Semua dijemput ke pertunjukan fesyen Neonate dan SVG Worldwide di Litar Antarabangsa Sepang, Ahad ini!

Acara 'Street Glare' 2023 telah diadakan sebagai salah satu acara sampingan bagi kolaborasi pertama dan pertunjukan sulung Neonate X SVG Worldwide yang bakal berlangsung pada 20 Ogos 2023 di Litar Antarabangsa Sepang. Ia merupakan acara ‘off-schedule’ sempena KLFW2023.

Peminat-peminat jenama Neonate dan SVG Worldwide serta penggiat-penggiat industri telah mula menumpukan perhatian kepada dua jenama streetwear terkemuka Malaysia ini sejak pengumuman tentang kolaborasi istimewa mereka yang bakal menggemparkan industri fesyen tempatan.

Debaran semakin terasa apabila kedua-dua jenama mengumumkan bahawa hasil kolaborasi mereka bakal ditampilkan sebagai meraikan acara fesyen terkemuka di Malaysia, Kuala Lumpur Fashion Week 2023 (KLFW23) yang akan berlangsung  bulan ini. Dikenali sebagai Race Day, pertunjukan Neonate X SVG ini akan diadakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 20 Ogos 2023, sehari sebelum jadual rasmi KLFW23 mula mengambil tempat pada 21 Ogos 2023.

Neonate dan SVG telah memulakan kempen mereka pada bulan Jun 2023. “Panggilan terbuka bertujuan mencari model baru telah menarik bilangan peserta yang mengagumkan. Lebih daripada 700 muka-muka baru dari seluruh negara hadir ke sesi dua-hari panggilan terbuka kami. Daripada bilangan ini, kami telah menyenarai pendek 77 bakat baru yang kami anggap pilihan terbaik untuk mewakili kedua-dua jenama dan koleksi kami yang akan datang,” ulas Karl Shafek, Pengasas dan Pengarah Kreatif Neonate Clothing Company. Menyuarakan sentimen yang sama, Ashraf Anuar, Pengasas SVG Worldwide, antara jenama streetwear Malaysia yang paling popular masa kini turut menambah, “Pada bulan Julai, model-model terpilih telah menghadiri Kem Latihan Model kelolaan Tinie, model terkemuka Malaysia yang mempunyai pengalaman luas bekerja dengan pereka tempatan dan antarabangsa. Ia merupakan kursus yang benar-benar intensif dengan jadual yang padat dengan masa yang amat terhad, justeru memerlukan komitmen penuh daripada model-model yang terlibat.”

Acara Street Glare yang diadakan awal bulan ini

Pada hari Ahad (7 Ogos 2023) di Tasik Titiwangsa di Kuala Lumpur, sebuah acara bernama Street Glare yang merupakan perhimpunan fotografer jalanan telah dianjurkan buat kali kedua oleh Neonate. Tahun ini, Neonate dan SVG telah bergabung tenaga untuk membawa kembali program ini di bawah tunjuk ajar Hishamudin Hashim atau Abeden, seorang jurugambar yang disegani. Tampil bersama pasukannya (TKDNXV), ternyata Abeden telah berjaya membawa program ini ke tahap yang lebih tinggi. Acara ini menyaksikan kehadiran lebih daripada 100 jurugambar, juruvideo dan pereka kandungan yang berpeluang mempelajari asas fotografi jalanan daripada Abeden serta menggunakan 77 orang model pilihan Neonate dan SVG sebagai subjek mereka.

Bagi Ashraf Anuar, perasaan terujanya diseimbangi dengan rasa bersyukur kerana dapat melalui pelbagai pengalaman baru yang amat berfaedah tentang industri fesyen. “Ini merupakan penglibatan pertama SVG dengan KLFW yang secara literalnya merupakan acara fesyen terbesar di negara ini dan dikenali sebagai salah satu yang terbaik di rantau Asia. Walaupun penglibatan kami di luar jadual rasmi mereka, namun segala usaha serta kerja keras kami untuk menjayakan kolaborasi ini secara tidak langsung dapat menarik perhatian peminat-peminat KLFW kepada SVG. Ini amat bermakna kerana kami masih baru di dalam industri ini. Kami berbangga dan kami tidak sabar untuk mempamerkan koleksi yang telah kami ilhamkan dan hasilkan khas menerusi kolaborasi Neonate X SVG ini.”

Koleksi Race Day oleh Neonate X SVG akan dipersembahkan khas buat kali pertama pada 20 Ogos 2023 (Ahad ini) di Litar Antarabangsa Sepang. Ikuti perkembangan serta pengumuman terkini mereka di media sosial melalui @neonate.company dan @svgwrldwide. Acara ini adalah terbuka kepada pihak umum dan semua dijemput hadir.

Baca kisah-kisah lain seperti ini di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites