6 – 12 SEPTEMBER

Cepat sungguh masa berlalu, minggu ini sudah masuk minggu kedua dalam bulan September. Seperti biasa, di permulaan minggu ini kami akan menyajikan anda dengan pelbagai program yang menarik. Di kesempatan ini juga, pada hari Isnin, 6 September, kami ingin mengucapkan Selamat Ulang Tahun ke-4 buat Cultural Economy Development Agency, CENDANA. Terima kasih buat warga CENDANA yang bertungkus lumus untuk cuba membantu anak seni untuk terus berkarya dan memartabatkan industri kreatif agar terus maju ke hadapan, terutamanya dalam pandemik ini.

Bersempena Ulang Tahun Ke-4, CENDANA menjemput anda semua untuk menyaksikan program Retrospektif 4 Tahun CENDANA. Program ini terbuka buat semua, dan akan ditayangkan secara langsung di laman Facebook CENDANA Malaysia . Program khas buat sambutan ulang tahun agensi ini bakal berlangsung pada hari ini, 6 September, pada jam 8.30 malam. Anda bakal menyaksikan persembahan-persembahan menarik daripada beberapa penerima manfaat CENDANA. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan detik bersejarah 4 tahun CENDANA ini.

Buat anda yang meminati fotografi, bersempena Hari Malaysia, BASKL membawakan peraduan fotografi menggunakan telefon bimbit, KLiK Anak Malaysia. Untuk pengetahuan anda, ini merupakan siri ketiga peraduan KLiK, di mana ia bertujuan untuk menarik semua warga Malaysia untuk kongsikan kreativiti  anda mengikut tema yang telah ditetapkan setiap bulan. Pastikan anda baca di SINI dan ikuti syarat yang telah ditetapkan. Tarikh tutup KLiK Anak Malaysia adalah pada 15 September. Tinggal seminggu sahaja lagi, cepat sebelum terlambat kerana hadiah berupa wang tunai menanti semua pemenang! Selamat mencuba!

Pernahkan anda melihat Teochew Opera? Buat episod ke 2 Panggung Rakyat dengan inisiatif bersama PRISMA dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), CENDANA mempersembahkan Teochew Opera yang bertajuk Butterfly Lovers. Buat anda penggemar seni budaya Malaysia, jangan lepaskan peluang ini. Walaupun tidak dapat melihat secara fizikal demi menjaga keselamatan dan kesihatan bersama, namun kami bawakan Panggung Rakyat secara dalam talian buat anda semua, pada 11 September, jam 8.30 malam di Facebook CENDANA Malaysia. Bagi anda yang berminat untuk mendalami Seni Persembahan Teochew pula, jangan lupa untuk saksikan Dokumentari Kumpulan Teochew Puppet & Opera House pada 12 September pada waktu yang sama. Jangan lupa untuk saksikan dan sokong seni budaya kita.

Bagi anda penggemar makanan, Tiffin membawakan Tiffin at Home buat anda semua dengan tag line “From The Comfort of Your Home”.  Dengan kolaborasi bersama Malaysia dan Singapore, Tiffin membawakan kepada anda secara dalam talian dengan 10 sajian yang menarik selama lima minggu. Menampilkan chef dan restoran yang terbaik dan terkemuka, program ini juga dapat mengajar anda semua seni kulinari dalam penghasilan dan perhiasan makanan. Walaupun berada di rumah, hiasan dan gambar makanan anda seperti berada di hotel lima bintang. Dengan pembelajaran seni kulinari ini juga, ia dapat memberi inspirasi buat anda lebih kreatif di rumah dalam penyediaan makanan. Program ini telah berlangsung sejak Ogos dan akan berakhir pada 19 September. Bagi anda yang belum mendaftar, masih ada dua minggu sajian hebat dan menarik. Jangan lepaskan peluang ini. Untuk maklumat lanjut klik di SINI.

Bersempena Hari Kebangsaan, Klpac mempersembahkan Tunku The Musical secara dalam talian di platfom Youtube. Teater arahan Joe Hasham ini merupakan idea asal daripada beliau. Hasil penulisan Lim Chuang Yik dan Teng Ky-Gen, persembahan ini akan membawa anda mengintai 50 tahun negara kita, bermula dari detik hari Kemerdekaan, terpisahnya Singapura dan Tanah Melayu, rusuhan pada tahun 1969 dan banyak lagi. Kisah yang bakal memberikan anda pelbagai emosi ini mula ditayangkan secara percuma bermula 31 Ogos yang lalu dan akan terus berada di platfom Youtube sehingga 7 September. Jangan lepaskan peluang ini dan salami jiwa merdeka. Walaupun tidak dapat keluar untuk menyambut hari bersejarah seperti biasa, pupuk semangat merdeka dalam jiwa kita dan anak-anak dari rumah. Untuk maklumat lanjut anda boleh layari laman sesawang Klpac.

Adakah anda berminat dan mempunyai pengalaman dalam mengajar seni? Program ini mungkin untuk anda. Anda hanya perlu layari lawan sesawang CENDANA atau klik link di bio Instagram CENDANA untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut tentang permohonan untuk menyertai program ini. Seni untuk Semua Atas Talian bertujuan untuk menyokong kelas seni yang dilakukan oleh individu mahupun organisasi, di mana sebanyak RM3, 000 akan diberikan kepada individu atau RM 4, 500 kepada kolektif seni mahupun organisasi seni. Tarikh tutup permohonan akan dilanjutkan sehingga 7 September. Jangan lepaskan peluang ini!

Buat semua penggemar lukisan dan juga keindahan alam pula, Inner Joy Art Gallery mempersembahkan Pameran Flowers and Foliages secara atas talian. Kepentingan bunga dapat dilihat sebagai simbol untuk meluahkan perasaan atau sebagai budaya dan ritual yang diberikan buat seseorang untuk membawa kegembiraan pada sang penerima. Melalui pameran yang dihasilkan oleh enam artist ini iaitu Cyan Low, Danial Kushairi, Diana Ismail, Grace Wang Wan Chew, Nor Liyana@Lana dan Syukran Shakirah, perasaan mereka digambarkan melalui penghasilan karya seni visual bunga yang teliti. Ia juga sebagai simbol di mana bunga yang mekar, melambangkan perasan yang kian sembuh, cantik, kegembiraan dan harapan tatkala kita berada dalam pandemik. Berlangsung sejak 26 Ogos, pameran ini akan diteruskan sehingga 26 Oktober 2021. Untuk maklumat lanjut anda boleh tekan di SINI.

ASEAN Music Showcase Festival 2021 kembali lagi dengan siri kedua! Membawakan artis dari tujuh buah negara; Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand, Cambodia dan Vietnam. Pastinya mereka membawakan barisan artis yang terkenal dan mampu menghiburkan anda dari rumah. Festival selama dua hari ini akan berlangsung bermula 11 sehingga 12 September secara langsung di platfom live stream di YouTube. Ia juga merupakan kolaborasi antara Asia Tenggara yang pertama. Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang ASEAN Music Showcase Festival

Pastikan anda terus menyokong barisan artis kita untuk mereka kekal berkarya dan mengharumkan nama Malaysia dalam industri kreatif. Sekali lagi selamat menyambut Ulang Tahun ke-4 CENDANA! Duduk di rumah, keluar bila perlu dan #kitajagakita.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites