Bazar Seni Muzium dan Galeri Seni BNM Kembali Dengan Pelbagai Aktiviti

Bazar Seni Muzium dan Galeri Seni BNM merupakan ikhitiar Bank Negara dalam menghidupkan ekonomi kreatif tempatan.

oleh DANIAL FUAD

Dengan tujuan untuk memacu ekonomi seni dalam negara, Bank Negara Malaysia tampil dengan siri terbaru Bazar Seni Muzium dan Galeri Seni BNM. Acara tahunan yang berlaku sejak tahun 2016 ini sarat dengan pelbagai aktiviti buat para pengunjung. Jika tahun lepas mereka tampil dengan tema Alam Nan Tunggal, tahun ini mereka tampil dengan tema Apa Khabar?. Tema tahun ini melambangkan kesejahteraan, dan bertujuan meraikan seniman tempatan dengan mempamerkan bakat serta memupuk kemahiran keusahawanan mereka.

Aktiviti Tersedia

Seperti tahun-tahun yang lepas, tujuan utama acara ini dianjurkan adalah bagi menguatkan ekonomi para seniman. Tentulah perkara utama yang disajikan adalah pameran dan juga jualan karya seni. Jika tahun lepas jumlah pempamer adalah 14 orang, tahun ini bertambah kepada 17 orang seniman yang menyertai Bazar Apa Khabar ini.

Daripada catan, lukisan hingga seni cetak dan karya seni daripada media campuran, pengunjung akan merasai pengalaman mendalam yang meneroka jalinan seni dan kesihatan holistik. Semua karya seni di Bazar Seni ‘Apa khabar?’ akan dijual dengan harga yang berpatutan iaitu RM2,500 dan ke bawah.

Selain daripada itu, disediakan juga pelbagai aktiviti sampingan yang boleh disertai para pengunjung seperti ceramah kesihatan, senaman Zumba, demonstrasi seni, bengkel dan bicara seni bersama seniman akan memberikan peluang memahami cara seni  serta dapat mempertingkatkan kesejahteraan mereka. Terdapat juga peniaga tempatan lain yang menyertai bazar ini seperti Tokosue yang menyediakan bahan bacaan serta Kintry, sebuah peniaga yang menghasilkan makanan ringan sihat di antaranya.

“Kami percaya bahawa seni memiliki daya untuk menyembuhkan dan memberikan inspirasi. Sambil kita menghadapi tugas harian, penghayatan seni sebagai cara untuk menenangkan diri boleh menjadi pilihan yang baik. Kami berharap Bazar Seni ‘Apa khabar?’ dapat menjadi ruang untuk masyarakat kita mencari ketenangan, kebaikan dan inspirasi,” kata Pengarah BNM MAG, Noreen Zulkepli.

Bazar Seni Apa Khabar ini telah dilancarkan pada 2 Nov lalu dan bakal berlangsung sehingga 12 Nov ini. Masuk adalah percuma di mana bazar dibuka setiap hari dari jam 10pg hingga 5ptg kecuali hari Isnin. Untuk keterangan lanjut mengenai Bazar Seni Apa khabar?, boleh layari laman sesawang mereka atau pun dengan mengikuti Instagram Bank Negara Museum and Art Gallery.

Ikuti kisah menarik lain yang terdapat di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites