‘Walk The Doc 2023’ perkasakan dokumentari berteras pelancongan, alam sekitar dan kelestarian

Festival Dokumentari Antarabangsa Walk The Doc atau ‘Walk The Doc International Documentary Festival’ berlangsung pada 1 hingga 3 Ogos 2023 di Pulau Langkawi, Kedah.

Bertempat di Mercure Langkawi Pantai Cenang, festival Walk The Doc 2023 dianjurkan oleh Walkabout Asia dengan tujuan meraikan dan memberi pengiktirafan kepada produk dokumentari dan tenaga produksi yang menghasilkannya sambil membina jaringan komuniti pengkarya dokumentari dan kandungan berfakta yang lain. Untuk penganjuran kali kedua ini, seramai 200 peserta akan berkampung di Mercure Langkawi untuk menyertai festival kali ini dari dalam dan luar Malaysia.

Pengarah Festival, Puan Nurashikin Zaharuddin mensasarkan matlamat tinggi agar festival Walk The Doc ini mampu menjadi sebuah festival tahunan berskala antarabangsa yang turut berfungsi sebagai platform untuk mereka yang berminat dan juga terlibat dalam penghasilan kandungan berfakta dan dokumentari berkumpul serta membina jaringan komuniti sesama mereka.

Dengan menetapkan tema pelancongan, alam sekitar dan kelestarian sebagai syarat layak utama untuk penyertaan dokumentari, festival tahun ini menyaksikan penyertaan lebih 50 dokumentari dari 15 buah negara untuk dipertandingkan tahun ini. Dokumentari yang telah dihantar untuk menyertai pertandingan tahun ini akan dinilai dan diadili oleh panel juri yang berpengalaman luas dalam penerbitan dokumentari.

Selama tiga hari, para peserta berpeluang mengikuti pelbagai acara menarik yang disusun khas untuk festival kali ini. Antaranya, sesi tayangan dokumentari yang bertanding, juga sesi bengkel, pitching dan masterclass bersama panel-panel yang dilihat sebagai pemain utama dalam industri penerbitan dokumentari.

Terdapat juga sesi pembentangan istimewa oleh wakil organisasi media yang telah lama menerbitkan pelbagai jenis dokumentari. Malah wakil dari RT Russia dan TRT Turki akan berkongsi pengalaman mereka. Malaysia diwakili oleh Bahagian Penerbitan Majalah TV3 yang sedia berkongsi pengalaman dalam penerbitan program kandungan berfakta secara berterusan selama lebih 20 tahun.

Di samping itu juga, untuk festival kali ini, satu projek siri jelajah yang dinamakan Small Stories, Big Impact (SSBI) telah diadakan pada bulan Mei dan Jun yang lalu. Enam lokasi telah dipilih untuk diadakan sesi bengkel dan perkongsian berkaitan proses produksi dokumentari di mana panel yang dijemput akan berkongsi tips dan proses yang perlu diambil dalam menghasilkan dokumentari.

Peserta SSBI di semua lokasi berpeluang untuk melalui proses pitching dengan membawa cadangan dokumentari yang ingin mereka hasilkan. Lapan buah idea menarik dipilih untuk mara ke peringkat produksi di mana mereka akan menerima wang produksi berjumlah RM5000 tajaan Think City dan seorang mentor yang akan memberi panduan serta tunjuk ajar untuk menghasilkan sebuah mikro-dokumentari berdurasi antara 5- 8 minit. Kesemua mikro-dokumentari yang telah siap akan ditayangkan untuk tontonan umum di Channel YouTube Walkabout Asia dan di Bernama TV.

Tinjau dengan lebih dekat melalui laman sesawang rasmi Walk The Doc.

Baca kisah-kisah lain seperti ini di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites