Tower Fashion Eleganza 2023 peragakan karya fesyen tempatan di pencakar langit!

Buat pengetahuan pembaca, pertunjukan fesyen Tower Fashion Eleganza 2023 (TFEKL23) mencatat rekod di dalam Malaysia Book of Records sebagai pertunjukan fesyen tertinggi di negara ini!

Bersempena sambutan Hari Bangunan Pencakar Langit Sedunia, sebuah acara pertunjukan fesyen yang berkemungkinan mencipta rekod tersendiri akan diadakan pada 9 September 2023 bertempat di Sky Deck dengan ketinggian lebih kurang 300m dari permukaan bumi di Menara Kuala Lumpur (Menara KL). Sehingga kini, Menara KL masih lagi pemegang rekod sebagai menara komunikasi tertinggi di Asia Tenggara dan ketujuh tertinggi di dunia. 

Hari Bangunan Pencakar Langit Sedunia diraikan setiap tahun pada tarikh 3 September, bersamaan juga dengan hari kelahiran arkitek Amerika Syarikat iaitu Louis H. Sullivan, yang juga dikenali sebagai Bapa Bangunan Pencakar Langit. Pada satu ketika, negara Amerika Syarikat bagaikan memonopoli senarai bangunan pencakar langit di dunia. Kehadiran China sebagai kuasa ekonomi kedua terbesar di dunia menyaksikan lebih 3000 bangunan pencakar langit dibina dalam tempoh tiga dekad yang lepas. Negara-negara lain timur tengah juga telah mula menunjukkan taring dengan pembinaan bangunan pencakar langit ikonik seperti Burj Khalifa.

Acara yang pertama kali bakal diadakan tersebut dinamakan Tower Fashion Eleganza Kuala Lumpur 2023 (TFEKL23), dan akan menyaksikan kehebatan karya fesyen dari 15 pereka-pereka fesyen terbaik Malaysia, di antaranya adalah Radzuwan Radziwil, Carven Ong, Bon Zainal, Fizi Woo, Rasta Rashid, Kalima dan Leslie Variyan. Menggalas tugas memperagakan busana-busana eksklusif tersebut adalah lebih daripada 75 model yang paling hangat di ibu kota. Para pereka fesyen dipilih berdasarkan nilai estetika yang tinggi, hasil kerja dengan kualiti yang diiktiraf, kreativiti serta ilmu teknikal yang mendalam, reputasi hebat di dalam industri fesyen negara serta keunikan tersendiri. Mereka akan mempersembahkan koleksi yang khusus direka dan dihasilkan buat TFEKL23 dengan gabungan elemen moden, tradisi, penuh bergaya, inovatif dan tentu sekali tahap elegan serta keanggunan yang paling tinggi. 

Turut melakar sejarah sebagai pertunjukan fesyen pertama yang akan disiarkan secara langsung di kaca TV oleh saluran dan platform media RTM, TFEKL23 diilhamkan dan dianjurkan oleh Bon Fashion Legacy dan Nuunaa Management. Acara tersebut juga telah mengumpulkan rakan-rakan kerja dinamik yang merupakan kapten industri masing-masing seperti Menara Kuala Lumpur, Tourism Malaysia, DBKL, KL Hop on Hop Off dan Gentlemen’s Code.  

Bercakap pada Sidang Akhbar di Menara KL, pengamal media yang hadir turut dibawa dalam satu sesi lawatan ke Sky Deck, Bon Zainal Harun, Pengasas dan Pengarah Bon Fashion Legacy dan TFEKL23 berkata, “Saya begitu berbangga dengan idea yang bakal direalisasikan ini terutama sekali kerjasama hebat yang ditunjukkan oleh para kolaborator yang amat saya hormati seperti Menara Kuala Lumpur, RTM, Tourism Malaysia, DBKL dan KL Hop On Hop Off. Sewaktu saya mula-mula menyuarakan hasrat untuk menganjurkan sebuah pertunjukan fesyen di Sky Deck, Menara KL, ramai yang menyatakan bahawa idea itu mungkin tidak masuk akal namun faktor itu jugalah yang mendorong saya untuk berusaha menjadikannya satu kenyataan. Bersama-sama dengan pasukan TFEKL23 yang terdiri dari pakar di bidang masing-masing, saya percaya TFEKL23 akan menjadi titik permulaan kepada suatu yang sangat besar di masa akan datang.”

Dibina di puncak Bukit Nanas pada ketinggian 421 meter, Menara KL direka dengan menggabungkan senibina moden bersama alam semulajadi. Bukit nanas adalah rizab hutan simpanan yang tertua di Malaysia di mana ia digazetkan pada tahun 1906 dan dikenali sebelum ini sebagai ‘Bucket Weld Forest Reserve’. Meliputi keluasan 9.37 hektar, Hutan Simpan Bukit Nanas adalah satu-satunya hutan dara tropika yang masih tinggal di Kuala Lumpur dan Menara KL pula adalah satu-satunya menara di dunia yang dibina dikelilingi hutan semulajadi menambahkan aura serta tarikan menara tersebut. 

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Book of Records (MBOR), Jwan Heah, turut hadir ke majlis Sidang Akhbar TFEKL23 sebagai tanda sokongan terhadap TFEKL23 yang mencipta rekod sebagai pertunjukan fesyen tertinggi pernah dianjurkan di Malaysia. Bon Zainal seterusnya menyatakan bahawa DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin telah bersetuju untuk menghadiri acara utama TFEKL23 yang juga dianjurkan untuk meraikan sambutan Hari Malaysia sepanjang bulan September. 

Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh, Pengarah Urusan Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. berkata, “Bagi pihak Menara KL, saya harap agar acara ini akan menjadi acara tahunan berdasarkan impak positif yang bakal diterima bukan sahaja bagi industri pelancongan malah industri fesyen negara. Kedua-dua industri ini adalah di antara industri yang amat terjejas ketika dunia dilanda pandemik dan dengan adanya acara seperti ini, ia pasti menyumbang kepada inisiatif pembaikpulihan ekonomi negara. Kami amat berbangga kerana dapat bekerjasama dengan semua yang terlibat untuk menjayakan TFEKL23.”

Baca kisah-kisah lain seperti ini di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites