Imbas kembali semangat jiwa muda di RIUH x Hari Belia Negara 2024!

Oleh NABILA AZLAN

Semangat yang dirasai sewaktu Hari Belia Negara (HBN) pada tahun ini adalah sesuatu yang istimewa – RIUH x Hari Belia Negara 2024 di Dataran Pahlawan, Banda Hilir, Melaka merupakan acara peringkat kebangsaan anjuran bersama Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures sebagai rakan kerjasama strategik.

Sempena tarikh sambutan HBN pada 15 Mei setiap tahun, acara kolaborasi yang memegang tema ‘Yakin Boleh’ ini dimuatkan dengan gugusan lebih 60 pengisian yang meletakkan 10 Gaya Hidup Rakan Muda sebagai paksi program dan aktiviti. Bukan itu sahaja, acara yang julung kalinya dianjurkan ini diserikan lagi dengan persembahan pentas yang menakjubkan dari nama-nama lokal yang popular dan sedang meningkat naik!

Sebuah penghargaan di peringkat kebangsaan dan pemangkin penghasilan karya seni pelbagai disiplin, RIUH x Hari Belia Negara turut mendedikasikan platform ini untuk meraikan ikon-ikon belia yang dikenali dalam komuniti masing-masing sebagai individu yang mencapai kegemilangan berinovasi dalam cara mereka yang tersendiri. Penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) 2024 selaku sorotan acara dimuatkan di dalam aturcara hari pertama menganugerahkan Muhammad Asmawi Sulaiman (28) dan Esther Ezhil Nanggai (21) sebagai penerima APBN 2024 Kategori Individu Lelaki dan Wanita.

RIUH x Hari Belia Negara 2024 dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Majlis diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat lain, antaranya YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh (Ketua Menteri Melaka), YB Hannah Yeoh (Menteri Belia dan Sukan), YB Adam Adli (Timbalan Menteri Belia dan Sukan), YB Teo Nie Ching (Timbalan Menteri Komunikasi) dan Sdr Mohd Izzat Haji Abdul Hamid (Presiden Majlis Belia Malaysia).

Buat pengetahuan para pembaca, Kembara RIUH pada awal tahun membuka tirai melalui tiga edisi di ibu kota Kuala Lumpur (Gong Xi RIUH di Bukit Kiara Skate Park dan #SamaSama Raya bersama Cuckoo di Sentul Depot) dan Johor (Tambak RIUH Beraya di Johor Bahru) pada bulan Mac dan April. Keberadaan RIUH di Melaka sempena HBN langsung menanda senarai 2024 sebagai acara keempat dari tujuh edisi yang dijanjikan seperti pengumuman lokasi Kembara RIUH oleh Menteri Komunikasi, YB Fahmi Fadzil pada tanggal 8 Mac yang lalu.

Mencatatkan kehadiran sekitar 35,000 orang pengunjung sepanjang dua hari acara, RIUH x Hari Belia Negara yang diadakan secara pertama kalinya pada tahun ini membawakan 12 vendor kreatif, makanan dan minuman. Pentas utama acara pula dibintangi oleh 20 artis tempatan yang versatil lagi pelbagai.

RIUH x Hari Belia Negara 2024 meriah dengan lagu-lagu daripada Pentarama Putrajaya, Mohsein Kush, Brendan De Cruz, Naki, Claudia, Bunga, Talitha Tan, IamNeeta, Dolla dan Belle Sisoski pada hari pertama (25 Mei). Hari kedua (26 Mei) pula merakamkan tenaga yang menakjubkan menerusi lagu-lagu daripada Chronicalz, Distorted, Forceparkbois, Saint Kylo, Muah!, Sekumpulan Orang Gila (SOG), Midnight Fusic, Insomniacks dan Hujan!

Pengisian hiburan ini sedikit sebanyak membantu dalam mempromosikan dan menguar-uarkan kuasa bakat tempatan. Karya penggiat seni dan budaya tanah air mekar di mata masyarakat, bermula dengan apresiasi dan pengenalan kepada golongan belia.

Gambar oleh RIUH (@riuhinthecity di Instagram) dan Brstmode (@brstmode di Instagram)

Baca kisah-kisah lain seperti ini di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites