Zamzuriah Zahari bukan sebuah nama yang asing di dalam dunia seni persembahan tradisional Melayu terutama Mek Mulung. Ikuti temuramah bersama dengan Adiguru Cendana ini.
Oleh AZUWAN AHMAD
Zamzuriah Zahari atau lebih mesra disapa Kak Zam adalah seorang penyanyi, pelakon, penari dan kareografer yang berasal daripada Negeri Cik Siti Wan Kembang, Kelantan. Beliau merupakan seorang pakar tarian dan teater tradisional Melayu termasuklah Mek Mulung, Mak Yong dan Tari Inai. Kini beliau menjabat sebagai Dekan Fakulti Tari di Akademi Seni, Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) di samping memberi syarahan teater tradisional di Universiti Malaya.
Sedikit mengenai Mek Mulung, ia merupakan persembahan tradisional yang berakar umbi daripada kerajaan purba Legor di Siam yang kemudiannya diperkenalkan di Negeri Kedah. Persembahan ini menggabungkan elemen-elemen artistik seperti nyanyian, tarian, lakonan dan muzik. Nama Mek Mulung itu diambil dari dialek Kedah dan mengisahkan seorang puteri yang telah dihalau dari istana dan dibiarkan tinggal di dalam hutan. Di dalam kesedihannya, dia dihiburkan oleh bunyian gendang oleh orang suruhannya yang kemudiannya berkembang menjadi tarian dan kisah-kisah dongeng.
Berbalik kepada cerita Kak Zam, dia telah mendapat peruntukan dana daripada program Adiguru Cendana ini untuk tujuan pemuliharaan melalui bengkel-bengkel seni Mek Mulung. Dia percaya dia mendapat penganugerahan itu kerana dia mengangkat adiguru yang sebenar iaitu Pak Saleh yang berada di Jitra, juga Saad Bin Taib dan Abang Mat. Kesemua guru-guru ini telah mengajarkan seni Mek Mulung kepada Kak Zam sejak tahun 2008. Ilmu-ilmu ini lah yang diturunkan kepada pelajar-pelajarnya.
Melalui gerak kerja pemuliharaan yang disokong oleh program Adiguru ini, dia membuat pendekatan dengan mengadakan bengkel di Wang Tepus sendiri. Ia memberi ruang kepada pengenalan Mek Mulung dengan pelbagai lapisan masyarakat yang disertai 30-50 orang peserta dan bagaimana Kak Zam menekankan nilai pentingnya untuk mengekalkan adat dan tradisi seni itu seperti mana diajarkan oleh guru-gurunya.
Mek Mulung mungkin hampir kepada seni Mak Yong. Namun jelas Kak Zam ada hal unik yang membezakan antara seni persembahan teater tradisional Melayu. Walaupun persamaannya banyak namun alat muzik, tarian serta lakonan, lenggok percakapan, dialek bahasa, gerak tari, dan pemakaian kostum menjadi identiti kepada sesebuah negeri itu. Menurut gurunya Pak Saad, sejarah kewujudan Mek Mulung mempunyai pelbagai versi cerita mitos dan pecahan-pecahannya. Dalam persembahan juga ada pecahan cerita seperti kisah dewa-dewa dan hikayat yang menceritakan pemisahan tanah Siam dan Kedah melalui kisah ‘Puteri 12 Beradik’.
Kalau bercakap mengenai cara pemeliharaan Mek Mulung supaya tidak tercemar, guru-guru yang bertanggungjawab menyimpan adat seni ini sangat sistematik. Penurunan ilmu tradisional ini akan melalui satu jalur sahaja dari satu orang ke orang yang mewarisi berikutnya dengan maksud tidak akan ada banyak cabang. Kak Zam berusaha untuk memastikan penonton yang luar daripada daerah Wang Tepus menikmati rasa tradisi asli di tempat asal.
Cerita Kak Zam, apa yang membuatkan dia berminat dengan Mek Mulung adalah kerana dia juga merupakan adiguru Mak Yong yang membuatkan tradisi tersebut sebati dengan jiwanya. Baginya kontemporari akan sering berubah namun tradisi adalah jati diri kita. Pemain-pemain Mek Mulung haruslah menguasai bakat nyanyian, tarian dan lakonan. Dia mempunyai tanggapan bahawa jika dia tidak meneruskan teater tradisional, siapa lagi?
Sebagai seorang yang boleh mengajar dan mempersembahkan seni teater tradisional, dia sangat berbangga melihat anak-anak sendiri meminati cabang seni ini. Pengiktirafan kepada penggiat juga sangat penting katanya dalam usaha menjaga tradisi ini. Ia mempunyai harapan untuk penggiat-penggiat agar membawa identiti ini serapat mungkin sebelum kita menyesal ia hilang begitu sahaja. Kak Zam percaya penyumbangan ilmu kepada generasi baru sangat penting untuk mengukuhkan benteng tradisi orang-orang lama.
Zamzuriah Zahari merupakan penerima dana Adiguru dalam seni persembahan Mek Mulung. Program Adiguru CENDANA dijalankan dengan kerjasama PUSAKA.
Ikuti kisah menarik lain di BASKL: