Pendedahan dunia NFT disandarkan bersama karya fizikal dalam Phygital

Phygital merentas bidang digital dan fizikal melalui karya berkembar.

oleh DANIAL FUAD

Walaupun telah diperkenalkan sejak daripada tahun 2014 lagi, NFT hanya menjadi hangat sekitar setahun dua yang lalu. Di Malaysia, terdapat banyak kisah kejayaan seniman seperti Abdul Hafiz Abdul Rahman (Katun) dan juga Sue Anna Joe yang berjaya menjual karya NFT mereka hingga berjuta ringgit telah membakar semangat para seniman di sini untuk menceburi bidang ini. Namun begitu, dunia NFT ini dikuasai oleh pengkarya digital oleh kerana penglibatan teknologi yang sedikit sukar difahami untuk para seniman yang sering melakukan karya fizikal.

Untuk mendedahkan para seniman dan juga pengumpul seni tentang kebolehan NFT, G13 Gallery dengan kerjasama NFTapir.com telah mempersembahkan pameran Phygital pada bulan November lalu. “Inisiatif ini memberi pengenalan kepada latar seni tentang kewujudan sebuah dunia baru yang melibatkan digitalisasi di mana ini merupakan senario baru yang orang ramai harus ambil tahu,” ujar Kenny Teng yang merupakan pemilik G13 Gallery.

Menggabungkan perkataan ‘physical’ dan ‘digital’, Phygital mempersembahkan karya fizikal yang datang bersama karya NFT sebagai kembarnya di mana Kenny telah menambah, “Kepada pengemar NFT, mereka akan mendapat karya fizikal seiring dengan pembelian NFT mereka dan sebaliknya juga belaku kepada pembeli karya fizikal di mana mereka akan mendapat karya NFT juga”. Menurut beliau, ramai pengumpul seni sedikit was-was tentang NFT ini, akan tetapi terdapat juga yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang perkara ini di mana beliau menyatakan, “Ada beberapa pengumpul seni berminat untuk lebih tahu perkara ini, malahan ada yang pertama kali membuka dompet kripto untuk pertama kali melalui tunjuk ajar daripada kami”.

Pasaran NFT terikat dengan naik turun matawang kripto, kini NFT sedikit merudum dan terdapat pelbagai cerita tentang harga NFT yang dibeli turun mendadak sehingga tiada nilai yang membuat para pengumpul seni menjadi was-was. Untuk mengelakkan pasaran yang tidak stabil, Kenny mengulas “Karya-karya NFT yang hadir dalam pameran ini dijual dalam matawang Tether (USDT) yang cukup stabil berbanding Bitcoin atau Ethereum yang boleh naik atau turun sehingga 20% sehari.” Beliau menambah, “Oleh kerana karya dalam pameran ini datang secara berpasangan, harga karya fizikal dijadikan penanda aras untuk karya NFT dan setidak-tidaknya, NFT yang terjual, dapat menjadi surat beranak kepada karya fizikal tersebut.”

“Walaupun sekarang pasaran kripto dan juga NFT mengalami naik turun yang mendadak, pada suatu masa nanti ia akan mencapai kestabilan. Seperti kita lihat 20 tahun lepas ketika mengalami ‘dot com bubble’ di mana semua saham berkaitan IT naik mendadak akibat daripada penciptaan Internet, namun runtuh selepas beberapa tahun. Akan tetapi, Internet masih lagi wujud sehingga ke hari ini dan inilah, pada pendapat saya apa yang berlaku kepada kripto dan NFT sekarang di mana banyak syarikat telah mencari kegunaan lain teknologi ini selain daripada permainan saham,” ulas Kenny tentang keadaan pasaran NFT ketika ini.

Walaupun terdapat pelbagai sambutan daripada pengumpul seni, Kenny menyatakan ramai seniman yang cukup berminat untuk meneroka bidang ini. “Seniman terlibat sangatlah teruja dengan pameran ini malahan terdapat ramai lagi seniman yang tidak terlibat dalam pameran ini yang ingin menyertainya,” ujar beliau. Beliau menambah, “cara seniman yang terlibat dalam pameran ini melihat pasaran seni sedikit berubah di mana terdapat peluang lain untuk memanjangkan karya fizikal mereka ke arah digital seperti menghasilkan animasi dan sebagainya.

Kenny mempunyai harapan yang tinggi tentang NFT, di mana beliau telah menyatakan, “pasaran NFT akan sentiasa wujud sejajar dengan pasaran kripto namun untuk masa hadapan, mungkin terdapat pelbagai lagi fungsi NFT selain daripada didagang dalam pasaran saham. Menjadi kebiasaan dalam pasaran untuk nilai turun dan naik tetapi saya yakin dengan kemampuan NFT ini untuk berkembang lebih besar”.

“Kita merancang untuk meneruskan projek karya kembar digital ini tetapi mungkin terdapat penambahan berlaku seperti karya NFT yang mengiring karya fizikal mungkin lebih interaktif dan pameran akan mempunyai tema tertentu,” ulas Kenny. “Ini semua masih lagi dalam proses perangkaan namun kita juga ingin membina komuniti berkaitan perihal ini di masa hadapan, di mana terdapat beberapa kelebihan seperti mendapat jemputan awal apabila pameran seperti ini dianjurkan, mendapat NFT percuma dan sebagainya,” tambah beliau lagi tentang rancangan masa hadapan galeri tersebut berkenaan NFT.

Pameran Phygital telah berlangsung pada 5 Nov dan telah tamat pada 19 Nov lalu di mana seramai 14 orang seniman telah terlibat dan lebih daripada 30 karya dipamerkan di galeri tersebut. Di samping itu, karya kembar digital yang dihasilkan seiring dengan pameran tersebut dapat disaksikan secara maya di laman sesawang NFTapir.com. Sebarang kemaskini berkaitan aktiviti di G13 Gallery boleh didapati di laman Instagram dan juga Facebook mereka.

Ikuti kisah menarik lain melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites