, mereka yang menulis juga boleh mengikuti sesi pembelajaran dan memahami bagaimana pelakon berdepan dengan skrip dan “memandang” sesuatu naskah – apa yang ingin dicari atau digali, manakala mereka yang mengarah pula secara tidak langsung dapat mengetahui kaedah untuk trigger the right button bagi mencungkil skil lakonan, selain menangani naskah dengan pelakon.

Bercakap tentang perancangan jangka masa panjang bersama CENDANA, selain merancang untuk mengadakan beberapa siri bengkel seni lakonan aras pertengahan/lanjutan, Adlin begitu teruja berkongsi tentang MONOMANIA, iaitu projek kesenian solo/tunggal yang juga merupakan lanjutan kepada kesenian monolog pada peringkat tertinggi dan berskala mega. Sungguhpun seni monolog sudah lama bertapak, Adlin berpendapat masih ada yang tidak mengambil serius dan memandang enteng, selain menganggapnya sebagai seni picisan atau sekadar ujian lakonan dalam kalangan pelakon-pelakon amatur.

“Saya ingin mengangkat seni monolog sebagaimana sebelum ini saya meletakkan tanda aras pada teater muzikal menerusi ‘P. Ramlee’ dan ‘Puteri Gunung Ledang’. Apabila saya meletakkan MONOMANIA secara full-fledged dan mapan 360 darjah dari hujung ke hujung, kemuncak tertingginya ialah MONOMANIA International Festival. Ia umpama ‘pentas juang’ buat kandungan monolog, mono drama atau persembahan solo yang menghimpunkan semua monologists, iaitu individu-individu yang berdiri sendiri sebagai penghibur, sama ada pelakon (menerusi monolog versi pendek atau mono drama versi panjang), penyanyi, penari balet/avant-garde, ahli silap mata, pelawak atau stand-up comedian, busker atau gitaris, pemain dram, apa sahaja selagi ia merupakan persembahan solo. Inilah masa, pentas dan platform mereka dipacu oleh keunggulan temasya yang sesuai dengan bakat dan kebolehan yang mereka miliki. This is the place,” ujar Adlin optimis.

Mendengar penerangan Adlin, suatu sisi yang amat terserlah ialah daya ciptanya dalam menjana/mengolah sesuatu idea sebelum diterjemahkan dengan jelas dalam bentuk persembahan, sama ada menerusi teater, drama tv mahupun filem. Adlin yang juga “memakai topi” sebagai seorang penulis dan pengarah menambah, “Saya tahu macam mana noisy saya boleh jadi apabila terlibat dalam satu-satu produksi. Contohnya dengan skrip, saya mencabar skrip; dengan lakonan, mencabar watak. Dalam pengarahan, apabila bekerja dengan pengarah-pengarah, ia sering hampir menjadi sebuah kolaborasi. Ini tidak hanya datang daripada pemikiran seorang pelakon tetapi seorang pencipta.”

Gambar: Facebook

“Selain berlakon, saya suka menulis dan mencipta sesuatu yang baharu. I love to create and play with ideas. Itu sangat menginspirasikan buat saya. Berlakon memang seronok dan memberikan kepuasan dalaman, namun pada usia sekarang, ia menjadi secondary. Matlamat utama saya ialah untuk mencipta/menghasilkan sesuatumenerusi penulisan, pengarahan dan penerbitan. Sama seperti program berbentuk pendidikan yang membolehkan saya berkongsi pengalaman, pengetahuan dan penemuan atau discovery, saya ingin menyumbang semula kepada komuniti dan generasi baharu agar mereka lebih terpimpin.”

Melihat kepada watak “Adlin Aman Ramlie” dengan sudut pandang dan sisi-sisi yang begitu colourful dan pelbagai, timbul persoalan di minda berkaitan siapa yang selayaknya menghidupkan watak Adlin seandainya diadaptasikan ke dalam filem atau mungkin diterjemah ke dalam sebarang bentuk seni yang lain. Jelas Adlin, ia hanya akan berlaku apabila work itu menjadi autobiografi, karya yang datang daripada dirinya sendiri. Sekiranya ia adalah sebuah biografi, boleh jadi ia tidak akan berlaku.

Tambah Adlin, “Seandainya ia berlaku sekalipun, barangkali apabila saya sudah uzur kelak, mungkin juga 20 hingga 30 tahun mendatang. Aktor yang membawa watak saya perlu sekurang-kurangnya menjadi seperti saya atau jauh lebih baik lagi dari segi gaya pemikiran, falsafah hidup dan segala-galanya tentang saya. Mungkin juga dia belum lahir lagi buat masa sekarang.”

Bagi anda yang masih belum mendaftar untuk Sesi Open Art Class, “Seni Lakonan Monolog Dalam Teater dan Skin”, hari ini (Okt 30) pukul 2pm, anda boleh klik di sini.  

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites