7 tempat makan sedap di Melaka untuk semua jenis pelancong

Kalau kebetulan anda ada di Melaka, wajib singgah makan di sini! Anda jenis pengunjung yang mana satu?

Oleh NABILA AZLAN

BASKL sempat menjelajah kota Melaka dalam menikmati suasana meriah RIUH NAU! pada awal bulan lepas dan fikir kami, dah alang-alang ke sana, rugilah kalau tak makan di restoran dan kafe yang wajib pergi sewaktu keberadaan kami di sini, kan? Siang malam kami diceriakan dengan makanan sedap bandar raya Melaka – kalau anda juga berpeluang untuk bercuti di sana, di bawah merupakan senarai tempat-tempat makan wajib yang anda patut rasa!

Bagi yang teringin lauk-pauk Nyonya: Restoran Nyonya Makko

Pilihan kami: Sambal Sotong Petai, Ayam Pong Teh dan Terung Goreng Lada

Beroperasi sejak tahun 1984, restoran ini menghidangkan makanan Nyonya (gabungan keenakan juadah Cina dan Melayu dari budaya Baba dan Nyonya) menggunakan resipi asli pengasasnya, Bibik Nyong. Dalam mengekalkan tradisi makanan berzaman-zaman, restoran ini ‘berkongsi cerita’ melalui kualiti rasa, tekstur dan aroma. Buat yang belum pernah ke sini, lauk-pauknya manis-manis pedas! Interiornya pula selesa dengan adanya penggantungan gambar-gambar lama, ukiran dan pasu-pasu yang dikumpul khas. Amat sesuai untuk seisi keluarga makan bersama, namun kami cadangkan anda membuat tempahan dahulu kerana mejanya agak terhad.

Alamat: 123, Jln Merdeka, Taman Melaka Raya, 75000 Melaka

Waktu perniagaan: Setiap hari kecuali Selasa, 11.30pg – 2.25ptg (makan tengah hari) dan 6ptg – 8.45mlm (makan malam)

Untuk peminat barangan antik: Sayyid Antique & Cafe

Pilihan kami: Steamed Nasi Lemak dan Soto

Gerai yang dipenuhi dekorasi antik menggamit memori ini merupakan perniagaan keluarga yang dipandu oleh pasangan pesara kerajaan, iaitu Afidah Abu Bakar dan suaminya sejak tahun 2000. Kedua-duanya memang meminati barang-barang antik dan telah mengumpul koleksi yang besar untuk dijual sebelum terbinanya kafe ini. Terletak di kawasan Jonker Walk, makan di kafe ini serupa makan di rumah ‘orang-orang lama’ – selesa, dikelilingi pula dengan susunan jam dan perkakas retro yang lain. Makanannya pun murah dan sedap (tiada yang melebihi RM6 sepinggan) tetapi datang awal ya, sebab tempat duduk juga terhad!

Alamat: 74, Lorong Hang Jebat, 75200 Melaka

Waktu perniagaan: Setiap hari kecuali Selasa, 8pg – 2ptg

Untuk penggemar kopi dan pancake: The Daily Fix Cafe

Pilihan kami: Creamy Salted Egg Yolk Pasta, Local Pandan Pancake dan TDF Big Breakfast

Dari awal pagi lagi kalau anda berjalan-jalan di Jonker Walk, pasti ternampak sebuah kedai cenderamata dengan barisan yang panjang diluarnya – sebabnya, kafe ini ‘disorok’ di dalam! Sementara menunggu giliran, para pengujung boleh membelek-belek barangan jualan di kedai ibu empunya kafe ini, iaitu Julian dan Soo Teng. Sejak 2014, The Daily Fix membawakan makanan lazat tempatan dan luar negeri dengan cita rasa lokal, dari pasta, burger, sandwic, ke pancake dan juga kek khas buatan ibu. Setiap hidangan mempunyai rasa yang ‘penuh’, dekornya pula mengambil kira perabot upcycle dengan sentuhan nostalgia. Kalau suka, singgahlah juga di kedai lain milik mereka dengan suasana sama, iaitu Sharing Plates dan The Curious Bakers!

Alamat: 55, Jalan Hang Jebat, 75200 Melaka

Waktu perniagaan: Setiap hari, 9.45pg – 5.30ptg

Untuk tekak yang idamkan makanan Western: Mondrian Restaurant Café

Pilihan kami: Garlic Roasted Chicken Whole Leg with Mashed Pumpkin dan Creamy Tomatoes Mussel Pot and Toasted Ciabatta Bread

Kafe-restoran Mondrian mengambil inspirasi juadah dari selatan Hollywood, di mana warga dari segenap umur dapat berehat seketika dengan hidangan makanan moden yang enak lagi puas. Walaupun terletak di tengah-tengah kota, ia membawa suasana tenang, membuai pengunjung dengan lagu-lagu pop ‘chill’ dengan dekor yang ‘chic’ dan kemas. Makanan barat (Western) disuntik dengan profil rasa Asia, menghadirkan rasa yang klasik lagi ‘dekat’ (familiar) sama ada anda memilih untuk makan sup, salad, ayam bakar, burger, pizza mahupun pilihan tempatan seperti nasi goreng dan kuey teow istimewa.

Alamat: 6, Jln Tun Abdul Razak-Ayer Keroh, Taman Delima Raya, Hang Tuah Jaya, 75150 Melaka

Waktu perniagaan: 12tgh – 11mlm (Ahad hingga Khamis) dan 12tghari – 12tghmlm (Jumaat dan Sabtu)

Untuk yang mencari suasana santai dan masakan panas: Qasreena Cafe

Pilihan kami: Mee Racun

Anda boleh memilih untuk makan sama ada pada waktu siang atau malam di Qasreena Cafe. Kunjungan kami ke sini buat kali pertama adalah pada waktu malam, jadi kami dapat nikmati masakan panas dengan angin sepoi-sepoi bahasa. Dekorasi di dalam kedai berkonsepkan minimalis, tetapi tempat duduk di bahagian luar lebih santai – boleh duduk bersila atau duduk di kerusi malas, bersantap di tepi kayu luncur (surfboard). Kafe ini terletak di Bukit Katil, Ayer Keroh – jauh sedikit dari kesibukan bandar raya jadi dapatlah anda menikmati juadah anda tanpa hiruk-pikuk kota. Ada bermacam-macam pilihan dari masakan Barat (Western), Melayu seperti nasi goreng, nasi lemak dan mi tetapi menu yang paling dikenali di sini merupakan mi racun mereka! Sejujurnya, ia ada kombinasi manis-pedas yang agak unik.

Alamat: 15, Jalan Puncak 2, Taman Puncak Bukit Katil, 75450 Ayer Keroh, Melaka

Waktu perniagaan: Setiap hari kecuali Ahad, 8pg – 10mlm

Untuk yang bangun pagi (dan teringin roti canai): Awang Roti Canai

Pilihan kami: Roti Telur dan Kari Kepala Ikan

Kalau anda pertama kali berkunjung ke kawasan ini, mungkin tak perasan akan kain rentang kedai Awang Roti Canai ini. Terletak di hadapan SJK(C) Bukit Beruang, kedai Awang sekeluarga ini sebenarnya dipenuhi pelanggan sejak awal pagi kerana roti canainya yang sedap. Tebal tetapi garing dan rangup, memang tak cukup kalau makan sekeping! Anda boleh memilih gandingkan menu roti anda (roti telur, kosong, tampal dan sebagainya) dengan kari kepala ikan jenahak ataupun sambal sotong padu. Kombinasi kedua-duanya sangat ‘kick’, tak sia-sia beratur panjang kalau ke mari! Cuma parkirnya agak mencabar sedikit; rata-rata pengujung meletakkan kenderaan di kawasan kedai yang berhampiran ataupun di pinggir jalan.

Alamat: 620, Jalan Delima 10, Taman Bukit Melaka, 75450 Melaka

Waktu perniagaan: Setiap hari, 7pg – 11pg

Untuk peminat makanan fusion: Calanthe Art Cafe

Pilihan kami: Coffee Butter Chicken with Rice dan Claypot Asam Pedas Fish with Rice

Calanthe Art Cafe milik Christie Chang ini memang menarik dekorasinya – kena lihat sendiri baru puas hati! Perabot kayu serata kedai ditemani basikal lama, catan di dinding, perkakas dapur yang digantung rapi dan juga kehijauan pokok berpasu. Makanan di sini sedap-sedap belaka, mengikut konsep ‘Asian fusion’ dengan semestinya sentuhan Melaka. Ada bermacam-macam pilihan termasuk nasi dan mi, tetapi laksa Nyonya dan nasi ayam mentega (butter chicken) di sini merupakan antara tarikan utama. Anda suka minum kopi? Jangan tak tahu, kafe ini ialah satu-satunya di Malaysia yang mengetengahkan koleksi ‘13 States Coffee’ – di mana anda boleh membeli serbuk kopi unik dari setiap negeri sebagai cenderamata atau nikmatinya sendiri di kedai. Ia juga tempat sehenti untuk membeli barang kemas dan buah tangan lain.

Alamat: 11, Jalan Hang Kasturi, 75250 Melaka

Waktu perniagaan: Setiap hari kecuali Khamis, 9pg – 10.30mlm

Sempena cuti sekolah, bawa keluarga dan rakan-rakan menghayati seni dan kenikmatan makanan serta produk tempatan. Ada jugak boleh membaca siri Melaka yang seterusnya bersama penulis BASKL Chin Jian Wei dalam mencari Artsy spots to check out around Jonker Street.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites