Kembara RIUH 2024 umum jelajah ke tujuh lokasi termasuk Johor, Pahang dan Sarawak!

Dah rancang perjalanan anda untuk ke RIUH untuk tahun ini? Bersemangat merancakkan ekonomi lokal, perjalanan RIUH tahun ini merangkumi susunan atur seni, suasana dan komuniti yang lebih menarik.

Oleh NABILA AZLAN

Pada 8 Mac yang lalu di majlis RIUH Hangout di Menara Ken TTDI, Menteri Komunikasi, YB Fahmi Fadzil mengumumkan ringkasan perjalanan baru RIUH buat tahun 2024!

RIUH Hangout dihadiri oleh YB Teo Nie Ching (Timbalan Menteri Komunikasi), YB Adam Adli Abdul Halim (Timbalan Menteri Belia dan Sukan), Puan Zainariah binti Johari (Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan MyCreative Ventures), Puan Hadznita Hj. Mohamad Illham (Setiausaha Bahagian Pembangunan Kandungan, Kementerian Komunikasi), wakil-wakil syarikat korporat serta pemain industri kreatif dan seni. Majlis tersebut diadakan untuk menghargai mereka yang telah bertungkus lumus dalam menjayakan edisi RIUH yang terdahulu, dalam masa yang sama menjemput mereka yang bakal menyertai edisi yang baharu dan berkongsi kemeriahan RIUH yang akan dirasai tidak lama lagi.

Para peminat dan pengunjung RIUH semestinya menantikan pengisian edisi-edisi yang akan datang. Aktiviti menarik menanti di setiap lokasi, termasuk persembahan muzik, kebudayaan, bengkel kreatif, program kesenian, jualan barangan kreatif dan reruai perkhidmatan agensi bawah Kementerian Komunikasi. Dimulakan pada tahun 2022, Kembara RIUH adalah sebuah inisiatif Kementerian Komunikasi menerusi MyCreative Ventures (MyCV) yang berjaya menjana hampir RM3 juta hasil jualan usahawan kreatif dalam masa dua tahun.

Kembara RIUH yang baharu bakal berlangsung menerusi tujuh edisi, bermula Mac sehingga acara kemuncak iaitu pada bulan Disember 2024. Ia akan dimulakan dengan edisi khas RIUH Raya di Kuala Lumpur (Mac), sebuah kolaborasi bersama CUCKOO, diikuti RIUH Raya Ek! di Johor (April) sebelum ia bergerak ke Melaka buat edisi RIUH sempena Hari Belia Negara 2024 (Mei).

Tahun lalu, Kembara RIUH juga telah dilaksanakan di empat lokasi dengan rekod jualan kumulatif hampir RM1.5 juta; 824 pekerjaan diwujudkan yang membantu 643 penggiat seni dan kreatif. Ini termasuklah penganjuran TIBA-TIBA RIUH yang telah berjaya dianjurkan hanya dalam tempoh kurang daripada 14 jam, susulan pembatalan festival The Good Vibes.

YB Fahmi Fadzil

Selepas RIUH Oha! di Sarawak (Jun) dan RIUH Bah! 2.0 di Sabah (September) sempena Hari Malaysia, RIUH Ork! akan menemui pengunjung di Kuantan, Pahang (Oktober). Acara kemuncak RIUH seperti tahun 2023 akan kembali, iaitu Rock n’ RIUH sebagai penutup tirai Kembara RIUH 2024 (Disember).

RIUH merupakan platform memperkenal serta mempromosikan pelbagai hasil kreatif dan seni tempatan, termasuk menggalakkan penyertaan masyarakat. Gambar: @riuhinthecity di Instagram

Jumpa anda di edisi RIUH yang akan datang!

Baca kisah-kisah lain seperti ini di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites