Qasidah Qalbu: Album Dedikasi Untuk Rasulullah oleh Inteam

Qasidah Qalbu Untuk Yang Dirindu oleh Inteam dilancarkan sempena Maulidur Rasul 2024mengandungi 10 lagu qasidah yang kini boleh didengari di platform digital seperti Spotify dan YouTube.

Oleh DANIAL FUAD

Sempena Maulidur Rasul tahun ini, Inteam Digital mempersembahkan sebuah album khas berjudul Qasidah Qalbu Untuk Yang Dirindu. Album ini merupakan penghormatan istimewa memperingati Rasulullah S.A.W. dan mengandungi 10 buah lagu qasidah yang menampilkan barisan artis popular seperti Lah Ahmad, Azan Ruffedge, Amer BinYusoff, Zaf VE, Ustaz Kyrel Al-Gayauwi, dan Inteam sendiri.

Selaku pengarah projek, Hazamin Inteam menyatakan bahawa album ini berjaya direalisasikan dengan bantuan dana sebanyak RM100,000 daripada Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures. Dana Kandungan Kreatif Keboleh Pasaran (Domestik) ini telah dimanfaatkan melalui penghasilan lagu dan video muzik untuk semua 10 lagu yang terkandung dalam album ini.

“Kami amat berterima kasih kepada kerajaan atas sokongan yang diberikan kepada industri kreatif melalui dana ini, yang turut melibatkan lebih 50 pekerja seni dan membuka peluang pekerjaan baru,” tambah Hazamin.

Syah, ketua kumpulan Inteam, berkongsi bahawa idea untuk menghasilkan album ini telah bermula hujung tahun lalu. Kumpulan ini dan artis-artis yang terlibat sering bekerjasama dalam persembahan maulid dan qasidah. Ini memberi inspirasi untuk mereka bersatu menghasilkan album yang penuh makna ini.

Album ini memuatkan 8 lagu qasidah yang diberi susunan muzik baru serta 2 lagu terbaru ciptaan Syah dan Hazamin. Antara lagu yang terdapat dalam album ini adalah Muhammadun, Qad Kafani, Alfa Sollallah, Solatun Nur, Munajat Qamarun, Nasab Nabi, Selawat Adnani, Ya Taybah, dan Busyra Lana.

Bersempena dengan pelancaran album ini, video muzik untuk setiap lagu akan dilancarkan satu persatu setiap Jumaat di saluran YouTube Inteam Digital, bermula dari 2 Ogos dengan lagu Muhammadun dan berakhir pada 20 September dengan video Selawat Adnani.

Selain itu, Inteam turut menganjurkan cabaran #NasabNabi dan #QasidahQalbu di media sosial. Orang ramai boleh menyertai dengan memuat naik video kreatif mereka menghafal nasab keturunan Nabi Muhammad S.A.W di platform seperti TikTok, Facebook, atau Instagram. Pemenang akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM500 untuk tempat pertama, RM300 untuk tempat kedua, dan RM200 untuk tempat ketiga.

Album ini boleh didapati di platform digital seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube Music. Versi fizikal album dalam bentuk pemacu USB serta barangan cenderamata seperti kopiah dan baju kurta juga akan dijual dalam jumlah yang terhad.

Syah berharap album ini dapat menyemarakkan kecintaan kepada Nabi Muhammad S.A.W, terutamanya di kalangan generasi muda, serta memeriahkan lagi sambutan Maulidur Rasul tahun ini.

Ikuti kisah menarik lain yang terdapat di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites