Mendalami budaya orang asli, Mah Meri di Wisma Budi

Kenali masyarakat Mah Meri yang kaya adat serta budaya bersama Yayasan Budi dan Perkampungan Budaya Mah Meri. Kalau tak kenal maka orang luar tidak akan tahu betapa kayanya mereka dengan adat.

Oleh DANIAL FUAD

Mah Meri merupakan salah satu daripada 19 kaum orang asli yang menetap di Semenanjung Malaysia. Terdapat kajian yang menyatakan, pertama kali mereka menjejakkan kaki di Tanah Melayu pada abad ke-15. Kini penempatan mereka lebih tertumpu di daerah Selangor, terutamanya di Pulau Carey, Negri Sembilan, Melaka dan juga Johor.

Orang Mah Meri sebenarnya kaya dengan pelbagai jenis budaya tinggalan nenek moyang mereka. Kaum lelaki Mah Meri ramai yang mahir dalam mengukir patung, manakala kaum hawa pula pula pakar dalam seni anyaman nipah.

Bagi berkongsi budaya Mah Meri ini kepada orang luar, Yayasan Budi dengan kerjasama Perkampungan Budaya Mah Meri telah membawa mereka ke Kuala Lumpur di bawah program Orang Asli in the City yang berlangsung di Wisma Budi, Jalan Tunku Abdul Rahman.

Terdapat tiga aktiviti utama yang ingin diketengahkan oleh mereka iaitu anyaman, tarian dan juga ukiran Mah Meri.

En Rashid menunjukkan kepelbagaian kraf dari Orang Mah Meri.

Yayasan Budi & Perkampungan Budaya Mah Meri

Yayasan Budi telah diasaskan oleh Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim yang bertujuan untuk menaikkan lagi semangat cintakan negara, warisan dan budaya. Sejak penubuhannya pada tahun 2014, terdapat pelbagai aktiviti yang telah dijalankan oleh mereka.

Antara program terbaru di bawah Yayasan Budi merupakan bantuan banjir kepada tiga buah perkampungan Mah Meri yang ditenggelami air baru-baru ini. Mereka juga telah mengambil inisiatif untuk membantu dalam membaik pulih Balai Polis Titi, di Jelebu pada awal tahun lepas.

Perkampungan Budaya Mah Meri pula merupakan sebuah organisasi untuk mempromosikan kehidupan Mah Meri kepada masyarakat luar. Ditubuhkan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan pada bulan Mei 2011, pusat ini telah berjaya menyediakan perkerjaan bagi kaum Mah Meri tanpa meninggalkan kampung mereka. Diketuai oleh Rashid Esa sebagai Pengarah, pusat ini menyediakan pelbagai aktiviti berkaitan Mah Meri seperti ukiran patung, anyaman mengkuang dan juga lawatan harian.

Anyaman

Anyaman merupakan satu aktiviti yang sangat rapat dengan kaum wanita Mah Meri. Ia digunakan dalam pelbagai jenis acara, daripada meraikan perkahwinan sehinggalah untuk upacara pengebumian. Malahan mereka juga menggunakan anyaman untuk kegunaan pakaian ritual Tarian Jo’oh mereka.

“Skirt anyaman Mah Meri ini dekat dengan anyaman skirt golongan Maori, cuma yang membezakannya adalah anyaman Mah Meri lebih terperinci. Manakala golongan Maori hanya menggunakan anyaman lurus sahaja,” jelas Rashid Esa tentang perbezaan anyaman dua kaum ini.

Perhiasan yang digunakan untuk hari perkahwinan juga dianyam dengan pelbagai jenis motif alam semula jadi di sekeliling mereka seperti burung, udang, bunga serai dan bermacam lagi.

Seni ukiran kayu Mah Meri yang cukup teliti.

Ukiran Kayu

Jika anyaman adalah aktiviti kaum wanita Mah Meri, ukiran kayu pula merupakan kepakaran bagi jejaka dari kaum ini. Namun apa yang menjadi kebimbangan apabila kraf ini sedikit sebanyak hampir ditelan zaman kerana kepayahan dalam mengukir kayu keras. Teknik ukiran yang sukar Ini membuatkan lebih kurang 10 pengukir sahaja yang masih aktif mengamalkan seni budaya ini.

Terdapat dua ukiran utama yang digunakan oleh kaum Mah Meri iaitu ukiran topeng muka dan juga patung. Topeng muka merupakan suatu yang sangat signifikan dalam kehidupan harian mereka. Ini adalah kerana ia banyak digunakan dalam ritual penyembuhan.

Selain daripada topeng, Mah Meri juga mahir dalam mengukir patung yang kebanyakannya diilhamkan daripada alam persekitaran mereka. Motif binatang selalunya digunakan dalam ukiran patung mereka dan ini adalah kerana kebanyakan patung yang diukir merupakan gantian bagi binatang yang mereka buru. Mah Meri percaya bahawa setiap yang diambil haruslah digantikan. Jadi jika mereka pergi menangkap ikan, mereka harus membawa ukiran kayu ikan sebagai pengganti.

Anyaman skirt menggunakan daun nipah yang sering digunakan dalam tarian.

Tarian Tradisi

Tarian juga merupakan satu aktiviti yang penting dalam masyarakat Mah Meri. Ini adalah kerana setiap tahun, mereka akan mengamalkan Hari Moyang Puja Pantai. Ini merupakan ritual dimana mereka percaya bahawa pada hari tersebut, pintu di antara dunia iaitu dunia manusia (dunia nyata) dan alam roh telah dibuka. Melalui ritual ini, Tok Sidang akan menentukan kawasan yang berbahaya dan perlu dielakkan oleh nelayan Mah Meri. Tarian mereka diberi nama Mayin Jo-oh bertujuan untuk menjemput para moyang mereka untuk memberikan nasihat dan menyertai keraian yang sedang dijalankan.

Terdapat banyak perkara yang boleh kita dalami mengenai Mah Meri ini dan dengan usahasama antara Yayasan Budi dengan Perkampungan Budaya Mah Meri, kita berpeluang untuk mengetahui tentang mereka. Pameran berkenaan Orang Asli ini akan dijalankan selama tiga bulan di Wisma Budi, 195, Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

Untuk mengetahui tentang kehidupan mereka, acara suai kenal dengan Orang Asli akan diadakan pada setiap hari Rabu. Aktiviti ini membantu kita untuk memahami dengan adanya Kaum Mah Meri sendiri untuk memperkenalkan dengan lebih mendalam tentang budaya mereka.

“Selepas Mah Meri ini, kita juga akan memperkenalkan budaya Orang Asli yang berlainan untuk bulan Februari dan juga Mac,” tambah Norlia Samsi, Pengerusi Kelab Kebudayaan Mah Meri.

Bagi anda yang berminat, anda juga boleh mengunjungi pameran ini pada hari biasa untuk melihat karya-karya hasil tangan masyarakat Mah Meri dan anda juga boleh membuat pembelian hasil kraf daripada mereka di sini.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites