‘Sound Spirit Zainalabidin: The Legacy of Sound’, konsert edutainment berjiwa emas

Konsert yang diketuai oleh penyanyi tempatan terkenal, Datuk Zainalabidin Mohamed ini adalah gabungan kuasa muzik dan pendidikan yang bakal menarik pelbagai lapisan peminat seni di klpac pada 20 Januari 2024.

Oleh NABILA AZLAN

“Kami teruja untuk menganjurkan sebuah acara yang bukan sekadar hiburan, malah sebagai platform untuk pembelajaran dan menjalinkan hubungan dalam industri muzik,” begitulah terujanya Datuk Zainalabidin berkenaan konsert Sound Spirit Zainalabidin: The Legacy of Sound,

Siapa sahaja yang tidak kenal akan Datuk Zainalabidin? Aura pentasnya seiring dengan lagu-lagu hitnya yang memancarkan gema bunyi Afro-Asia.

Bakal dibintangi dirinya sendiri, konsert pada 20 Januari 2024 di Pentas 1, The Kuala Lumpur Performing Arts Centre (klpac), Sound Spirit yang diteraju olehnya dan Afrozapin Network Sdn Bhd merupakan konsert berkonsepkan edutainment yang disokong oleh MyCreative Ventures dengan CIMB Artober sebagai rakan rasmi program.

Datuk Zainalabidin mempersembahkan lagu Ikhlas Tapi Jauh sebagai dendangan istimewa sidang media konsert Sound Spirit.

Uniknya, ia merupakan sinergi persembahan dan pendidikan yang meletakkan kumpulan pelajar dari latar belakang B40 sebagai fokus program.

Dalam mendekati usaha menyalurkan pengalaman transformatif seni, Sound Spirit telah bekerjasama dengan lima institusi pembelajaran tempatan iaitu Universiti Teknologi MARA, Universiti Malaya, Universiti UCSI, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), dan Universiti Limkokwing untuk memberikan impak positif terutamanya buat pelajar seni, muzik dan budaya.

Menjanjikan bukan sahaja muzik yang datang dari hati, tetapi inspirasi sepanjang lebih empat dekad Datuk Zainalabidin berkarya ini – beliau tidak berseorangan. Tiga lagi ikon muzik tanah air – Michael Veerapen, Sunil Kumar dan Steve Thornton akan juga berkongsi pengalaman dengan para peminat yang datang daripada pelbagai lapisan masyarakat. Malah, Sound Spirit turut membuka peluang penonton untuk menyaksikan dua orang penyanyi iaitu Pija Yasin (pemenang program nyanyian TV3 Mentor, protege kepada Datuk Zainalabidin) dan One Juicy (Penari B-Boy Terbaik Asia dan juara program realiti Astro Ria The Band) beraksi di atas pentas.

“Dengan melibatkan individu berbakat serta memberikan tumpuan kepada pelajar muzik yang kurang berkemampuan, kami berharap dapat menyumbang kepada pembangunan generasi seterusnya dalam bidang muzik dan seni,” kata Datuk Zainalabidin lagi.

Datuk Zainalabidin bersama penyokong utama serta rakan-rakan strategik Sound Spirit.

Beliau yang terkenal dengan lagu-lagu malar segar seperti Hijau dan Ikhlas Tapi Jauh amat bersemangat dalam mementaskan konsert ini. Beliau percaya, selain menjadi sebuah arena yang berkesan untuk menginspirasikan bakat-bakat baharu, ia juga mampu membina hubungan sesama rakan industri dan dalam masa yang sama, memberikan peluang kepada organisasi-organisasi seindustri dalam mempamerkan produk dan perkhidmatan masing-masing.

Sound Spirit merupakan acara satu malam (20 Januari 2024 di klpac, pukul 8mlm) yang mengetengahkan bakat, bimbingan dan kuasa keajaiban muzik. Tiket dijual pada harga RM 110 dan RM 210. Tekan sini untuk lebih info. Anda juga boleh mengikuti laman Instagram ini untuk kupasan lanjut.

Baca kisah-kisah lain seperti ini di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites