Tak kenal seni Manora, maka tak cinta

Sejenak mengenai persembahan seni dari Kelantan ini bersempena episod kesembilan Panggung Rakyat, Manora.

Oleh NABILA AZLAN

“Kalau bukan kita yang menghargai seni warisan kita, siapakah lagi yang akan mengangkatnya?” kata Pauline Fan, pengarah kreatif PUSAKA sejurus bicara santai kami pada minggu ini.

Bagi menyingkap Panggung Rakyat minggu ini, BASKL bersama seorang penggiat seni Manora, Amnuai Eler, 41. Dia merupakan anggota kumpulan Manora Cit Manit Bukit Yong di Pasir Puteh, Kelantan membintangi episod Panggung Rakyat yang kesembilan berkat usahasama CENDANA, DBKL dan PUSAKA di bawah program Art In The City. Mari kami kongsikan keunikan seni yang berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang ini!

Manora (juga dieja sebagai Menora) mungkin tidak asing dalam kalangan komuniti peminat seni di bahagian utara dan Pantai Timur Malaysia. Namun hari demi hari, bayangan seni warisan ini nampak kian pudar dek kerana kurangnya minat dalam generasi sekarang.

Apakah itu Manora? Buat mereka yang kurang fasih akan kesenian ini, Amnuai ada rumusannya. “Ianya sebuah seni persembahan di Kelantan yang merangkumi seni tarian dan lakonan pentas,” katanya. “Seni yang seakan makyong dan wayang kulit ini bukanlah sesuatu yang dipentaskan untuk upacara agama tertentu.”

Sedikit sedutan Manora buat anda semua:

Amnuai yang telah mendalami kesenian Manora sejak umurnya 19 tahun sudah lali akan persepsi segelintir individu yang sering mengaitkan seni tari itu dengan ritual keagamaan. Salah faham ini, ditambah pula dengan kurangnya pendedahan terhadap kewujudan Manora menjadikan ia lebih jauh dari hati masyarakat terutamanya generasi baharu di bandar.

Manora yang sinonim dengan negara Thailand telahpun wujud di Malaysia sebelum adanya sempadan kedua-dua buah negara. Namanya diolah daripada ceritera Jataka di mana puteri berupa burung kayangan yang bernama Manora jatuh cinta terhadap seorang putera raja yang bernama Phra Suthon. Tari gemalai yang kita saksikan pada hari ini membayangi tarian putera tersebut demi memikat hati puteri Manora dan kaum kerabatnya. Berpaksi di Songkhla, asal usulnya mungkin terikat dengan agama Buddha, namun hal ini berbeza mengikut penutur seni. Jelas Amnuai, Manora Khek atau Melayu Kelantan pada hari ini tiada unsur sebegitu dan hanyalah sekadar gugusan seni pentas.

“Kenapa Manora selalu dipentaskan di rumah-rumah ibadat? Ia bukanlah suatu kewajipan. Hakikatnya pada tahun 70-an dan 80-an, pihak rumah ibadat sering memanggil kumpulan Manora untuk menyerikan perayaan besar. Hal ini kerana, merekalah antara golongan yang mampu mengupah panggung Manora yang rata-ratanya bukan murah. Zaman dah berubah – kini sudah ramai orang yang berkemampuan. Manora pun mula dimainkan di tempat-tempat lain seperti di rumah individu yang menempah.”

Jelas Amnuai, jiwanya dekat dengan kesenian ini kerana bapanya, Eler Anak Cha Perat merupakan penari dan pemuzik seni Manora. “Sejak umur lima tahun lagi, saya bersama sepupu dan kawan-kawan sekampung selalu mengikuti ayah saya untuk menghadiri persembahan. Sedikit demi sedikit, cinta saya terhadap Manora mula membenih,” katanya.

Untuk pengetahuan anda, corak persembahan Manora Khek di Kelantan ini tidak sama langsung dengan Manora Siam atau Nora Chatri di Thailand. “Manora Khek terdiri daripada pelbagai segmen; ada tarian, nyanyian, campuran kedua-duanya, gurau senda bersama anggota tari serta lakonan. Di Thailand, fokus Manora adalah disiplin gerak tari mereka tanpa ada unsur lakonan,” kata Amnuai. Malah, jika ditinjau dengan lebih dekat, Manora di Kelantan ada juga perbezaannya dengan versi negeri Kedah dan Perlis.

Amnuai selaku penari utama yang digelar Pak Sithong (atau Tok Sitong) telahpun menguasai selok-belok tarian, lakonan dan nyanyian Manora. Katanya, salah satu cerita kegemarannya bertajuk Anak Raja Cahaya Bulan ada memaparkan elemen lucu, sedih, gembira dan cetusan konflik dalam satu. Struktur Manora yang dia kenali berpaksikan jalan cerita yang telah tertulis dan dipilih oleh ketua panggung, namun setiap satunya tidak datang dengan skrip. “Dialog harus datang dengan spontan,” katanya. “Begitulah amalan penggiat seni Kelantan.”

“Saya meminati dan menghargai seni Manora sejak dahulu lagi tetapi tidaklah saya gembar-gemburkan. Tujuan asal saya adalah untuk menyambung legasi ayah, tetapi bila saya lihat semakin kurang orang yang mengambil minat, saya cuba tampil untuk popularkan kembali seni ini.”

Bukan mudah untuk seseorang menguasai tarian Manora! Teknik haruslah betul, hafalan harus kuat. Berikut merupakan bingkisan liuk lentok penari utama Manora diiringi penari sampingan. Gambar: YouTube Nuai Bute

Pauline Fan selaku pengarah kreatif PUSAKA akui dan faham akan kepincangan minat warga Malaysia terhadap seni Manora. Katanya, badan tersebut sedang berusaha untuk mendedahkan pelbagai macam seni warisan kepada audiens yang lebih luas melalui kerja-kerja penggambaran, dokumentasi dan penulisan rencana. “Dalam usaha kita bersama penggiat seni untuk menarik generasi muda, kita perbetulkan persepsi atau fahaman juga,” katanya.

Tambah Pauline, “Pendekatan ini boleh dibahagikan kepada dua peringkat. Terlebih dahulu, kita galakkan penggiat seni tempatan untuk menurunkan ilmu seni kepada golongan belia di kawasan mereka sendiri. Lazimnya, seperti Amnuai juga, seni diturunkan dalam lingkungan keluarganya. Kemudian, barulah kita dekati mereka yang berada di luar komuniti seni tersebut.”

Perjalanan melestarikan seni warisan masih jauh. Namun, jurang yang ada boleh didekatkan melalui program seperti Panggung Rakyat di mana setiap lapisan umur boleh menyaksikan persembahan tersebut secara atas talian, di mana sahaja mereka berada. “Saya harap para penonton mampu menghayati keindahan seni warisan Manora dan lebih ramai akan didedahkan kepada seni istimewa ini,” kata Pauline pada akhir bicara. Amnuai turut menyokong, sambil berkata, “Saya harap rata-rata orang menyukai persembahan ini. Sambutan yang baik akan melahirkan lebih banyak program sepertinya.”

Manora sering dipentaskan secara separa penuh atas kekangan masa dan saiz lokasi. Julung-julung kalinya, persembahan tradisional Manora akan dipertontonkan bersama para pemuzik berskala penuh! Sama-sama kita saksikan.

Episod terakhir Panggung Rakyat episod ke 8, Manora akan ditayangkan secara langsung di Facebook CENDANA Malaysia pada hari Jumaat, 24 Dis pada jam 8.30mlm. Ia akan disusuli dokumentari pendek Manora bersama Amnuai dan Khun Ah Tid yang juga dari kumpulan seni yang sama.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites