Tiga peluang bagi pengkarya tempatan

Kami kongsikan beberapa pertandingan yang boleh disertai oleh pengkarya tempatan

Oleh DANIAL FUAD

Setelah dua tahun wabak COVID-19 melanda dunia dan pelbagai aktiviti terpaksa dihentikan. Kini sektor seni tempatan semakin giat bergerak aktif dengan pelbagai aktiviti yang berjalan seakan hampir seperti zaman pra-pandemik. Tidak ketinggalan juga industri seni Malaysia yang sangat terkesan akibat wabak ini, kita kembali dengan pengisian dari artisan yang penuh bertenaga melalui pelbagai program

Begitu juga dengan pertandingan lukisan yang telah kembali buat semua penggemar dan yang mahir dalam seni lukis. Kami ingin berkongsi beberapa peluang yang boleh anda cuba untuk meningkatkan nama anda di persada seni Malaysia.

UOB Painting of The Year

United Overseas Bank (UOB) merupakan sebuah rangkaian perbankkan yang berpusat di Singapura dan terdapat banyak cawangan di sekitar Asia Tenggara. Mereka sangat aktif dalam menyokong pembangunan seni dan ini terbukti dengan pembukaan UOB Art Academy pada tahun 2015 di Hong Kong. Sebuah pertandingan yang diasaskan semenjak tahun 1982 lagi, UOB Painting of the Year (PoY) kini kembali dengan siri yang ke-41. Pandemik tidak memperlahankan momentum UOB kerana mereka meneruskan pertandingan ini walaupun negara melalui perintah kawalan pergerakkan pada tahun 2020 dan 2021.

Pertandingan ini terbuka kepada semua warganegara dan juga penduduk tetap Malaysia dan ia terbahagi kepada dua kategori iaitu Established Artist dan Emerging Artist. Kategori pertama terbuka kepada seniman profesional yang pernah mempamerkan karya di galeri sama ada pameran tunggal atau pun berkumpulan. Manakala kategori kedua pula terbuka kepada seniman yang baru menjejak langkah ke persada seni visual termasuklah mereka yang berkarya hanya untuk berseronok.

Hadiah tertinggi yang boleh anda rangkul terletak dalam kategori Established Artist iaitu UOB Painting of the Year, di mana sebanyak RM100,000 wang tunai diberikan dan berkemungkinan untuk menjalani program seniman tamu di Fukuoka Asian Art Museum, Japan. Pertandingan ini dihakimi oleh tiga seniman sohor iaitu Bibi Chew, Chong Chun Wei dan juga Ahmad Fuad Osman dan tarikh tutupnya adalah pada 31 Julai 2022. Maklumat lanjut berkenaan pertandingan ini boleh didapati di laman sesawang mereka di sini.

Pameran Terbuka Galeri Shah Alam

Galeri Shah Alam (GSA) dilancarkan pada tahun 1991 di bawah pentadbiran Yayasan Seni Selangor Darul Ehsan dan telah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj pada 6 Julai 1991. Semenjak dari penubuhan mereka, terdapat pelbagai jenis pameran telah dihasilkan dalam nama memperkembangkan industri seni di Malaysia. Selain daripada itu, mereka juga terlibat dalam bidang kajian, rujukan dan juga program kerjasama dengan pemain industri yang lain.

Salah satu program yang paling lama telah dianjurkan oleh GSA adalah Pameran Terbuka Galeri Shah Alam (PTGSA). Program ini dilancarkan pada tahun 1992 dan jika melalui susur galurnya, terdapat ramai seniman sohor yang telah menyertai pameran ini. Objektif program ini adalah untuk meneroka bakat-bakat baru dan pelapis yang berpotensi tinggi dalam latar seni Malaysia.

PTGSA terbuka kepada semua warganergara Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas dan terdapat yuran sebanyak RM20 dikenakan untuk menyertainya. Tidak terdapat sebarang tema ditetapkan namun saiz maksima karya haruslah tidak melebihi 152cm termasuk bingkai. Anugerah Insentif bernilai RM2,500 setiap satunya juga akan diberikan kepada lima karya terbaik dalam pameran tersebut.

Tarikh tutup pendaftaran adalah pada 15 Julai 2022 dan boleh layari laman sesawang di sini untuk mengisi borang pendaftaran secara atas talian. Maklumat lanjut berkenaan program ini juga boleh didapati di sini atau pun boleh ajukan soalan kepada pentadbir@galerishahalam.com

Spotlight 2022 by Penang Art District

Penang Art District merupakan sebuah ikhtiar daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bertujuan untuk menjadikannya sebuah pusat kreatif komuniti. Kawasan ini dijangka menjadi pusat setempat bagi pelbagai jenis aktiviti kreatif Pulau Pinang lengkap dengan kedai komersial, galeri dan juga studio yang boleh disewa seniman. Selain daripada itu, mereka juga mempunyai kumpulan editorial mereka yang sering mengeluarkan artikel-artikel menarik.

Spotlight juga merupakan satu lagi program yang mereka jalani semenjak dari tahun 2017 lagi. Pertandingan ini terbuka kepada semua warganergara dan penduduk tetap Malaysia yang berumur daripada 17 hingga 30 tahun. Tiada bahantara khusus untuk menyertai pertandingan ini akan tetapi, ia haruslah dalam bentuk 2D yang boleh digantung dengan ukuran tidak melebihi 122cm. Setiap peserta hanya boleh menghantar satu karya sahaja dan ia akan dinilai melalui empat ciri yang telah ditetapkan; keaslian dan kreativiti, konsep dan idea, pengunaan bahantara dan kemasan serta akhir sekali rupa keseluruhan karya.

Hadiah yang disajikan buat pemenang juga lumayan, kerana selain daripada pameran tunggal dan juga wang tunai sebanyak RM5,000; pemenang akan berpeluang untuk melalui program mentorship bersama dengan seniman profesional. Tentulah ini peluang yang amat berguna bagi seniman yang baru ingin meningkat naik! Tarikh tutup bagi penyertaan Spotlight adalah pada 1 Okt 2022 dan maklumat lanjut berkenaan ini boleh didapat di sini.

Berikut adalah beberapa pertandingan yang boleh disertai oleh seniman-seniman di Malaysia ini. Dengan keadaan yang baru ‘hidup semula’ tentulah peluang-peluang begini harus direbut agar latar seni Malaysia semakin meriah.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites