Pementasan teater "Dua Darah" mengupas konflik identiti dan krisis dalaman seorang individu berdarah kacukan ketika terpaksa menguruskan upacara pengebumian bersendirian sewaktu kemuncak pandemik COVID-19.
Oleh DANIAL FUAD
Di sebuah negara majmuk seperti Malaysia, persoalan mengenai identiti jarang sekali semudah menanda kotak pada borang rasmi. Bagi individu berdarah kacukan yang hidup di antara dua budaya sering kali terasa bagai meniti di atas tali—satu rundingan berterusan tentang rasa kekitaan, jangkaan masyarakat, dan kepercayaan beragama.
Pencarian yang mendalam ini diangkat dengan cemerlang menerusi Dua Darah, sebuah drama berbahasa Melayu baharu hasil nukilan penulis skrip Johan Othman, dengan arahan pengarah berkaliber, Chee Sek Thim. Diterbitkan oleh kumpulan teater veteran dari Pulau Pinang, ZXC Theatre Troupe, pementasan ini akan menemui penonton di Pulau Pinang sebelum dipentaskan di Five Arts Centre, Kuala Lumpur.

Berpandukan rangkap puitis, “Jauh mengalir dari Negara Tengah, Jauh mengalir dari Sulawesi”, naskhah ini menjanjikan satu pandangan yang telus terhadap pertembungan budaya dan beratnya sesebuah dogma kehidupan.
Pengebumian dalam Kesunyian
Naratif Dua Darah dicetuskan oleh satu peristiwa yang spesifik yang penuh dengan kesunyian: sebuah upacara pengebumian Cina di kemuncak sekatan pergerakan akibat pandemik COVID-19.
Pementasan ini menelusuri kisah seorang protagonis berdarah kacukan yang memikul tanggungjawab untuk hadir dan melaksanakan upacara pengebumian untuk ibu saudaranya yang telah meninggal dunia. Oleh kerana sekatan pergerakan yang ketat oleh kerajaan Malaysia, tiada ahli keluarga lain yang dapat hadir. Sepanjang tiga hari tempoh pengebumian tersebut, kesunyian itu menjadi asbab kepada krisis kewujudannya, di mana dia mula mengimbau memori pahit manis dan cabaran keluarganya sebagai komuniti Melayu-Cina Muslim.
Apa yang terungkai adalah satu monolog dalaman yang jujur dengan dirinya sendiri dan juga dengan Tuhan. Dua Darah dengan berani mengupas rasa tidak selesa yang wujud apabila terpaksa akur dengan sikap ‘kebenaran kendiri’ (self-righteous) yang sering mendominasi dalam segelintir penganut agama Islam dan masyarakat tradisional Cina, di mana masing-masing sering memaksakan dogma kehidupan tersendiri ke atas orang lain.
Dari Monolog Kepada Korus Bertiga

Perjalanan membawa Dua Darah ke pentas adalah satu proses yang cukup teliti dan memakan masa. Bermula pada awal tahun 2024, projek fasa pembangunan skrip berjalan selama kira-kira satu tahun setengah. Penulis skrip Johan Othman, pengarah Chee Sek Thim, dan penerbit Tan Hock Kheng bertemu setiap bulan untuk merungkai dan memperhalusi naskhah tersebut.
Satu yang menarik untuk bagi drama ini, pada asalnya ditulis dalam bahasa Inggeris dan dirangka sebagai sebuah monolog. Walau bagaimanapun, pasukan kreatif mengambil keputusan yang tepat untuk mengubahnya ke dalam Bahasa Melayu agar lebih dekat dengan jiwa lokal. Bagi menangkap rentak sebenar lidah rakyat Malaysia, penggunaan bahasa Inggeris slanga tempatan, Hokkien, dan Mandarin turut disulam dengan teliti ke dalam teks persembahan.
Tambahan pula, bentuk monolog solonya telah dipecahkan dan diperkembangkan. Suara dalaman protagonis kini tidak lagi berseorangan; ia dihidupkan oleh tiga pelakon dengan menggabungkan elemen pergerakan, vokalisasi, muzik, dan bunyi.
Kolaborasi Pelbagai Disiplin
Dua Darah menampilkan persembahan fizikal dan dinamik oleh barisan pelakon yang terdiri daripada Nur Hilyati Ramli, Ho Sheau Fung, dan Teoh Chee Lin. Emosi dan bebanan skrip ini dipertingkatkan lagi dengan sentuhan Pengarah Muzik dan Komposer Kang Su Kheng, koreografi oleh Teoh Chee Lin, serta rekaan kostum oleh Koay Wey Shin.

Bagi penonton di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, Dua Darah menawarkan satu selaman teater yang jarang sekali berlaku mengenai pengalaman kehidupan masyarakat kacukan di Malaysia. Ia adalah sebuah kisah pendamaian darah yang mengalir di dalam tubuh dengan kepercayaan yang memandu arah kehidupan kita.
Maklumat Tayangan & Tiket
Bagi memastikan naskhah ini dapat dinikmati dan difahami oleh penonton dari pelbagai latar belakang, pementasan ini turut disertakan dengan sari kata bahasa Inggeris dan Cina.
PULAU PINANG
- Tempat: KOMTAR Aras 5, Auditorium A, Pulau Pinang.
- Waktu Tayangan:
- 11 April 2026 (Sabtu) @ 3:00 petang dan 8:30 malam
- 12 April 2026 (Ahad) @ 3:00 petang.
- Pautan Tiket: Boleh didapati di Pautan Ini.
KUALA LUMPUR
- Tempat: Five Arts Centre, Tingkat 9, GMBB, KL.
- Waktu Tayangan:
- 17 & 18 April 2026 (Jumaat & Sabtu) @ 8:30 malam.
- 18 & 19 April 2026 (Sabtu & Ahad) @ 3:00 petang.
- Pautan Tiket: Boleh didapati di Pautan Ini.
Harga Tiket: RM55 setiap satu.
Pertanyaan: Hubungi Cik Karen di talian 016-407 2307 atau Cik Wong di talian 016-294 1203.
Ikuti kisah menarik yang terdapat di BASKL melalui pautan di bawah: