Adiguru CENDANA: Supian Hassan

Dikenali dengan nama Supian Hanuman Ikan, artis kelahiran Kelantan ini membawa BASKL untuk mendekati seni dikir barat melalui cerita-cerita sejak permulaan kariernya. Supian merupakan salah seorang Adiguru CENDANA yang hebat memperjuangkan karyanya!

Oleh NABILA AZLAN

Diam-diam bekerja sambil menghayati seni, seniman dikir barat yang dinamakan Supian Hassan, 56, sudahpun mencipta lebih 500 buah lagu sepanjang penglibatannya dalam seni turun-temurun ini. Kata pendikir popular kelahiran Kampung Dalam Rhu di Tumpat, Kelantan ini, “Saya berkecimpung dalam bidang seni ini sejak tahun 1990 lagi.” Baru-baru ini, Sufian telah melancarkan buku antologi yang memuatkan 100 lirik dikir barat terpilih, digelar Lirikku Lukisan Jiwaku. Buku terbitan Pustaka Dewan Puisi (PDP) ini adalah jenis buku yang jarang-jarang dikeluarkan kerana lazimnya kita lihat koleksi syair, cerpen dan puisi yang diterbitkan.

Insan yang telah ‘berguru dengan pengalaman’ ini dikenali dengan nama Supian Hanuman Ikan kerana penglibatan kerjaya lampaunya dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia. “Dulu, dikir barat bukan pekerjaan utama saya,” ceritanya. “Hari ini, bagai orang mengantuk disorongkan bantal, saya menjadi guru untuk pasukan lama saya.” Sebelum menumpukan sepenuh perhatian terhadap seninya, Supian juga merupakan seorang penolong pegawai belia dan sukan di bawah Kementerian Belia dan Sukan.

Buat pengetahuan semua, tambah-tambah lagi yang mungkin tidak biasa dengan corak seni dikir barat, ia merupakan seni tradisi terkenal di negeri Kelantan yang melibatkan nyanyian korus berpandukan perbahasan spontan ala pantun. Sebuah pasukan dikir barat terdiri daripada seorang ketua yang digelar Tok Jogho (atau Tok Joro), seorang Tukang Karut selaku komposer lirik improvisasi, para pemuzik dan sekumpulan Awak-Awak, iaitu barisan penyanyi korus yang akan bertepuk tangan mengikut arahan seni ketua pasukan.

Sufian bergerak menjadi sebahagian daripada Awak-Awak di samping terus mencipta lagu buat persembahan. Sesampainya satu tahap, kata Sufian lagi, “Untuk persembahan, saya letak di tepi dahulu untuk fokus terhadap penulisan, dan inilah yang menempa nama saya sehingga ke hari ini”.

Jatuhnya hati artis ini terhadap seni dikir barat adalah disebabkan oleh lenggok lirik dan iramanya. “Keserasian muziknya, dengan (gabung suara) Awak-Awak dan suara Tok Jogho yang merdu,” jelasnya. Cukup sekadar melihat persembahan dari seniman dikir barat yang terkenal, “Seperti Salleh Jambu dengan rentak padang pasirnya, Daud Bukit Abal dengan lagu daerahnya, Aripin Ana dengan Makyongnya, Jusoh Kelong dengan melodi Arabnya – alunan rebana yang dikeluarkan menghiburkan saya,” Supian terpesona dengan pembawaan dikir barat yang pelbagai – sedikit pun tidak jemu melihat persembahan dari nama-nama ini. Merekalah yang mendorongnya untuk mendekati bentuk seni ini; sesetengah dari mereka juga turut memberikan ilmu kepadanya secara langsung.

Mengikut fahaman seni penulisan dan rekaan lagu dikir barat Supian sendiri, dia mengatakan bahawa ia tidak lari jauh dari reka cipta pantun. “Saya terlibat dengan Persatuan Penulis Tumpat (PESISIR) dan sedang orang lain menulis puisi dan cerpen, saya pula menulis lagu,” katanya. “Ritma (dikir barat) seakan berpantun. Kalau boleh berpantun, maka bolehlah berdikir.”

Apakah dia antara cabaran yang dihadapi olehnya sebagai pencipta lagu dikir barat? Kata Sufian, “Penerimaan artis pembawa terhadap lagu yang dicipta. Contohnya, dalam seratus buah lagu yang saya berikan pada Megat Nordin, mungkin satu sahaja yang diambil!” Dia turut akui, bayaran awal terhadap karyanya tidak setimpal dengan usahanya. “Saya dibayar RM20 untuk lirik lagu dikir barat saya, tetapi lagu pop pada masa yang sama mungkin dibeli dengan harga RM500!” Selepas hal ini meningkat baik, para pendikir baru seperti Mat Glamour mula tampil.

Sufian mengingati corak persembahan yang sebelumnya. Pernahkah anda melihat dua corak persembahan dikir barat – di dalam barisan dan disusun sebagai bulatan? “Kebiasaannya, persembahan dikir barat yang disusun berbaris adalah disebabkan oleh rakaman atau adanya kehadiran kamera. Sejak awal lagi, pihak RTM yang selalunya menyusun begitu rupa,” katanya. “Dikir barat yang dilakukan dalam bulatan merupakan susunan awal persembahan. Yang ini lebih santai. Ikut tradisi, kumpulan memang akan membelakangi penonton. Dulu-dulu, pakaian kami pun biasa-biasa sahaja, tetapi sekarang nak lebih cantik, kami pakai yang seragam. Sekarang dah ada bermacam-macam gaya!” Persembahan kini dicantikkan lagi dengan paluan rebana ibu dan susunan tarian oleh jurutari kumpulan.

Bila ditanya tentang kemahiran asas yang diperlukan oleh seorang pendikir, jawab Sufian, “Tukang Karut mesti mahir berpantun. Peranan ini boleh dimainkan oleh dua orang pada satu-satu masa – seorang yang melagukan pembayang pantun, seorang lagi pula menjawab pantun. Ada juga yang berdikir bertiga atau berempat.” Sufian biasa menurunkan ilmunya kepada penyanyi dan Tok Jogho baru. Namun, katanya, “Tak mudah untuk menjadi Tukang Karut – selalunya mereka ada bakat semula jadi (yang tidak boleh diajar).”

Penerimaan anak-anak muda terhadap seni dikir barat masih baik, menurutnya lagi. “Rata-rata yang dekat dengan saya adalah pendikir muda, ada yang turut mengiring pendikir yang lebih berpengalaman.”

Supian yang sudah lama bergiat aktif dalam arena dikir barat berhasrat untuk terus mendokong seni ini selama hayatnya. “Mungkin patah tumbuh hilang berganti, artis baru dikir barat akan terus ada, tetapi rugilah jika tidak berjasa selama masih ada,” katanya. “Elemen tradisional dikir barat harus dijaga, jangan ‘hilang terus’ mengikut arus muzik moden. Tetapi nak diikutkan, lebih penting adalah untuk semua orang – tidak kira dari negeri mana, tahu bagaimana rupa persembahan dikir barat”.

Bercakap tentang pencapaiannya sepanjang karier seperti rangkulan Anugerah Penggiat Budaya 2006 dan “Kemunculan saya dalam akhbar lebih kepada untuk orang lain, bukan saya. Ramai yang tak tahu kumpulan dikir barat sebenarnya ada penulis lirik, rata-rata orang ingat Tok Jogho yang menulis lirik. Saya boleh katakan yang 80 peratus Tok Jogho tidak boleh menulis lirik.”

“Banyak lagi lagu dalam simpanan saya yang masih saya belum turunkan lagi,” kata Sufian. “Saya tidak ada ‘masa termenung’ – kalau habis kerja awal di pejabat, dalam masa setengah jam sempat saya siapkan satu lagu!” cerita Sufian tentang penulisannya. Penganugerahan Adiguru CENDANA ini dilihat sebagai sesuatu yang bernas – katanya, “Program ini tidak boleh berhenti di sini. Bagi saya, apa yang saya ada sekarang saya nak curahkan walaupun sudah berumur.”

Supian HAssan merupakan penerima dana Adiguru fasa ke-2 dalam seni dikir barat. Program Adiguru CENDANA dijalankan dengan kerjasama PUSAKA.

Baca kisah-kisah lain seperti ini di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites