Oleh AZUWAN AHMAD
Sebuah konsert bertajuk Konsert P. Ramlee – Signature A Minor 7 yang pasti dinanti-nantikan para peminat seniman agung negara itu akan diadakan minggu ini pada 7 dan 8 Julai 2023 bertempat di Stage 1, PJ Performing Arts Centre (PJPAC) Petaling Jaya, Selangor.
Konsert yang mendapat sokongan daripada Kementerian Komunikasi dan Digital serta MyCreative Ventures menerusi Dana Kandungan Digital Industri Muzik ini adalah antara usaha untuk memperingati ulang tahun ke-50 pemergian Allahyarham Tan Sri P Ramlee. Ia diterbitkan oleh PH7 Production Management Sdn Bhd. Mereka telah terlibat selama 30 tahun dalam penganjuran acara kesenian persembahan di Malaysia. Antara jejak rakam hasil kerja mereka adalah Ola Bola The Musical dan Puteri Gunung Ledang The Musical bersama syarikat produksi seni ternama Enfiniti (M) Sdn Bhd. Aktiviti mereka yang terbaharu adalah penglibatan dalam produksi Asia’s Got Talent Musim 2 dan 3.
Berbalik pada konsert yang akan diadakan ini, ia akan berdurasi lebih kurang 75 minit dan akan menampilkan 12 lagu daripada filem-filem lakonan dan arahan Tan Sri P. Ramlee yang memenangi anugerah tempatan mahupun antarabangsa dari tahun 1953 hingga 1965. Konsert ini bukan calang-calang kerana ia akan dipimpin dan disusun oleh maestro terkenal tanah air, Aubrey Suwito. Aubrey adalah lulusan Berklee College of Music dan telah bekerjasama dengan penyanyi-penyayi terkenal tanah air seperti Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir, jadi sudah tentu beliau akan membawa nafas baru kepada konsert ini nanti.
Persembahan pada dua malam ini nanti pasti tidak akan mengecewakan kerana lagu-lagunya akan didendangkan oleh penyanyi popular Liza Hanim serta Sean Ghazi dan diselang-selikan dengan persembahan monolog oleh pelakon yang cukup berbakat, Sobri Anuar. Sudah pasti yang akan menambah kemegahan konsert ini adalah sentuhan arahan Hariry Jalil, Pemenang Pelakon Pembantu Telefilem Terbaik di Anugerah Telenovela 2023. Konsert ini akan membawa penonton menelusuri masa serta mengimbau nostalgia dalam menggali falsafah P. Ramlee ketika mencipta lagu. Antara lagu yang akan dibawakan nanti adalah Madu Tiga, Engkau Laksana Bulan, Berkorban Apa Saja dan Gelora.
Memetik kata Aubrey, “Saya sangat menghormati dan mengagumi Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, terutamanya di atas sumbangan dan pencapaian luar biasa dalam bidang muzik. Rangkaian muzik ciptaannya yang luar biasa, telah memberi inspirasi dan impak yang besar terhadap muzik saya hari ini. Legasi P. Ramlee terus menjadi sumber inspirasi kepada ramai pihak dan sudah pasti ia meninggalkan kesan yang takkan dilupakan oleh persada muzik Malaysia.”
Patricia Gui dan Hamidon Ab. Hamid merupakan penerbit konsert ini dan menganggap dana yang diterima daripada kementerian dan MyCreative Ventures adalah sebuah galakan kepada penggiat seni persembahan dan muzik tanah air agar terus berkarya setelah berada di dalam era gelap sepanjang dan setelah musim Pandemik Covid-19. Mereka merasakan bahawa P. Ramlee adalah seorang ikon serta dedikasinya terhadap seni sungguh menakjubkan, apatah lagi lagu dan filemnya sentiasa dekat di hati juga di fikiran kita walaupun dirinya sudah 50 tahun pulang menghadap Ilahi.
Kedua-dua penerbit ini percaya bahawa seni persembahan di waktu ini sudah mula hidup kembali secara perlahan-lahan. Mereka mengharapkan agar penonton akan datang dan menyokong konsert ini nanti. “Dengan mengadakan konsert ini, kami berharap generasi muda akan menyedari impak yang telah P. Ramlee tinggalkan bukan sahaja untuk kita tetapi juga untuk negara. Lirik dari lagu-lagunya dan dialog dalam filem-filemnya tak lapuk dek zaman kerana mampu menyentuh realiti hari ini,” ujar mereka.
Tiket Konsert P. Ramlee – Signature A Minor 7 boleh dibeli di halaman www.onetix.com.my ataupun hubungi Ann Nurbaya di talian 019- 330 8133 atau Wani di nombor 013-628 7485 jika anda ingin membeli secara pukal lebih daripada 10 tiket. Ikuti perkembangan tentang konsert ini di laman rasmi Instagram @ph7.productionmanagement.
Layari kisah-kisah menarik yang di BASKL: