Bangkit Bersama di RHB Art With Heart 2022

Pameran RHB Art With Heart mempamerkan lebih dari 150 karya hasil kerja seniman tempatan yang inklusif

Oleh DANIAL FUAD

Setelah dua tahun menyepi dek kerana pandemik, RHB kini kembali dengan pameran Art with Heart 2022 (AwH22). Membawa tema Bangkit Bersama, siri keempat pameran ini mengumpulkan seramai 53 seniman dan mempamerkan lebih dari 150 karya. “Pameran ini menggariskan komitmen RHB terhadap pemulihan semula negara dan juga memperkayakan kehidupan komuniti,” ujar Pengerusi RHB, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir.

“Pameran tahun ini juga menampilkan bakat kreatif seniman kelainan upaya yang kreativiti dan imaginasi mereka mencipta maksud yang lebih mendalam terhadap kebersamaan dan inklusif,” tambah Mohd Rashid Mohamad, Pengarah Urusan Kumpulan / Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RHB. Terdapat juga seniman kelainan upaya yang menyertai pameran ini seperti yang menghidap autisme dan juga golongan kurang upaya penglihatan.

Memahami kegetiran yang dilalui oleh semua pihak, RHB tidak mengambil sebarang keuntungan daripada pameran ini. Sebanyak 80% hasil jualan akan diberikan kepada seniman manakala 20% lagi akan disalurkan kepada pelbagai gologan rentan melalui Yayasan RHB. “AwH22 hadir pada masa yang sangat sesuai di mana komuniti seni tempatan sedang bangkit semula setelah mengharungi pandemik COVID-19 yang berlarutan,” ujar kurator bagi pameran ini, Sarah Abu Bakar.

Para pengunjung akan disajikan dengan pelbagai jenis karya di mana yang paling dominan merupakan lukisan mujarad oleh seniman seperti Afiq Zainal, Fuji Anggara, Mulaika Nordin, Faizal Suhif dan Suddin Lappo, manakala seniman kelainan upaya seperti Maryam Zhafira, Ong Yong Da dan Danial Kushairi antaranya juga turut terlibat.

Karya figuratif oleh seniman seperti Rais Azmi, Amri Ibrahim, Chua Hui Qin, Ellis Khan, Noor Mahnun Mohamed dan seniman kelainan upaya seperti artjamila dan Haziq Izmi juga dipamerkan. Terdapat juga lukisan lanskap oleh seniman sperti Aimman Hafizal dan Khairul Izham manakala seniman arca Agnes Lau dan Mohd Al-Khuzarie Ali turut terlibat sekali.

Apa yang membuat pameran ini lebih menarik adalah golongan kurang daya penglihatan yang terlibat dalam pameran ini menghasilkan karya-karya fotografi di bawah kumpulan Plus Community. Tujuh orang jurugambar telah mempamerkan sebanyak 21 gambar yang dihasilkan oleh mereka semasa mereka menjalani program Sensory Photography pada awal 2018. “Objektif program ini adalah untuk memperkasakan golongan kurang upaya penglihatan dengan peluang untuk menjalani aktiviti yang sebelum ini mereka tidak berpeluang mencuba,” ujar Sarah lagi.

RHB bukanlah satu-satunya bank yang terlibat dengan acara kesenian di mana kita juga ada ArtTober anjuran CIMB Bank dan pertandingan sohor Painting of the Year oleh UOB Bank. Kata akhir dari Sarah, “Sedang kita maju kehadapan kearah pemulihan yang mapan, kami berharap agar AwH22 ini menjadi peringatan tentang bagaimana kita mengharungi cabaran dengan bangkit bersama.” Pameran RHB Art With Heart 2022 ini telah berlangsung sejak 5 Sep – 11 Sep 2022 di Ruang Legar Bangsar Shopping Centre, Kuala Lumpur antara jam 10pg – 10mlm. Tiada bayaran dikenakan untuk memasuki pameran ini dan maklumat lanjut boleh didapati di eKatalog mereka di sini.

Gambar ihsan RHB Group

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites