Siri Semarak Bangsawan mahu promosi teater bangsawan kepada orang awam

Siri Semarak Bangsawan merupakan salah satu inisiatif rancangan JKKN yang berpandukan lima teras utama iaitu Asuhan Seni dan Budaya, Pemuliharaan Seni dan Budaya, Jangkauan Seni Budaya, Pengukuhan Seni dan Budaya Serta Jaringan Kerjasama Kebudayaan. BASKL menyokong inisiatif siri seni teater ini diteruskan bagi melestarikan budaya teater dalam masyarakat.

Oleh DANIAL FUAD, SHAFIQUE DANIAL JOHARI dan AZUWAN AHMAD

Teater Bangsawan merupakan satu bentuk persembahan tradisional yang berkembang daripada teater Parsi. Dibawa masuk dari bandar Bombay (Mumbai), ia merupakan salah satu hiburan yang ditunjukkan kepada pekerja-pekerja Sepoi atau Supai dalam Syarikat Hindia Timur Inggeris pada sekitar tahun 1870-an. Mula bertapak di Pulau Pinang, ia berkembang daripada teater yang menggunakan Bahasa Hindi sebelum menjadi tiruan teater Parsi yang menggunakan Bahasa Melayu bagi tontonan masyarakat tempatan.

Zaman sebelum Perang Dunia Kedua sekitar tahun 1920-an merupakan zaman kegemilangan teater Bangsawan di mana berpuluh-puluh kumpulan telah ditubuhkan dan ratusan cerita Bangsawan telah dipersembahkan di bandar-bandar utama di sekitar Tanah Melayu. Namun begitu, akibat Perang Dunia Kedua, aktiviti ini kian dilupakan dan telah merosot popularitinya.  Walaupun terdapat usaha-usaha memulihkan teater ini sekitar tahun 1970-an dan 1980-an, reputasinya tidak dapat kembali seperti zaman kegemilangannya.

Teater Bangsawan di Parsi bermula untuk mengangkat cerita wira-wira perang dan memalukan karektor musuh.

Mengikut asal-usulnya, teater Bangsawan ini merupakan sebuah bentuk seni persembahan yang muncul agak lewat di Tanah Melayu berbanding persembahan-persembahan yang lain seperti Manora, Mak Yong dan Jikey. Bentuk dan cara persembahan teater Bangsawan ini amat berbeza jika dibandingkan dengan persembahan yang telah sedia wujud dan ini disebabkan oleh pengaruh Barat yang wujud dalam penyampaian persembahan teater Bangsawan itu sendiri. 

Nama Bangsawan itu pula timbul apabila kumpulan yang merancakkan persembahan ini menggelarkan diri mereka sebagai kumpulan Indera Bangsawan. Oleh sebab nama yang dibawa mencerminkan bangsa dan adat orang Melayu serta lebih sinonim dengan cara orang tempatan ketika itu, maka teater yang berasal dari Barat ini diberikan nama baharu. Sehinggalah ke hari ini, bentuk teater Bangsawan ini merupakan sebuah bentuk persembahan yang cukup masyhur dalam kalangan penggiat dan peminat teater di Malaysia. 

Merujuk bentuk teater ini yang ada pada hari ini pula, Siri Semarak Bangsawan merupakan satu ikhtiar Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) untuk menghidupkan kembali teater Bangsawan ini supaya tidak ditelan zaman. Sebenarnya, inisiyatif ini telah wujud samenjak tahun 2007 lagi. JKKN berhak mengambil pujian kerana siri ini telah berjaya menarik puluhan ribu penonton sekaligus mementaskan ratusan cerita yang diambil dari dalam dan luar negara yang terdiri daripada cerita hikayat asli mahupun filem yang ternama. Setiap tahun di mana inisiatif ini dibuka kepada penggiat seni teater, JKKN akan menerima permohonan daripada kumpulan-kumpulan teater dan sebahagian daripada mereka akan dipilih melalui jawatankuasa pemilihan untuk mementaskan cerita yang mereka cadangkan di dalam permohonan.

Ramai pelakon ternama tanah air turut menjayakan siri Bangsawan ini dan ini turut menjadi daya penarik bagi pengunjung untuk menonton. Melalui artikel ini, BASKL ingin kongsikan beberapa sinopsis atau jalan cerita yang pernah dipentaskan dalam Siri Semarak Bangsawan. Skrip-skrip cerita ini diterbitkan dalam bentuk buku sebagai salah satu cara JKKN mempromosikan lagi budaya seni teater tempatan di samping mendokumentasikan pementasan-pementasan ini.

Chelorong Cheloreng

Chelorong Cheloreng ialah antara pementasan yang dipilih pada tahun 2012.

Salah sebuah persembahan yang dipentaskan merupakan adaptasi cerita P. Ramlee iaitu Chelorong Cheloreng. Ditulis dan diarahkan oleh Zaifri Husin, persembahan ini telah dijalankan oleh Kumpulan Bangsawan JKKN.

Chelorong Cheloreng merupakan kisah komedi di mana seorang putera raja enggan dikahwinkan dengan puteri negara seberang sehingga sanggup melarikan diri ke dalam hutan. Chelorong dan Cheloreng merupakan pembantu putera tersebut yang telah mengikutinya dalam melarikan diri, sehingga satu adegan di mana dia terjumpa dengan seorang gadis cantik dan telah mengahwini gadis tersebut.

Pelbagai sketsa berlaku termasuk sewaktu isteri putera itu diculik, Chelorong menjadi ketua orang-orang hutan dan Cheloreng pula berkahwin dengan seorang ratu sehinggalah berlakunya peperangan antara dua negara yang telah terhenti dengan tangan Chelorong dan Cheloreng. Terdapat juga sedikit kemodenan dalam cerita ini di mana seekor pontianak telah mengujarkan frasa ‘gituu’, sebuah frasa moden yang luar dari skop cerita asal.

Namun begitu, pantun-pantun dan lagu yang didendangkan dalam persembahan ini masih lagi menerapkan ciri tradisionalnya di mana persembahan dibuka dengan gurindam dan berakhir dengan sebuah lagu. Para penonton akan sentiasa terhibur dengan setiap babak yang sarat dengan lakonan komedi dan juga nyanyian yang cukup bersemangat dari Kumpulan Bangsawan JKKN.

SINBAD: Dendam Ratu Kala

Satu cebisan babak yang terdapat dalam buku skrip pementasan Sinbad.

Salah satu persembahan yang dibawakan melalui Siri Semarak Bangsawan adalah Teater Bangsawan SINBAD: Dendam Ratu Kala arahan Rosnan Nordin. Teater ini telah dipertontonkan kepada masyarakat awam sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 dan dipentaskan oleh Bangsawan Grand Opera. Teater ini dipersembahkan bagi tujuan memartabatkan seni persembahan Bangsawan di samping menarik minat ramai dan memperkenalkan masyarakat terhadap corak teater Bangsawan yang ada pada hari ini.

Teater Bangsawan ini merupakan kesinambungan daripada pementasan SINBAD: Batu Permata Dewa yang dipersembahkan pada tahun 2009. Dalam pementasan ini, Ratu Kala ingin membalas dendam di atas kematian anaknya Ratu Sheeba menurut pementasan yang sebelumnya. Lalu, Ratu Kala telah menculik Permaisuri Jasmin sebagai tebusan. 

Sinbad telah meminta pertolongan tiga setan yang mengetahui di mana letaknya kerajaan Ratu Kala. Dalam masa yang sama, untuk memujuk tiga setan ini Sinbad telah menggunakan dayang-dayang agar tiga setan ini dapat membantunya. Kemudian, Permaisuri Jasmin telah ditukar sifatnya menjadi Ratu Sheeba oleh Ratu Kala dan pelayaran Sinbad terhalang dengan kuasa sihir. Ini diikuti oleh babak Permaisuri Jasmin (yang telah bertukar menjadi Ratu Sheeba) diarahkan untuk membunuh Sinbad dengan menggunakan batu permata dewa Jasmin.

Di pengakhiran teater ini, Sinbad dengan bantuan tiga setan itu telah berjaya membunuh Ratu Kala dengan tongkat sihir Kala. Seorang watak yang bernama Jaafar pula memasang angan-angan untuk memerintah Kerajaan Sinbad tetapi malangnya, Sinbad sampai pada waktunya dan terbocorlah rahsia bahawa Jaafar sebenarnya telah bersekongkol dengan Ratu Kala. 

Jelitawan dan Lelaki Haiwan

Tarian yang memutik cinta antara jelitawan dan lelaki Haiwan.

Tidak syak lagi kisah hikayat Jelitawan dan Lelaki Haiwan ini merupakan adaptasi sebuah hikayat lama Perancis, La Belle Et La Bete yang ditulis oleh Jeanne-Marie Leprince De Beaumont. Pementasan yang dipersembahkan pada tahun 2016 ini adalah arahan Rosnan Nordin, orang yang juga bertanggungjawab dalam mengolah skrip untuk disesuaikan dalam bentuk teater bangsawan Melayu. Teater ini telah menemui orang awam di Auditorium DBKL, Kuala Lumpur dan telah berjaya menjamu hikayat lama tersebut dalam lapan babak.

Bagi pementasan ini, watak utama telah didukung oleh Mohd Rizal Mohd Hamdan dan Fatin Syahirah Kamru manakala Tan Sri Norliza Rofli pula bertanggungjawab sebagai pengarah kreatif.

Hikayat ini telah diterjemahkan kepada banyak bahasa; ia turut dijadikan filem di Hollywood dalam bentuk animasi dan lakonan hidup. Ia menceritakan tentang seorang putera raja yang telah disumpah menjadi lelaki haiwan yang hodoh oleh seorang ahli sihir setelah enggan untuk memberikan tempat perteduhan di istananya sebagai pertukaran dengan sekuntum bunga mawar merah. Orang-orang suruhan putera itu juga telah ditukar menjadi alat-alat perabot dan bermacam-macam lagi kelengkapan rumah. Ahli sihir tersebut telah memberikan sekuntum bunga mawar yang akan mekar sehingga putera itu berumur 21 tahun. Jika putera itu gagal mencintai dan dicintai oleh orang lain sebelum bunga itu layu, maka dia akan menjadi Kemal dalam sumpahannya selama-lamanya.

Orang suruhan Istana yang disumpah menjadi kelengkapan rumah.

Nasib putera itu ternyata bakal berubah apabila dia didatangi seorang gadis bernama Belle sebagai syarat pertukaran dengan bapa Belle, Maurice yang sesat sehingga bertemu dengan istana tersebut. Dalam waktu Belle sedang menyesuaikan dirinya di istana, Gaston, seorang samseng kampung yang memaksa Belle mengahwininya telah cuba until merampas Belle kembali dari tangan putera yang disumpah, namun dapat dikalahkan. Di penghujung cerita, ketika putera cuba menghampiri Belle di beranda, dia telah ditikam oleh Gaston dari belakang. Saat cemas yang mengujakan tiba apabila putera yang hampir mati ditambah dengan bunga yang hampir layu, Belle sampat mencium putera tersebut. Maka, terlerailah sumpahan dan berbahagialah hidup mereka berdua selama-lamanya.

Jika anda berminat untuk mengetahui tentang aktiviti atau program-program kesenian yang dianjurkan oleh JKKN, anda boleh melayari laman web Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, hubungi jabatan tersebut di talian 03-26148200 atau ikuti mereka di laman Instagram JKKN.

Ikuti artikel-artikel lain yang menarik di BASKL:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites