Oleh WAN NOR ALIA WAN ALI
Mencari aktiviti menarik minggu ini, BASKL ingin kongsikan antara program yang boleh dimasukkan dalam senarai perancangan anda nanti;
Mari sertai dan topup ilmu bersama Cult Creative dalam ‘Tauke Roundtable’, sebuah diskusi meja bulat bersama pengasas kreatif tentang bagaimana mereka kekal berada di atas dalam bidang masing- masing. Setiap tahun mereka berjaya kembangkan jenama mereka, jadi ambil peluang ini untuk anda pelajari bagaimana para panel mencipta nama dan peluang dari kreativiti masing-masing. Ikuti diskusi bersama Sian Chiew, Pengasas bersama Root Remedies, Low Ngai Yuen, Presiden Kaki Seni dan Ana Abu, Pengasas Ana Abu. Jangan lepaskan peluang ini, yang bakal berlangsung pada 30 September, jam 5 petang. Penyertaan adalah percuma buat ahli dan RM35 sahaja untuk bukan ahli. Untuk maklumat lanjut klik di SINI.
Jika tadi Tauke Rountable membincangkan tentang dunia kreatif, buat anda yang meminati perbincangan ilmiah yang berteraskan sejarah pula, program ini sesuai untuk anda. Sidang Meja Bulat, Made in Nusantara yang dianjurkan oleh Port Ipoh ini membincangkan tentang sebuah buku bertajuk ‘Made in Nusantara: Studies in Popular Music, (Routledge,2021)’. Buku ini adalah buku pertama yang seumpamanya dalam siri Pengajian Muzik Popular Global Routledge. Ia menyajikan berbagai jenis kajian mengenai muzik popular di Filipina, Indonesia, Singapura dan Malaysia. Bersama barisan panel ahli akademik, perbincangan ini pasti menarik buat anda peminat muzik. Bakal berlangsung pada 3 Oktober, program ini adalah percuma. Untuk maklumat lanjut layari laman sosial Port Ipoh.
Bagi anda yang berminat dalam bidang muzik dan mempunyai kelebihan dalam bidang nyanyian, jangan lepaskan peluang ini! Sertai Pertandingan OperaKUL 2021, National Virtual Operatic Singing Competition. Terbuka buat 3 kategori, 16 – 20 tahun, 21 – 25 tahun dan 26 – 35 tahun, anda berpeluang untuk memenangi hadiah berupa wang tunai. Senang sahaja, anda hanya perlu mendaftar di SINI. Jangan lepaskan peluang, hanya tinggal seminggu sahaja lagi. Tarikh tutup penyertaan adalah pada 30 September, manakala Tarikh akhir penghantaran video adalah pada 7 Oktober 2021. Untuk anda yang ingin mengetahui tentang pertandingan ini dengan lebih lanjut, anda boleh layari medi sosial KL City Opera.
Koop Seni ingin mengajak anda untuk melihat sesuatu yang menakutkan pada 1 Oktober nanti. Mempersembahkan BOO! Kompilasi ilustrasi ngeri pendek, kisah seram dan keganasan yang dioleh dalam bentuk yang kreatif. Halaman yang seram ini memang dibuka setiap Oktober. Untuk tahun ini, Koop Seni telah meneroka cerita rakyat, mitos dan kisah budaya yang telah ditafsirkan dalam bentuk karya kreatif seperti puisi, komik atau cerita hantu ikonik. Cukup menarik ilustrasi promo yang telah mereka kongsikan di laman media sosial mereka. Amaran! Buka dengan risiko sendiri! Untuk maklumat lebih lanjut anda boleh layari BOO! atau klik di SINI.
Dengan pembukaan sektor secara berperingkat, banyak lokasi tarikan pelancong telah mula untuk beroperasi semula. Langkawi, antara lokasi yang menjadi perhatian buat pelancong dalam negara menawarkan pameran yang menarik buat anda di sana. Balai Seni Negara Langkawi, mengambil peluang ini untuk membuka pameran Langkawi Sebelum Bebas Cukai bermula 16 September yang lalu sehingga 31 Januari 2022. Mempamerkan lebih 200 keping gambar suasana Pulau Langkawi yang mungkin anda tidak pernah lihat sebelum ini seperti Jeti Sanatorium. Untuk maklumat lanjut anda boleh kunjungi laman INI.
Bagi anda yang mempunyai aktiviti yang menarik, jangan lupa untuk kongsikan bersama kami di noraliaali@cendana.com .