3 lokasi cuci mata di Ipoh, Perak

Tiga pasar, tiga ‘perisa’ tersendiri! Tak hairanlah ketiga-tiga tempat ini penuh dengan pengunjung setiap kali anda bercuti ke Ipoh, Perak.

Oleh NABILA AZLAN

Penulis baru-baru ini bersama Team BASKL bermalam selama beberapa hari di Ipoh, Perak dalam melunaskan tuntutan kerja, tetapi dalam kesibukan ini kami berkesempatan untuk meluangkan masa untuk melawat tiga pasar terkenal di Ipoh iaitu Pasar Karat atau Loken, Bazaar Lorong Panglima (Concubine Lane) dan Kong Heng Square Artisan Market.

Ketiga-tiga pasar ini bukanlah lokasi yang baharu, tetapi kehadiran orang yang ramai tidak putus-putus di setiap satunya kerana pasar-pasar ini tidak pernah membosankan dengan apa yang dijual dan dipamerkan. Alang-alang sudah ke bandar Ipoh, memang tak sah kalau tidak menjenguk suasana menarik di tempat-tempat ini. Menggamit rasa gembira melalui kelima-lima deria, jom kita singkap ‘keunikan’ tiga tempat menarik ini!

Yang lama dan sarat dengan nostalgia: Pasar Karat Ipoh

Di Jalan Horley, Kampung Jawa

Pasar Karat Ipoh atau Loken yang dibuka hanya pada setiap Ahad bermula jam 7 pagi sehingga waktu tengah hari sekitar pukul 1 menyaksikan kedatangan orang ramai dari setiap pelosok tidak kira umur. Pelancong tempatan mahupun luar negara akan terpegun melihat berbagai-bagai jenis barangan yang dihamparkan untuk dijual! Kenapa digelar Loken? Pasar Karat yang ditandakan dengan gerbang Memory Lane ini sebenarnya dahulu tidaklah jauh dengan Bazar Lam Look King (di Jalan Laksamana) yang kini beralih tapak di tepi Sungai Kinta. Serupa Time Tunnel Museum di tengah bandar Ipoh (cawangan kedua selepas Cameron Highlands) yang menyusun serpihan nostalgia melalui pelbagai barangan vintaj atau antik, Pasar Karat juga ada dekorasi rumah, perkakas elektronik, bahan bacaan, alat permainan dan sebagainya tetapi untuk dibeli dan dibawa pulang. Dalam mengimbau kenangan lalu, pengunjung disajikan dengan pilihan yang mungkin sukar untuk didapati di tempat lain kerana jumlahnya yang mungkin sedikit dan hanya disimpan oleh para pengumpul. Buat yang sukakan barangan rare atau yang jarang-jarang ditemui seperti para kolektor, inilah juga tempat yang wajib anda singgah! Turut ada, alat perhiasan diri, piring hitam, pinggan mangkuk lama dan juga barangan perak dan tembaga. Meriahnya tak usah kami ceritakan, kenalah alami sendiri.

Tip penulis: Rancang perjalanan anda kerana sekitar pukul 8 pagi, pasar ini akan mula sesak dan anda mungkin akan mengalami cabaran untuk parkir kereta!

Yang baru dan beraneka rasa: Concubine Lane

Di Lorong Panglima sekitar Jalan Bandar Timah

Ceritanya, lokasi Instagrammable ini mengambil namanya kerana tempat ini dikatakan menjadi kawasan orang kaya Cina lama merumahkan gundik-gundik mereka! Ada juga yang mengatakan bahawa seorang tuan besar yang memiliki perniagaan bijih timah berjaya telah menghadiahkan tiga orang isterinya sebuah lorong seorang, salah satunya Lorong Panglima yang kini dikenali sebagai Concubine Lane! Selain ‘hidup’ dengan pelbagai mural dan seni bandar (street art), Concubine Lane yang buka pada setiap hari sekitar jam 11 pagi dan tutup pada 8 malam berada tepat di tengah-tengah bandar dan sering padat dengan pengunjung yang menginginkan sesuatu yang segar, manis atau kedua-duanya sekali. Di lorong ini, peniaga menawarkan harga yang baik untuk pelbagai barangan termasuk pakaian, aksesori peribadi, tanam-tanaman kecil, serta bermacam-macam rupa cenderamata unik yang boleh dibungkus untuk keluarga dan kawan-kawan. Di sepanjang lorong ini juga, anda boleh menikmati manisan dan street food cara Ipoh – antaranya ada ayam goreng pelangi, kuih titisan hujan, gula-gula kapas, sengkuang calit dan homemade mochi. Lokasi Concubine Lane yang strategik membolehkan anda berhenti di kafe-kafe di sekitarnya, anda juga boleh bersiar-siar dan meninjau suasana masa kini di Tin Alley (lorong timah) dengan berjalan kaki.

Yang istimewa dan pastinya berseni: Kong Heng Square Artisan Market

Juga di Lorong Panglima

Jalan beberapa tapak sahaja dari Concubine Lane dan anda akan temui Kong Heng Square, bangunan cantik dengan beberapa tarikan seperti hotel Sekeping Kong Heng, kedai buku BookXcess, kedai rambut antik di bahagian tengah bangunan dan yang paling penting, bazar artisan yang meriah! Di Kong Heng Square Artisan Market setiap hari kecuali Selasa dari 11 pagi hingga 5 petang, artis-artis tempatan menawarkan senarai barangan yang direka khas mengikut stail dan skil seni mereka. Kalau hendak membawa pulang oleh-oleh dari Ipoh ataupun mahu ‘belanja’ diri sendiri dengan barangan yang lain dari yang lain, bolehlah ke sini! Tapak artisan ini ada menjual pakaian, aksesori dan beg buatan tangan, barangan seramik, dekorasi meja makan, rantai kunci dan lebih banyak lagi.

Yang mana satu pilihan hati?

Anda juga boleh mengikuti kisah-kisah lain di sini:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites