Bersama BASKL, mari kita pelajari apa itu tetuang, agar generasi baharu kenali khazanah ini.
Penulisan dan gambar oleh ZURAILAWATI YONG untuk Lensa Seni
Kedengaran asing tatkala tetuang disebut kepada generasi hari ini. Barangkali ada yang membayangkan dan meneka tetuang adalah sejenis senjata, bekas mengisi air, pengalas tempat duduk, penyeduk air dan bermacam-macam lagi.
Mereka tidak akan menyangka bahawa tetuang merupakan salah satu alat muzik tradisional yang terkenal suatu ketika dahulu. Mungkin yang lebih mengejutkan mereka adalah apabila diceritakan tentang seni pembuatan tetuang yang dihasilkan daripada tanduk kerbau jantan.
Bersama ketua kumpulan Kelab Serindit Mati Tersepit, Saudara Noor Azman Bin Norawi atau mesra dikenali sebagai Man Kayan, penulis merungkai kesenian pembuatan tetuang. Beliau baru sahaja menerima Anugerah Seni Berbahasa 2021 yang disampaikan oleh Perdana Menteri pada pertengahan bulan November tahun lalu, baru-baru ini. Dia juga merupakan seorang pejuang seni bahasa dan seni muzik tradisional Melayu yang sangat aktif di Negeri Pahang.
Selain berkebolehan membuat tanjak dan pakaian tradisional, beliau juga terkenal kerana berkebolehan bermain pelbagai alat muzik tradisional. Di samping itu juga, dia juga mahir membuat beberapa alat muzik tradisonal termasuk membuat tetuang. Azman dan ahli kumpulannya pernah beberapa kali beraksi di pentas persembahan mengalunkan tiupan tetuang di khalayak ramai.
Keunikan tetuang yang tiada pada alat muzik tradisional yang lain adalah, pemilikan tetuang. Tetuang tidak boleh dimiliki oleh sebarangan orang. Biasanya tetuang dipegang dan disimpan oleh ketua kampung, ketua puak, penghulu atau hanya oleh orang yang tertentu.
Bunyi tetuang yang ditiup kedengaran mirip bunyi terompet yang melengking. Tetuang bernada tunggal dan kasar, mampu didengar di antara jarak lima kilometer sehingga tujuh kilometer. Oleh sebab itu, tetuang tidak digunakan sebagai instrumen muzik pengiring dalam lagu dan tarian. Kebiasaanya tetuang hanya dimainkan pada permulaan persembahan atau hanya dimainkan berselang seli mengiringi pukulan gendang.
Tetuang boleh kategorikan sebagai alat muzik yang eksklusif kerana tetuang digunakan pada situasi tertentu. Ia dialunkan pada majlis tertentu seperti majlis keraian dan ketika menyambut ketibaan tetamu kehormat seperti raja, sultan serta pembesar istana.
Fungsi tetuang lebih kepada alat komunikasi pada zaman dahulu. Dijadikan semboyan dan berperanan sebagai kod atau isyarat bagi masyarakat setempat. Ini disebabkan tiada alat yang mampu dijadikan pembesar suara pada zaman dahulu. Uniknya, tetuang juga dibunyikan sebagai penanda waktu subuh dan maghrib.
Selain itu, tetuang yang dibunyikan di setiap kampung mempunyai kod isyarat tersendiri. Misalnya ada tiupan tetuang ditafsirkan sebagai penanda bahaya. Ada isyarat dibunyikan untuk penduduk setempat berkumpul. Ada pula dialunkan sebagai isyarat untuk bersembunyi.
Tetuang lebih sesuai dibuat menggunakan tanduk kerbau jantan yang dewasa. Ini kerana tanduk kerbau betina dewasa lebih tumpat dan kurang berongga. Tanduk yang tumpat menyukarkan pembuat tetuang mengorek untuk membuang isi tanduk yang keras di dalamnya menggunakan tangan.
Fizikal tanduk yang panjang dan besar bukan sahaja memudahkan tiupan tetuang. Bahkan ia mampu mempengaruhi faktor tekanan angin. Bunyi yang dihasilkan mengeluarkan gema berjarak jauh sehingga melangkaui bukit dari kampung ke kampung. Manakala tetuang yang bersaiz pendek menghasilkan bunyi nyaring dan mengeluarkan bunyi yang agak terhad.
Masalah utama yang dihadapi oleh pembuat tetuang pada hari ini adalah kesukaran mendapatkan tanduk kerbau jantan dewasa. Kebanyakkan kerbau jantan disembelih pada usia muda dan hanya disembelih pada waktu tertentu sahaja.
Tetuang yang sempurna mengambil masa yang agak lama untuk dihasilkan. Disamping kerumitan proses membuatnya, ketekunan, ketelitian dan kesabaran yang tinggi sangat dituntut sepanjang proses penghasilan tetuang hinggalah selesai. Berikut kami kongsikan proses membuat tetuang;
Langkah pertama, tanduk kerbau dewasa perlu dipotong sehingga ke pangkal bahagian yang berbentuk rongga. Kemudian tanduk hendaklah direndam dengan air bersih terlebih dahulu sebanyak beberapa kali sehingga tanduk betul-betul bersih.
Setelah bersih, tanduk akan direndam ke dalam air bersih semalaman. Proses rendaman ini bertujuan melembutkan sisa daging dan kotoran yang melekat pada tanduk.Seterusnya, tanduk yang direndam semalaman dikeluarkan. Pembuat tetuang kemudian disambung dengan proses mengorek dan mengikis sisa daging di dalam tanduk. Saki baki daging perlu dikeluarkan supaya ruang rongga di dalam tanduk lebih besar.
Selesai proses merongga tanduk, tetuang akan digantung pada pokok selama satu hingga dua bulan. Selain dikeringkan, tanduk perlu dibiarkan supaya kerengga dan semut memakan sisa daging (bangkai) yang terdapat pada tanduk. Sisa yang dimakan oleh serangga-serangga ini secara tidak langsung mampu membersihkan tanduk secara semulajadi. Tanduk yang tidak bersih akan mengeluarkan aroma busuk seperti bangkai apabila ditiup dan disimpan.
Sepanjang proses pembuatan tetuang, tiada bahan kimia digunakan. Ini kerana penggunaan bahan kimia akan membuatkan tanduk menjadi rapuh dan cepat pecah.
Setelah tanduk benar-benar kering, bahagian luar tanduk digosok dengan kertas pasir sehingga licin bagi menghilangkan kotoran lumpur keras yang melekat pada tanduk. Namun begitu proses ini perlu dibuat dengan penuh teliti bagi mengelakkan kerosakkan pada tekstur sebenar tanduk.
Manakala rongga di dalam tanduk perlu dikikis bagi membesarkan ruang sedia ada untuk menghasilkan pantulan gema yang mantap apabila ditiup.
Langkah seterusnya, bahagian hujung tanduk perlu dimasukkan alat yang diperbuat daripada buluh kecil atau batang padi. Alat ini mampu menghasilkan bunyi melengking apabila ditiup. Selepas tetuang berjaya menghasilkan bunyi, tetuang perlu ditiup berkali-kali ketika diuji. Proses ini juga mengambil masa yang agak lama untuk mendapatkan ton dan nada yang dikehendaki.
Apabila pembuat tetuang berpuas hati dengan bunyi yang dihasilkan, barulah tetuang dirapikan. Tetuang biasanya dihias supaya kelihatan cantik dan berseni. Biasanya pembuat tetuang hanya menyapu syelek bagi menaikkan keserian tanduk. Ada juga peminat tetuang meminta pembuat tetuang mengecat tetuangnya supaya kelihatan lebih menarik untuk dijadikan sebagai hiasan. Pada hujung tanduk, biasanya dibuat motif bagi menghasilkan tetuang yang menarik dan unik.
Akhir sekali, di hujung kedua-dua belah tanduk ditebuk dan diikat menggunakan seutas tali untuk dijadikan penggalas. Penggalas dibuat supaya tetuang mudah dibawa dan digantung untuk disimpan di tempat yang selamat.
Cara tiupan tetuang berbeza dengan alat muzik tiupan yang lain. Mulut perlu dirapatkan pada hujung tetuang. Selain menggunakan teknik getaran bibir, peniup perlu menarik nafas yang dalam supaya bunyi yang dihasilkan tidak kedengaran terputus-putus.
Tetuang ditiup dengan nada perlahan sehingga kuat. Adakalanya bunyi tetuang kedengaran gerun apabila ditiup secara kuat dan lama oleh peniup tetuang yang mempunyai nafas panjang.
Tetuang yang dijaga elok mampu bertahan beberapa dekad. Penjagaan tetuang juga mudah. Cukup sekadar mengelap kotoran atau habuk di dalam dan diluar tetuang menggunakan kain lembap. Simpan di tempat yang berbumbung agar tetuang tidak terkena air hujan serta elakkan tetuang dari terjatuh.
Demikianlah perkongsian Man Kayan mengenai tetuang. Dia berharap agar warisan seni ini masih utuh terpelihara. Beliau mengajak semua pihak agar bersama-sama mengangkat kesenian untuk diketengahkan.
“Biar generasi hari ini tahu dan kenal pelbagai alat muzik tradisional. Tidak salah untuk kita kenal gitar, piano dan drum tetapi kenali juga warisan datuk moyang kita. Orang luar sentiasa mengkaji dan bangga melihat seni warisan Melayu. Semaikan perasaan sayang dengan belajar sejarah warisan Melayu sebelum ia pudar dan pupus. Sayang andai anak cucu cicit sendiri tak pernah kenal apa itu tetuang”.
Zurailawati Yong ialah peserta PROGRAM MASTERCLASS & MENTORSHIP PENULISAN SENI CENDANA 2021
Pandangan dan pendapat yang dinyatakan oleh pengarang dalam artikel ini adalah milik pengarang sendiri dan tidak mewakili pendapat CENDANA. CENDANA berhak untuk dikecualikan daripada sebarang liabiliti, kerugian, kerosakan, kelalaian, dan/atau ,pelanggaran harta intelek yang disebabkan pandangan dan pendapat yang dinyatakan oleh pengarang pada setiap masa, semasa atau selepas penerbitan, di platform CENDANA atau di platform pihak ketiga.