Filem Pagari Bulan sudah boleh ditonton di pawagam terdekat dengan anda. Ini adalah ulasan dari penulis BASKL.
Oleh AZUWAN AHMAD
Sudah lewat beberapa waktu tayangan filem Pagari Bulan muncul di pawagam tempatan kita. Saya tidak dapat mencari maklumat yang tepat mengenai jumlah kutipan filem ini ketika artikel ini ditulis namun menurut pemberitaan pengarah filem ini, Ts. Raja Mukhriz agak kecewa dengan jumlah tontonan di pawagam. Dalam mengutip kenyataan Raja Mukhriz di dalam sebuah akhbar dalam talian, “saya tidak mahu menuding jari kepada pihak tertentu tapi apa yang saya nampak kelemahannya ialah dari aspek pengedaran dan promosi filem ini yang tidak sampai kepada khalayak. Promosi juga dibuat lewat selepas filem sudah nak habis tayang”, katanya.
Pagari Bulan adalah filem yang mengisahkan Bulan, anak sulung perempuan kepada pengusaha tanaman dan pemburu yang cekap iaitu Ismail dan isterinya Hasnah yang berhadapan dengan kedatangan pihak Jepun ke Kelantan. Penduduk kampung berdekatan dan kampung lain terpaksa mempertahankan kampung mereka daripada didera, dibunuh dan mempertahankan anak gadis daripada menjadi sasaran tahanan tentera Jepun. Bulan bersama-sama adiknya Kasih dan sahabatnya Sui Li juga ditangkap dan dipaksa mengikuti segala kemahuan askar Jepun demi memuaskan nafsu.
Filem ini mempertaruhkan Nazera Sardi sebagai tunjang utama, Bulan. Selain itu, filem ini turut dibarisi pelakon Aniq Durar, Trisha Ooi, Andy The, Alvin Wong dan Michael Ang. Skrip dan lakon layar pula ditulis oleh Siti Jasmina Ibrahim. Penerbit bagi filem ini adalah Eleven Field Creative Sdn. Bhd. yang diketuai oleh Sharifah Shahora serta edarannya dipertanggungjawabkan kepada Metrowealth.
Saya sudah menonton filem ini dan akan berkongsi dengan anda 3 sebab mengapa anda harus menonton filem ini:
- Premis yang menarik.
Filem ini menampilkan sebuah ‘logline’ atau premis yang menarik iaitu kisah seorang wanita yang menghadapi kesengsaraan dalam melawan kesukaran sebagai pemuas nafsu atau ‘comfort woman’ ketika zaman pemerintahan Jepun di Tanah Melayu. Filem tempatan yang menampilkan latar belakang pemerintahan Jepun di Malaya sebenarnya sudah ada beberapa seperti Embun dan Paloh namun tidak ada lagi yang memfokuskan tentang gadis-gadis tempatan yang dijadikan pemuas nafsu penjajah.
- Anda telah menyumbang kepada belanja filem ini!
Filem ini sebenarnya telah mendapat geran ketegori kenegaraan di bawah Dana Kandungan Digital melalui Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (FINAS) sebanyak RM 2.5 juta. Ia merupakan sebab yang lebih untuk anda menonton filem ini supaya anda tahu ke mana wang anda telah dibelanjakan. Tambahan pula, sudah lama kita tidak mempunyai filem yang berlatarbelakangkan zaman perang dan penjajahan.
- Sokong filem tempatan.
Filem ini merupakan filem pertama yang diterbitkan oleh syarikat Eleven Field Creative. Sebelum ini, mereka hanya membuat projek-projek produksi yang kecil. Walaupun citarasa penonton tempatan berbeza-beza, namun dengan menonton filem ini kita dapat membantu anak-anak tempatan untuk berkarya lagi di masa hadapan serta menghasilkan kualiti filem yang lebih bagus. Ini dapat menyemarakkan lagi suasana industri filem tempatan.
Namun begitu, saya merasa ada beberapa perkara yang harus saya timbulkan sebagai penonton filem ini. Perkara penting yang saya harus ingatkan adalah perkara yang saya tulis di sini adalah pendapat peribadi dalam mengulas keseluruhan filem ini. Perkara utama yang saya perasan adalah pelakon utama dalam filem ini, Nazeera Sardi gagal untuk menguasai dialek Kelantan dengan baik sehingga menimbulkan bunyi-bunyi dialog atau suara latar yang janggal. Ini mengganggu saya sebagai penonton dalam mempercayai bahawa Bulan di dalam filem ini benar-benar seorang rakyat Kelantan. Umum mengetahui bahawa Nazeera berasal dari Negeri Sembilan dan mendapat latihan intensif dialek sebelum masuk ke dalam set Pagari Bulan. Malangnya, ia tidak dapat dikuasai dengan baik menurut saya.
Satu lagi hal yang saya perasan dalam filem ini adalah sewaktu transisi watak utama dari seorang wanita yang ditawan kepada fasa menjadi pembela wanita-wanita di dalam tahanan. Saya tidak begitu mengerti sama ada ini permasalahan skrip, pengarahan atau pasca-suntingan (post-editing) kerana seolah-olah ada lompong dalam transisi itu. Saya merasakan perubahan itu terjadi secara mendadak apatah lagi watak askar Jepun yang baik lakonan Aniq Durar tidak begitu membantu. Tidak ada satu momen yang mencetus kepada perubahan tersebut.
Satu lagi hal yang saya tidak berkenan mengenai filem ini adalah watak yang dipegang oleh Michael Ang sangat mengecewakan. Watak ini terlalu berat untuknya kerana ia memerlukan emosi mendalam seorang bapa yang kehilangan anak perempuan tunggalnya yang ditawan pihak Jepun untuk dijadikan pemuas nafsu. Ada satu adegan dimana anaknya dalam tawanan dibawa berjalan di pekan oleh petinggi Jepun dan si bapa ada di situ ingin bertemu anaknya namun dalam pada masa yang sama diugut oleh petinggi Jepun tersebut sehingga memaksa anaknya untuk memilih antara bapanya ataupun pihak Jepun. Momen ini sangat berat tetapi oleh kerana dibawakan oleh lakonan yang lemah oleh Michael maka ekspresinya itu menjadi sedikit lucu. Momen itu hilang magisnya.
Secara keseluruhan cerita ini sangat meyakinkan pada mulanya ditambah dengan poster yang sangat cantik, barangkali kalau ada anugerah poster terbaik mereka layak memenanginya. Namun, oleh kerana ada beberapa hal yang saya sebutkan tadi membuatkan harapan saya hancur berkecai. Dalam pada masa yang sama, saya mengharagai lakonan-lakonan yang baik oleh Chelsia Ng, Alvin Wong, Azlan Komeng, Laila Nasir dan Wan Azli Wan Jusoh.
Tiket menonton filem Pagari Bulan boleh dibeli di GSC atar di TGV.
Ikuti kisah menarik yang lain di BASKL: