Tugu Atas Bukit inspirasi dari karya Sasterawan Negara

Karya terbaru seniman pelbagai bidang Saiful Razman diilhamkan daripada novel Rentong oleh SN Dato' Haji Shahnon Ahmad.

oleh DANIAL FUAD

Inspirasi untuk berkarya boleh datang dari pelbagai sumber dan untuk Saiful Razman, kali ini dia mendapat ilham untuk berkarya melalui buku Sasterawan Negara kita; Dato’ Haji Shahnon Ahmad. “Buku Rentong ini sangat dekat dengan saya kerana dia menceritakan tentang sebuah kampung sebenar Dato’ Haji Shahnon Ahmad,” ujar Saiful ketika memberi ulasan tentang karya terbarunya, Tugu Atas Bukit.

Terkenal dengan karya kolaj kertas dan kain kasa, Saiful merupakan seorang seniman yang telah menempa nama bukan sahaja dalam negara, malahan di luar negara dengan pameran terkininya di Collateral Event di Venice Biennale dan Sharjah Art Foundation Residency tahun ini. Dia juga merupakan pemenang bagi UOB Southeast Asian Painting of the Year Award pada tahun 2021. Suleyman Azhari, penulis jemputan bagi Tugu Atas Bukit telah menyatakan, “Elemen terpenting dalam penciptaan karya-karya Saiful adalah penyiasatan makna landskap. Menerusi instalasi terbaharu Saiful, Tugu Atas Bukit (2022), dia telah meneroka landskap-landskap Malaysia yang kerap berubah.”

“Tugu Atas Bukit pada awalnya adalah drama radio, tetapi apabila saya berbincang dengan isteri saya, Nadiya Nisaa, dia mencadangkan untuk menghasilkan instalasi yang mengandungi audio, video dan juga fotografi dan itu membuatkan karya ini gabungan dokumentari dan fiksyen,” kongsi Saiful tentang bagaimana karyanya berkembang. Berbeza dengan karya sebelum-sebelum ini, Saiful telah bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk menyiapkannya, yang mana Rat Production juga merupakan salah satu daripadanya. Barisan pelakon untuk karya ini terdiri daripada Mior Hashim Manap, Ameera Ramlee, Fathil Dani, Namrom, Firdaus Karim dan juga Nadia Aqilah.

Menceritakan plot karya ini, Saiful yang lahir dan membesar di hilir Perak iaitu Kampung Changkat Jong, Teluk Intan. “Satu-satunya tanah tinggi yang ada di hilir Perak adalah di Changkat Jong, ini adalah realiti landskap sebuah kampung. Jadi plot Tugu Atas Bukit ini diilhamkan oleh kerana semenjak tahun 1930an sebelum Merdeka, berlakunya penjualan tanah oleh orang kampung kerana percaya bahawa tanah di lereng bukit itu disumpah dan tidak boleh bercucuk tanam pun di situ,” tambahnya lagi.

Karya terbaru Saiful ini menceritakan kisah orang kampung yang ingin menjual tanah di lereng bukit untuk dijadikan jirat (perkuburan) Cina oleh kerana percaya kawasan tersebut disumpah. Namun ketegangan berlaku kerana terdapat seorang pejuang kemerdekaan nasionalis, Yop Pin enggan menjual tanahnya. Perkara ini dapat dikaitkan dengan novel Rentong di mana watak protagonisnya, Semaon tidak bersetuju untuk menanam padi dua kali setahun. “Saiful mencipta naratif fiksyennya sendiri berkisar tentang kontroversi Changkat Jong,” ujar Suleyman. “Dengan menggabungkan pelbagai jenis media, Saiful membawa penonton keluar daripada had-had seni lukis dan membenamkan mereka ke dalam sebuah landskap fizikal yang sebenar,” tambahnya lagi.

Cerita yang disiarkan dalam tempoh lebih kurang 30 minit ini dipaparkan di kaca televisyen di Balai Seni Negara dan orang ramai boleh duduk di atas beg-beg pasir yang disusun yang juga merupakan sebahagian darip karya ini. “Arca-arca yang dibina daripada timbunan beg pasir adalah simbolik kepada pembinaan dan pembangunan, di mana ia adalah bahan utama dalam konkrit,” ujar Suleyman lagi.

“Apa yang saya nak sampaikan adalah sifat toleransi orang kampung yang mana, majoritinya Melayu setuju untuk menjual tanahnya untuk dijadikan kubur Cina, malahan menjadi penjaganya juga,” tambahnya sambil menjelaskan suasana itu sesuatu yang sering dilihatnya sewaktu membesar di kampung. Suasana dan perasaan ini juga yang ingin dia tunjukkan kepada orang ramai.

Terdapat pelbagai perlambangan yang Saiful gunakan dalam karyanya kali ini dan pengkritik seni, Dr. Zakaria Ali telah memberi pendapat, “Adegan tanah liat yang diurut itu merupakan suatu metafor yang sangat bagus untuk kita yang boleh diuli dan dibentuk dan benang yang digunakan untuk membahagi tanah liat yang diurut itu melambangkan pembahagian tanah seperti yang ada dalam buku Rentong oleh Shahnon itu dimana lembu dibahagi secara tidak adil”.

Tugu Atas Bukit ini sedang dipamerkan di Balai Seni Negara, Kuala Lumpur bermula daripdaa 19 Sept lalu sehingga 6 Dis. Maklumat lanjut berkenaan Saiful Razman boleh didapati laman Instagramnya dan orang ramai boleh melawat laman sesawang Tugu Atas Bukit untuk mengetahui lebih mendalam tentang karya ini.

Ikuti kisah menarik lain di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites