Andai ruang mampu bersuara dalam pandemik ini, apakah yang akan diceritakan?

Ikuti G13 Gallery bersama dua individu, Caryn Koh dan Wong Ming Hao, dalam pameran maya 'Between Spaces' dan selami realiti kehidupan norma baharu COVID yang meruntun jiwa.

Oleh MIMI SALLEH

Hampir dua tahun pandemik COVID-19 melanda dunia, masyarakat sudah semakin selesa menjalani kehidupan norma baharu. Pameran seni visual secara maya juga lebih ceria dan menarik berbanding setahun lalu, dengan gabungan video dan e-katalog. Namun, menghayati calitan warna dua orang artis iaitu Caryn Koh dan Wong Ming Hao dalam pameran maya, Between Spaces yang telah berlangsung sejak 11 Ogos sehingga 25 Ogos ini, kita harus menerima hakikat bahawa impak pandemik membuatkan ada diantara kita yang sudah tidak mampu tersenyum lagi. Ada yang sudah hilang jiwa untuk menikmati hidup dan ada yang hanya tinggal jasad kosong.

Kisah pandemik COVID-19 ini umpama igauan ngeri dalam tidur yang berpanjangan. Setiap anggota tubuh mahu bebas dari belenggu penjara pandemik namun kita tiada kuasa untuk melenyapkan pandemik sekelip mata. Yang ada hanyalah menunggu dalam ruang yang terasa semakin sempit. Ruang yang kini menjadi peneman bisu.

Andai ruang ini mampu bersuara, apakah yang akan diceritakan? Pameran Between Spaces seakan-akan memberi suara pada ruang itu untuk menceritakan hal individu yang terkurung di dalamnya. Ia adalah suara jujur yang menceritakan emosi yang mati perlahan-lahan dalam jasad yang berusaha untuk terus hidup. Koh dan Wong masing-masing mempunyai cara tersendiri dalam menginterpretasikan emosi tersebut. 

Warna pastel dan tona warna lembut cat minyak menjadi catan pilihan Koh. Setiap lukisannya memaparkan emosi kosong tanpa air mata. Kemurungan, keresahan, kecelaruan dan ketidakpastian diadun menjadi satu perasaan yang bergelodak. Perasaan itu adalah satu emosi senyap sunyi yang sangat difahami oleh mereka yang pernah mengalaminya. Melihat wajah si gadis bercangkung di tepi rumah, termenung di ruang tamu, bersendirian di dalam bilik dan memeluk kucing, Caryn berjaya menghasilkan mimik muka dan lentuk tubuh bagi menggambarkan setiap perasaan pada lukisan tersebut.

E-katalog pameran ini turut memuatkan perkongsian Koh berdepan dengan keputusan berat iaitu memilih kerjaya seni dan meninggalkan kerjaya perubatan. Membaca latar belakang gadis yang baru tamat pameran solo di Mams Gallery di Swindon, United Kingdom kita didedahkan dengan pengalamannya berpindah ke lokasi baharu.

Proses adaptasi dengan tempat baru itu, Koh belajar untuk meluahkan rasa melalui seni lukisan mural dan ini membantu interaksinya dengan orang sekeliling. Dia juga mengakui mengambil inspirasi daripada hasil kerja Liu Xiaodong yang dipengaruhi oleh Lucid Freud. Isu sosial yang melanda orang kebanyakan adalah sesuatu yang menarik minat Caryn.

Gaya lukisan Wong Ming Hao pula jauh berbeza daripada Koh. Pilihan warna, tekstur yang dihasilkan dan emosi yang dizahirkan ternyata lebih berani. Jika lukisan Koh kedengaran senyap, sebaliknya lukisan Wong kita boleh mendengar jeritan emosi seorang lelaki. Aksi merobek, mencarik dan menyiat sehingga tubuh dilukai, mungkin itu emosi terpendam kaum lelaki dalam menangani belenggu pandemik ini.

Teknik lapisan kolaj akrilik (acrylic paint-skins collage technique) yang Wong cipta pada tahun 2018, semasa menjadi artis residen di HOM, memberi tekstur yang unik sekaligus menimbulkan kelainan pada keseluruhan karya. Membaca sesi soal jawab di e-katalog, Wong memberitahu tujuan dia menggunakan teknik tersebut kerana dia mahu menggambarkan hakikat sebenar kehidupan di sewaktu pandemik. Apa yang ditonjolkan di media sosial kemungkinan bukanlah rupa yang sebenar. Kita memakai topeng untuk cuba mengaburi hakikat. Malah, lapisan kolaj yang digunakan turut memberi gambaran ada lapisan berselirat yang cuba kita sembunyikan, yang lama kelamaan akan membelit diri sendiri. Kita akan lemas andai membiarkan lapisan itu semakin menebal.

Menariknya, jika kita ke Facebook G13 Gallery, kita boleh melihat proses Wong menghasilkan setiap lapisan akrilik itu. Malah, apabila lapisan akrilik kering itu dicarik memanjang, boleh terasa seperti kulit disiat. Terasa ngilu. Lebih-lebih lagi apabila kita mengetahui Wong menggunakan figura dirinya sendiri sebagai subjek. Ini memberi impak realisme bahawa lukisan itu bukan sekadar calitan warna tetapi manusia hidup yang sedang merana.

Walaupun dua orang artis ini mempunyai gaya lukisan yang berbeza, namun paparan rasa sedih, fikiran kacau, rasa kosong dan sunyi itu digambarkan dengan baik. Setiap lukisan menimbulkan rasa simpati dan empati malah sesekali terdetik, “Aku juga merasai rasa sepi itu”.

Karya seni adalah suara artis dalam merakamkan dan meluahkan pemikiran serta perasaan masing-masing. Walaupun pameran ini dibuat secara maya, ia berjaya memberi rasa kepuasan kerana selain membaca latar belakang kedua-dua artis di e-katalog, kita juga boleh melihat beberapa video di Facebook G13 Gallery mengenai kedua-duanya. Malah, perbezaan pilihan warna, medium dan interpretasi kedua-dua artis terhadap tema pandemik ini membawa kita ke dalam keseimbangan dalam ekspresi yang bertentangan; Koh beremosi kosong, manakala Wong melontarkan emosi yang melampau. 

Hakikat tentang pandemik COVID-19 ini, kita harus akui telah meninggalkan parut luka yang mendalam kepada ramai masyarakat di luar sana. Pameran maya ini mengajak para pengunjung untuk memahami isu kemurungan. Malah, persoalan “Berapa lama lagikah aku mampu bertahan hidup dalam pandemik ini?” secara tidak langsung telah mengetuk kotak minda akan tahap ketabahan diri kita sendiri.

Isu norma baharu bekerja dari rumah, beban kerja yang bertambah, kehilangan kerja, kematian orang tersayang dan kemelut politik negara umpama avalanche yang menimbus seluruh jiwa raga. Justeru, usaha untuk bangkit daripada kesengsaraan dan keluar daripada ruang sempit ini memerlukan sokongan mental dan fizikal.

Pameran seni visual secara maya ‘Between Spaces’ ini sedang berlangsung di G13 Gallery sehingga Ogos 25.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites