19 – 25 JULAI

Minggu ini Editor’s Pick BASKL Kembali dengan enam aktiviti menarik yang anda boleh layan sambil duduk di rumah! Dari muzik, filem pendek, top up ilmu pengetahuan dan juga drama radio, semua yang menarik hanya untuk anda!

Oleh WAN NOR ALIA WAN ALI

Mendapat inspirasi daripada tempat kelahirannya Khairudin Zainudin kembali dengan pameran solo di Galeri G13 dengan tajuk Ambivalence. Sejak berpindah ke ibu kota Kuala Lumpur, Khairudin meluahkan rasa kecewa, dimana beliau merasakan telah mengambil mudah akan budaya yang terdapat di kampung halamannya. Ini kerana perubahan ketara yang beliau dapat rasakan setiap kali pulang ke kampung. Menurutnya, Kelantan mempunyai pelbagai aktiviti kebudayaan, namun tatkala makin dewasa, baru beliau sedar untuk menghargai khazanah yang tersimpan di negeri kelahirannya itu. Bermula daripada 17 sehingga 31 Julai, bagi anda yang ingin melihat karya Khairudin Zainudin anda boleh klik di sini atau whatsapp terus ke Wendy daripada Galeri G13.

Bagi peminat muzik indie pula, anda juga tidak dilupakan. Jangan lepaskan peluang untuk menonton Online Music Festival secara percuma di youtube Atas Angin. Menariknya mereka menampilkan barisan artis terkenal dari tiga buah negara; Malaysia, Singapura dan Indonesia. Pastinya dapat memeriahkan hari anda sehingga 31 Julai ini. Antara barisan artis yang bakal menghiburkan anda dari rumah seperti Plague Of Happiness, 6ixth Sense, Radhi OAG, Banyak Bunyik Republik, Motherwit, The Impatient Sister, Bawal & Jeans, Kolar Hijau, Pop Konspirasy dan ramai lagi! Anda dapat melepaskan rindu bersama artis kegemaran anda walaupun dengan hanya menonton dari kaca skrin anda di rumah.

Usaha sama pelajar dan ahli akademik dari Universiti Malaysia Sarawak melahirkan Mini Film Festival yang terpanjang di Malaysia. Sehingga 25 Julai 2021, festival ini dapat memberi anda kepuasan dalam metonton filem pendek kerana mereka menampilkan 47 mini filem untuk dipertontonkan. Selain itu terdapat 3 webinar yang menampilkan pembuat filem serta para juri daripada Malaysia, Asia Tenggara dan German. Daripada semua filem yang bakal ditayangkan, 5 daripadanya adalah daripada pembuat filem dari Borneo dan ada juga diantaranya filem yang diinspirasikan daripada kisah pertandingan muzik sape (alat muzik tradisional). Jangan ketinggalan kerana terdapat juga sebahagian daripada filem yang bakal ditayangkan buat pertama kali. Jangan lepaskan peluang ini dan masih belum terlambat untuk menyertai Mini Film Festival di sini.

Terkenal dengan empayar kasutnya, Nelissa Hilman bersama Cult Creative bakal membuat perkongsian melalui laman zoom bertajuk “How to Conceptualise, plan and promote a successful campaign”. Perkongsian daripada Pengasas dan juga Pengarah Kreatif jenama kasut ini pastinya bermanfaat buat semua usahawan di luar sana untuk mempelajari teknik dan pemahaman dalam urusan perniagaan. Penggiat seni juga boleh mengambil peluang ini untuk mendalami cara Nelissa menguatkan empayarnya agar boleh menjadi teladan serta mengambil sedikit sebanyak formula yang bakal dikongsikan Nelissa sebagai panduan. Jangan lepaskan peluang pada 23 Julai, jam 5.30 petang anda bakal menambah ilmu pengetahuan secara percuma buat ahli, dan RM35 bagi mereka yang bukan ahli. Klik di sini untuh tempahan slot anda.

Adakah anda benar- benar mengenali pasangan anda? Aksara Seni menampilkan Yusuf Zalfakhar dan Maisyarah Mazlan dalam drama radio terbitan mereka, Hitam. Cerita ini mengisahkan sisi gelap pasangan yang tidak pernah diketahui. Sejarah hitam yang terpalit dalam hidup si suami yang tidak diketahui sehingga suatu hari, misteri sebuah video merungkai sejarah hitam pasangannya. Drama berdurasi 9 minit ini pasti dapat mengisi masa lapang anda di rumah. Memang lumrah untuk menerima pasangan anda dengan ikhlas dari hati, namun adakah anda benar-benar mengenali pasangan anda?! Ikuti Hitam di Spotify.

Semoga semua aktiviti ini dapat mengisi masa lapang anda di rumah. Duduk rumah dan jaga diri anda dan orang tersayang!

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites