Apabila kata terus membisu, biarlah mata sahaja berbicara

Mendalami jiwa anak-anak Chow Kit dengan 'mata' mereka.

Oleh ATIKAH HANAFI untuk Lensa Seni | Gambar oleh Buku Jalanan Chow Kit dan Eyes That Speak

Indahnya kota raya Kuala Lumpur, sebuah kota yang megah dan bergemerlapan. Ia juga sebuah negeri cerminan harapan tanah air dalam usaha memacu sebuah pembangunan negara. Kuala Lumpur ialah sebuah pusat ekonomi dan menjadi destinasi anak-anak perantau dari serata negeri untuk mencari rezeki. 

Suasana malam di kota Kuala Lumpur pula sentiasa dihujani cahaya kilau gemilau. Bak kata orang, kota ini tidak pernah tidur. Bangunan pencakar langitnya yang berdiri gah sentiasa menjadi tarikan. Kesibukan jalan raya menunjukkan warganya sering bergerak ke sana ke mari untuk mencari rezeki.

Foto yang dirakam Zubairi, salah seorang peserta Projek Eyes That Speak. Kredit foto: Eyes That Speak. 

Namun, di sebalik keindahan silau cahaya yang dibias oleh tingkap-tingkap kaca yang menghiasi bangunan dan menara-menara tinggi, ada cerita yang jarang sekali diungkapkan di bibir-bibir warganya. Ada antara kita yang kurang bernasib baik. Kota Kuala Lumpur ini mengandungi cerita yang sarat dan hitam lekat. Sudah bertahun lamanya kandungan ini dirahsiakan. Namun, mereka yang lahir dari kandungan ini tidak boleh selamanya didiamkan – mereka juga manusia dan warga kota konkrit ini.   

Pendidikan untuk semua

Golongan gelandangan, miskin bandar, pelarian dan migran, serta mereka yang lahir tanpa dokumentasi merupakan antara masyarakat terpinggir yang dipandang sebelah mata. Yang menyayat hati, anak-anak dari golongan inilah yang terkesan dan tersepit apabila peluang mereka untuk mengecap nikmat pendidikan percuma dinafikan semata-mata kerana mereka ini tidak memiliki sehelai kertas atau dokumen.

Namun itu yang telah ditetapkan, pentingnya dokumentasi dan pengenalan diri dalam mendapat hak dan keistimewaan anak warganegara tempatan. Kebanyakkan anak-anak ini tersepit kerana ibu bapa namun mereka harus menanggung akibat dengan menghabiskan sebahagian besar kehidupan mereka tersepit dalam membesar di tanah air sendiri. Warga asing, pelarian dan pendatang tanpa izin turut tergolong dalam kumpulan ini namun mereka bukanlah majoriti. 

Buku Jalanan Chow Kit memberi ruang buat anak-anak Chow Kit yang terpinggir untuk merasa nikmat pendidikan. Kredit foto: Buku Jalanan Chow Kit.

Kadang-kala, desak dan takdir kehidupan manjadikan mereka anak-anak tanpa kewarganegaraan. Anak yang lahir tanpa didaftar, kegagalan ibu bapa untuk mendaftar perkahwinan mereka secara sah, anak angkat dan terbiar, anak-anak pelarian dan migran tanpa dokumen dan identifikasi merupakan antara faktor terlahirnya golongan anak-anak tanpa kewarganegaraan ini. 

Lebih malang, apabila golongan ini menginjak dewasa, mereka terus-menerus dinafikan hak untuk mendapat peluang pekerjaan yang sah dan sekaligus mengecilkan ruang dan harapan mereka untuk keluar dari kitaran hidup yang menghimpit mereka ini. Maka, golongan ini turut melahirkan generasi anak-anak tanpa kewarganegaraan dan kitaran itu akan berulang. Apa lagi harapan yang mereka ada?

Buku Jalanan Chow Kit dan Projek Eyes That Speak (ETS)

Di sinilah Buku Jalanan Chow Kit (BJCK) memainkan peranan sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan misi perjuangan untuk membuka peluang pendidikan dan hak sama rata buat anak-anak yang membesar di sekitar Chow Kit. Mempercayai bahawa pendidikan itu adalah hak semua, tidak kiralah apa jua keadaannya, BJCK mendukung cita-cita dan harapan anak-anak Chow Kit ini untuk mengecapi nikmat pendidikan dan memberi ruang buat mereka menyelami lautan ilmu dan buku. 

Buku Eyes That Speak memuatkan sebanyak 65 foto-foto terpilih para peserta. Kredit foto: Eyes That Speak.

Sebagai salah satu usaha mereka, BJCK telah menyediakan satu ruang dan pusat sumber buat anak-anak ini bermain, membaca dan berintekasi secara positif. Program home-schooling turut diperkenalkan kepada anak-anak tanpa warganegara dan terbiar yang telah dinafikan haknya untuk ke sekolah awam. Walaupun mereka bermula dengan usaha-usaha kecil dan hanya mampu memberi tumpuan kepada anak-anak sekitar Chow Kit, namun besar impian mereka.

Yang terbaru, BJCK dengan sokongan Vans Checkerboard Day dan Vans Malaysia telah memperkenalkan sebuah projek fotografi dan video esei buat anak-anak Chow Kit yang diberi nama Eyes That Speak (Mata yang Berbicara). Projek ini dimulakan sebagai satu bentuk dokumentasi untuk merakam proses pembelajaran dan pengalaman kanak-kanak Chow Kit berdepan dengan persoalan-persoalan dan cabaran sekitar pandemik COVID-19 serta kesihatan mental. 

Inisiatif berasaskan komuniti ini melibatkan 28 orang pelajar BJCK dan berlangsung sepanjang bulan Februari hingga September tahun lalu. Program ini merupakan hasil buah fikir tiga anak muda tanah air iaitu Faisal Aziz, Zikri Rahman dan Akmal Zamri yang mendukung fotografi sebagai satu bentuk terapi. ETS juga diturut dibantu oleh kaunselor profesional, dan ahli tari-terapi dari Jepun, Manizia Kajiwara. 

Laman sesawang rasmi Eyes That Speak turut dibangunkan untuk mendokumentasi pengalaman anak-anak ini.

Seni fotografi sebagai terapi dan alat mengekplorasi diri

Rata-rata pelajar yang terlibat berusia sekitar 13 hingga 17 tahun. Mereka memulakan perjalanan projek ini dengan menyertai beberapa siri bengkel fotografi bagi mempelajari cara untuk menggunakan kamera filem pakai buang serta beberapa teknik asas fotografi. Turut diadakan ialah bengkel pengenalan kesihatan mental bagi memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar ini untuk menggunakan fotografi sebagai satu medium untuk meneroka dan mengekspresi diri. 

Fotografi sememangnya satu medium yang sarat dengan cerita. Kadang-kala, subjek dalam foto itu sendiri membawa kisah tersendiri dan jurugambar pula menggalas tanggungjawab untuk menyampaikan cerita tersebut. Namun, fotografi juga boleh menjadi ruang untuk seseorang itu bercerita dan menyampaikan rasa. Sepertimana penulis menggunakan kata-kata dan pelukis menggunakan kanvas dan warna, anak-anak Chow Kit ini menggunakan kamera dan foto untuk membawa cerita mereka.  

Foto yang dirakam Khalqiah, salah seorang peserta Projek Eyes That Speak. Kredit foto: Eyes That Speak.

Sememangnya, kedatangan pandemik ini memberi kesan mendalam buat semua lapis manusia. Sedangkan kita sebahagian warga kota kebanyakan merasa tidak keruan dan mengalami pelbagai tekanan perasaan yang tidak dapat dijelaskan ketika menghadapi keadaan yang serba tidak menentu, inikan pula anak-anak Chow Kit yang sememangnya sudah menjalani kehidupan yang pilu sebelum kedatangan pandemik lagi. 

Bagi memberi ruang untuk para peserta berkongsi cerita di sebalik gambar-gambar yang telah dirakamkan, beberapa sesi perkongsian dengan kaunselor bertauliah turut dijalankan bagi mendalami dan memahami keadaan kesihatan mental pelajar sepanjang pandemik. Sejumlah 800 keping foto telah berjaya dirakam para peserta sepanjang program ini. 

Maka hasilnya, lahirlah sebuah buku foto Eyes That Speak setebal 105 halaman yang ditulis dalam dwibahasa dan menghimpunkan 65 karya foto-foto terpilih pelajar. Buku foto yang hasil konsep dan reka letak Moka Mocha Ink ini turut memuatkan beberapa esei dari Dr. Azhar Ibrahim dan pihak kurator Eyes That Speak. 

Memetik kata-kata Zikri Rahman, ko-kurator projek ini dalam sebuah hantaran di laman sosial Facebooknya usai pameran Eyes That Speak pada Disember tahun lalu, “Di ruang ini, cukup banyak cita-cita yang dikandung. Batu asasnya satu: pendidikan. Tetap apa pun, mereka mahu belajar semahu-mahunya walau negara menafikan. Dan keseluruhan pameran ini membugar cita-cita yang satu itulah ketika ia awal digerakkan ketika kuncitara kedua hingga keadaan mereda (dan kemudian menggila semula). Jadi, foto yang dirakam cukup intim di mana ruang belajar dan bermain, serta ruang ingatan sela dua tahun Covid yang merampas, sekaligus memaksa kita mengulang faham akan banyak hal. Dan lewat foto, mereka menghambur apa yang tidak terkata untuk kita belajar segala-galanya.”

Anak-anak ini cinta akan tanah air di mana kaki mereka berpijak. Namun, atas beberapa aspek kehadiran mereka tidak diiktiraf membuatkan mereka rasa seperti terpinggir di kota raya yang besar ini. 

Antara Foto projek ini yang dikumpulkan dalam sebuah pameran pada Disember tahun lalu. Kredit foto: Hafiz Hamzah.

Kata-kata tidak lagi mampu menzahirkan rasa kecewa dan cita-cita sepi anak-anak Chow Kit ini. Apabila kata-kata membisu kerana menampung berat rasa, biarlah sahaja gambar-gambar yang terzahir dari sudut mata mereka yang membuka bicara buat sekian kalinya. Biar warga kota ini tahu, mata anak-anak ini boleh menjerit hampa.

Kadang-kala kata-kata tidak cukup untuk menyampaikan cerita dan rasa. 

Buat anak-anak Chow Kit yang terpinggir dan kurang bernasib baik, terlalu banyak harapan dan cita-cita yang sukar dizahirkan dengan kata-kata. Melalui projek Eyes That Speak, anak-anak ini diberi ruang untuk berkomunikasi melalui “mata mereka” dan menceritakan pengalaman mereka lewat pandemik COVID-19. 

Gambar Utama: Foto yang dirakam Aidil, salah seorang peserta Projek Eyes That Speak. Kredit foto: Eyes That Speak. 

Untuk membaca artikel penulis dari program Lensa Seni yang lain, anda boleh klik di sini.

Atikah Hanafi ialah peserta PROGRAM MASTERCLASS & MENTORSHIP PENULISAN SENI CENDANA 2021

Pandangan dan pendapat yang dinyatakan oleh pengarang dalam artikel ini adalah milik pengarang sendiri dan tidak mewakili pendapat CENDANA. CENDANA berhak untuk dikecualikan daripada sebarang liabiliti, kerugian, kerosakan, kelalaian, dan/atau ,pelanggaran harta intelek yang disebabkan pandangan dan pendapat yang dinyatakan oleh pengarang pada setiap masa, semasa atau selepas penerbitan, di platform CENDANA atau di platform pihak ketiga.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites