Adiguru CENDANA: Badron Bin Omar

Kompang merupakan sebuah alat muzik yang cukup sinonim dengan adat dan tradisi Malaysia terutamanya orang-orang Melayu. Adiguru CENDANA Badron Bin Omar berkongsi penat lelah dan perjalanan liku-liku kehidupannya selama lebih 50 tahun menceburi bidang seni permainan Kompang Jawa.

Oleh SHAFIQUE DANIAL JOHARI

Badron Omar merupakan seorang guru, seniman dan pemimpin sebuah pasukan Kompang Jawa yang bertempat di Kampung Parit Baru Darat, Sungai Ayer Tawar di Sabak Bernam, Selangor. Badron telah dilahirkan pada tahun 1951 juga di tempat yang sama dan telah mula mempelopori Kompang Jawa ini sejak tahun 1970-an. “Asal usul Kompang Jawa Terontong ini daripada orang tua-tua dahulu daripada Tanah Jawa iaitu di Jawa Timur. Saya pula memang keturunan Orang Jawa tapi lahirnya di Malaysia. Saya membesar di sini, saya bersekolah di sini dan telahpun bersara. Sekarang ini saya seorang pesara dan sepenuh masa dihabiskan untuk kegiatan seni Kompang Jawa Terontong dan Hadaro,” kongsi Pak Badron.

Kegiatan seni Kompang Jawa ini merupakan sebuah tradisi Melayu yang semakin hari semakin hilang ditelan zaman arus pemodenan, namun begitu Pak Badron dan rakan-rakannya di Kumpulan Kompang Anak Selangor atau KOMPAS ini masih lagi gigih meneruskan dan mencari barisan pelapis agar tradisi ini masih dapat diteruskan sehingga ke anak cucu. “Asalnya memang ramai yang belajar tradisi Kompang Jawa ini tetapi sekarang ini semuanya dah pupus. Jadi kumpulan kami pun, usaha demi usaha dan kini Alhamdulillah, kami dapat adakan balik Kompang Terontong ini. 

Menurut Pak Badron lagi, semua dalangnya (pemimpin Kompang) telah meninggal dunia dan kini cuma ada satu sahaja lagi dalang yang masih hidup dan satu yang ada inilah mereka ingin benar-benar menuntut ilmu daripadanya. “Kita hendak korek betul-betul ilmu dia supaya dapat turun kepada generasi yang akan datang. Jadi kita ini lah yang akan pelopori Kompang Terontong itu, kalau tak memang habis lah,” tambah Pak Badron. Kumpulan Kompang Anak Selangor (KOMPAS) ini merupakan generasi terakhir di negeri Selangor yang masih lagi berkarya sehingga ke hari ini.

Kompang Jawa ini mempunyai dua bentuk Kompang iaitu Kompang Terontong dan juga Kompang Hadaro. Tujuan permainan Kompang ini pula kebiasaanya adalah untuk hiburan dan persembahan di majlis-majlis agama seperti majlis khatam Al-Quran, majlis berkhatan dan juga majlis perkahwinan. Alunan iramanya pula seakan-akan sama dengan gamelan dan intipatinya diisi dengan kalam arab seperti zikir dan salawat yang dinamakan berzanji.

Seni Kompang Jawa ini telah dibawa oleh pedagang-pedagang Jawa yang tiba di perairan Tanah Melayu pada awal abad ke-20. Pada ketika itu, yang wujud hanyalah seni Kompang Jawa Terontong, kemudiannya orang-orang Melayu pula telah menambahbaik seni ini dan memperkenalkan seni Kompang Jawa Hadaro yang lebih rancak dan kompangnya juga mempunyai sedikit perbezaan. Antara selawat yang sering dimainkan adalah seperti ‘Assolatu’, Bissari, ‘Ya-Solatun’, ‘Sailillah’ dan juga beberapa rangkap lain daripada susunan berzanji. Jika kita imbas kembali asal-usul Kompang Jawa ini, kita dapat lihat bahawa seni inilah yang digunakan oleh kumpulan Wali Songo pada suatu ketika dahulu dalam usaha dakwah dan perkembangan Islam di Nusantara. 

“Hadaro ini memang lahirnya di Malaysia dan bukan daripada Tanah Jawa. Tapi orang dulu-dulu lah yang menjadi pelopor pada seni Kompang Jawa Hadaro ini. Sebab itu pada waktu dulu, Hadaro ini memang ada dipermainkan di seluruh Malaysia. Di Johor pun dulu ada Hadaro. Di Perak pun ada,” kongsi Pak Badron. Namun menurutnya, sekarang ini kedua-duanya pun hampir pupus. Kumpulan-kumpulan Kompang lain pun hampir pupus. Jadi usaha nak menghidupkan semula itu lah yang sering giat dilakukan oleh kumpulan-kumpulan seperti KOMPAS ini. Mereka kumpulkan semula orang-orang yang mempunyai ilmu itu dan sekarang hidup baliklah seni Kompang Jawa Terontong dan Hadaro ini sampai lah hari ini. 

Pak Badron berkata, orang-orang muda lebih gemar untuk keluar daripada kampung dalam usaha mencari pekerjaan jadi tinggallah apa yang ada ini. Bila berbicara soal alat-alat muzik ini pula, mereka menggunakan kayu hutan yang kuat seperti kayu cengal. “Kayu ini memang tahan. Boleh ditukar kepada kayu lain tetapi sekarang ini nak cari tukang kayu itu yang susah. Jadi alhamdulillah apa yang masih ada ini masih lagi boleh digunakan. Masih kuat dan tahan lagi lah,” kongsi ketua kumpulan KOMPAS ini.

Kompang Jawa Terontong ini bunyinya ada persamaan dengan gamelan dan juga wayang kulit. Dia bukan sahaja mempunyai irama dan rentak tetapi dia ada nyanyian. Irama Terontong ini dia seolah-olah macam irama jawa. Kompang Hadaro pula dia ada irama jawa tetapi dia rancak sedikit. “Namun nyanyian dia atau bahasa berzanji dia tetap bahasa arab,” kata Pak Badron.

Pak Badron turut berkongsi cara untuk mendalami ilmu Kompang Jawa ini, “kalau nak belajar seni ini pula, seseorang itu perlu menghadap gurunya secara bersemuka seorang diri. Maksudnya satu orang bawak sebagai pemain utama dan pelapisnya lagi satu sorang. Contohnya kalau Kompang Jawa Terontong, pelapis dia kena ikut sama macam dalang Terontong itu”. Pak Badron juga menegaskan yang cara permainan mereka memang kena sama dan memang susah. “Nak pukul lagi, nak nyanyi lagi, itu yang susah. Kena belajar betul-betul lah dan bersungguh-sungguh belajar baru dapat ilmu itu, barulah dia boleh pukul dan boleh menyanyi. Dia kena rajin,” tambahnya.

“Saya betul-betul minat Terontong dan Hadaro ini. Saya hendak hidupkan balik Kompang Jawa ini supaya tak mati. Saya tengok Kompang dia pun saya sayang, siapa nak pakai nanti kan kalau kita dah tak pakai.” Itulah harapan Badron Bin Omar, seorang pemimpin pasukan Kompang dan juga seorang ADIGURU CENDANA. Semoga seni Kompang ini terus hidup sehingga ke akhir zaman.

Badron Bin Omar merupakan penerima dana Adiguru fasa ke-2 dalam Muzik Melayu Asli. Program Adiguru CENDANA dijalankan dengan kerjasama PUSAKA.

Anda juga boleh membaca artikel-artikel lain di sini:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites