Acara Hari Kraf Kebangsaan tahun ini yang diadakan di Kompleks Kraf Kuala Lumpur berlangsung selama dua minggu bermula 1 Mac 2023. Apakah komponen dan hasil kerja menarik yang menanti para pengunjung? Susulan kunjungan BASKL semalam, kami sertakan serba sedikit tentangnya di sini!
Oleh NABILA AZLAN
Buat penggemar, pengumpul dan pereka kraf tempatan, pastinya Hari Kraf Kebangsaan menjadi acara yang ditunggu-tunggu saban tahun! Seperti yang sebelumnya, Hari Kraf Kebangsaan 2023 atau HKK 2023 diadakan di Kompleks Kraf Kuala Lumpur yang berada di ‘jantung’ Jalan Conlay. Selama dua minggu dari 1 hingga 10 Mac ini, ia dibuka untuk orang ramai dan mengandungi pelbagai komponen menarik sesuai untuk semua lapisan masyarakat.
BASKL turut berkongsi kemeriahan HKK 2023 yang memaparkan pelbagai sisipan selain jualan aneka kraf. Di sini juga disertakan pengisian berbentuk pameran, demonstrasi istimewa, seminar, jualan makanan, sisipan interaktif dan aktiviti galakan pengunjung. Yang paling penting, kemasukan ke acara ini adalah percuma! Nikmati kraftangan buatan lokal dengan cara anda sendiri dari 10 pagi hingga 10 malam!
Buat pengetahuan pembaca, tahun ini genap 20 tahun penganjuran Hari Kraf Kebangsaan sejak kali pertama ia dilancarkan. Sambutan yang menggalakkan pada edisi ini amat segar setelah ketiadaan HKK pada tahun 2020 akibat pandemik COVID-19 dan turutan kebangkitannya pada skala yang lebih kecil pada tahun lepas. Tujuan utama HKK semestinya tidak lain tidak bukan untuk membantu para pengusaha kraf untuk menjana pendapatan serta meningkatkan taraf sosioekonomi mereka.
Untuk memahami HKK 2023 dari konteks keseluruhan dan apa yang boleh anda nantikan, penulis sempat berbual dengan Nor Farahin Nazmi Nor Azmi, Pengarah Seksyen Komersial dan Digital Bahagian Pembangunan Industri di Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia), di tapak acara.
Hampir 400 usahawan dengan bermacam-macam bentuk kraf ada di sini
“Di bawah Kraftangan Malaysia ada lima kategori utama, iaitu tekstil (contohnya batik, songket, tenunan), hasil rimba (seperti rotan, anyaman mengkuang, perabot kayu), hasil tanah (misalnya seramik, kaca, kristal), hasil logam (contohnya piuter, tembaga) dan aneka kraf (seperti barangan perhiasan diri yang diperbuat dari pelbagai bahan, misalnya manik atau mutiara). Inilah contoh-contoh barangan kraf yang ada sepanjang kelangsungan HKK,” kata Farahin. Para pempamer kraf yang masing-masing berdaftar sebagai usahawan kraf dikumpulkan di khemah jualan dalam kluster kategori masing-masing bagi memudahkan pergerakan pengunjung.
Program berasaskan kraf tempatan terbesar di Malaysia ini menghimpunkan pelbagai kepakaran kraf tanpa memerlukan anda ke tempat lain! Cukuplah HKK sebagai pusat sehenti anda selama dua minggu kelangsungannya.
Pengkaji dan peminat kraf sama dirai
Di acara ulung ini, kraf kontemporari, tradisional, baru dan lama masing-masing tampil dengan cara yang tersendiri. Barangan kraf dari setiap negeri di Malaysia ada di sini, jadi masyarakat setempat dan pengunjung luar boleh melihat kecantikan kraf buatan Malaysia dan pada masa yang sama mengenali identiti kraf lokal. HKK merupakan acara yang giat membangunkan dan memperkenalkan komuniti kraf kepada khalayak ramai. “Setiap tahun, kami akan menampilkan konsep dan tema yang berbeza,” terang Farahin. “Tahun ini, kami menampilkan konsep kraf sebagai identiti Malaysia. Kami berhasrat membawa ke hadapan kraf cerminan pelbagai etnik dan budaya negara ini. Tema ‘Ini Kraf Malaysia’ adalah cara untuk memberitahu ramai bahawa inilah dia produk-produk kraf khazanah kita yang tiada di tempat lain dan wajar diangkat.”
Mengulas tentang para pengunjung lazim HKK, kata Farahin lagi, “Selalunya yang ke sini adalah para penjawat awam dan ahli agensi – mereka ke sini untuk membeli busana batik, selain para kolektor dan para peminat kraf khusus. Namun begitu, ramai juga pengunjung kali pertama yang menunjukkan minat, tidak dilupakan juga para pelancong luar negara, lebih-lebih lagi selepas aktiviti pelancongan semakin pulih. Sebenarnya, ramai peminat tetap yang menunggu pengumuman acara HKK setiap tahun.”
Mesra lagi bermanfaat buat semua, termasuk kanak-kanak
Senarai aktiviti seperti persembahan kesenian serta bengkel kraf yang ada di sini bukan sahaja menarik minat dewasa, tetapi juga kanak-kanak! Selain memberikan peluang untuk mendekatkan generasi yang lebih muda dengan kraftangan dan kesenian tempatan, mereka dapat menghabiskan masa dengan pengisian yang walaupun santai, ada pengayaannya.
Selain pameran dan jualan produk kraf, anda juga digalakkan untuk melawat khemah jualan makanan berasaskan cita rasa Malaysia, di mana makanan istimewa dari seluruh pelosok negeri ditunjukkan dan dijual. Bukan selalu diadakan demonstrasi kuih tradisional, jadi inilah masanya untuk mendapat tips keemasan berkaitan makanan tempatan kita selain merasai sendiri keenakan juadah Malaysia. Harapan Farahin, “Saya harap ramai yang akan berkunjung ke HKK! Kalau bukan kita yang sokong (produk Malaysia), siapa lagi? Inilah masanya untuk merancakkan kembali ekonomi seni kraf tempatan!”
Aturcara penuh berserta senarai pempamer kraf, peta direktori dan sebagainya boleh didapati pada risalah panduan digital ini. Selanjutnya ada di laman web rasmi Kraftangan Malaysia.
Gambar dari laman Facebook Kraf TV
Baca kisah-kisah lain seperti ini di BASKL melalui pautan di bawah: