Sembilan menara jam menghiasi Medan Selera Dato’ Tahwil Azhar

Karya instalasi lampu Liu Cheng Hua akan dipamerkan sehingga Mac 2022.

Oleh DANIAL FUAD

Perak cukup terkenal dengan menara jam yang boleh dilihat di beberapa daerah negeri tersebut di mana ia dibina dengan pelbagai tujuan terutamanya bagi memperingati sesuatu peristiwa. Terdapat lebih kurang 20 menara jam di sekitar Perak dan seniman Liu Cheng Hua (36) telah membawa sembilan daripadanya ke Medan Selera Dato’ Tahwil Azhar, Ipoh bagi karya terbarunya Pride #3.

Pride #3 terhasil daripada kerjasama Liu dengan Think City dan Cultural Economy Development Agency (CENDANA) di bawah program Light Project. Tujuan utama Light Project ini adalah bagi menghidupkan bandar dengan seni awam dan persembahan.

Terdapat enam negeri yang terlibat dengan Light Project ini iaitu Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka, Johor, Kuching dan juga Ipoh. Liu telah dipilih sebagai wakil seniman untuk Perak setelah beliau menghantar kertas cadangannya kepada pihak Think City.

“Saya difahamkan bahawa penganjur mencari seniman mewakili negeri kelahiran mereka dan saya berasa sangat bertuah kerana dapat mewakili Perak,” ujar Liu, anak kelahiran Taiping, Perak itu.

Liu menggunakan lampu sebagai bahantara semenjak dari tahun 2007 lagi dimana dia menyertai pelbagai pertandingan seni dan pameran terbuka pada ketika itu.

“Pada pertandingan di Pulau Pinang, 2007 di mana saya menjadi finalis, saya telah dinasihatkan untuk membuat karya yang lebih unik,” kata Liu tentang bagaimana detik permulaan dia berkarya menggunakan lampu.

Keputusan memilih lampu sebagai bahantara merupakan tindakan bijak oleh Liu kerana dia sering mendapat tempat pertama dalam beberapa pertandingan lukisan. Ini kerana kelainan yang terdapat pada karyanya berbanding dengan peserta lain yang menggunakan bahantara konvensional seperti cat akrilik atau cat minyak.

Semenjak dari itu, Liu terus berkarya menggunakan lampu sebagai bahantara utama beliau. Karyanya telah dipamerkan di pelbagai galeri di Malaysia, malah dia juga pernah dijemput menjadi seniman pertama daripada Malaysia yang mempamerkan karya di Biennale Jawa Timur IV pada tahun 2011. Selain daripada itu, Liu juga pernah mempamerkan karya beliau di United Kingdom, Austria, Perancis, Itali, Monaco dan Jepun.

Liu yang kini merupakan tenaga pengajar di Malaysian Art Institute (MIA) di Kuala Lumpur telah memilih menara jam sebagai subjek utama karyanya untuk Light Project ini. Beliau berminat dengan pengkajian sejarah yang dapat dilihat dalam karya-karyanya yang lepas. Sebagai contoh, pameran tunggal keduanya, RAW di Museum of Asian Arts, Universiti Malaya menceritakan tentang sejarah tempat lahirnya, Taiping, Perak.

Menara jam dibina dengan pelbagai tujuan dan Liu telah memilih sebanyak sembilan binaan tersebut yang dibina bagi memperingati kemerdekaan negara ini.

“Kebanyakan menara jam tersebut dibina dengan duit yang dikumpul oleh orang kampung sendiri dan ini menunjukkan semangat nasionalisme yang kuat,” terang Liu mengenai antara sebab mengapa menara jam dipilih sebagai subjek. Menara jam yang dipilih adalah yang berada di Kampar, Kuala Kangsar, Parit Buntar, Sungai Siput, Teluk Intan dan empat daripadanya dari Ipoh dan Taiping.

Karya Pride #3 oleh Liu ini mengandungi sembilan karya instalasi di mana gambar menara jam telah dicetak dan diletakkan di belakang blok kaca. Di belakang gambar tersebut pula terdapat lampu yang dikuasai oleh tenaga solar di mana di waktu malam, ia akan bercahaya. “Blok kaca yang digunakan mengingatkan saya tentang rumah nenek saya yang dihiasi blok kaca itu bagi membenarkan cahaya masuk,” komen Liu tentang pemilihan blok kaca sebagai luaran karyanya.

Project Light ini bermula ketika dunia sedang dilanda gelombang COVID-19 yang kuat sehingga ekonomi tepaksa ditutup akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Penutupan pelbagai sektor dalam negara telah menjejaskan ramai orang, bukan sahaja anak seni, tetapi semua.

“Masalah yang paling utama adalah terputus bekalan kerana ekonomi ditutup selama lima bulan jadi saya terpaksa mengambil bahan dari pelbagai tempat, namun begitu kami dapat berkongsi rezeki yang kami dapat dengan lebih ramai orang,” tambahnya.

Pemilihan lokasi di Medan Selera Dato’ Tahwil Azhar juga amatlah menarik kerana tempat ini adalah lokasi yang ikonik bagi penduduk Ipoh. Beroperasi semenjak tahun 1970-an lagi, tentulah terdapat pelbagai kenangan yang terdapat di tempat ini, namun ia sedikit terpinggir kerana terasing dengan arus kemodenan zaman. Pelbagai usaha telah dilakukan untuk menaikkan semula tempat ini. Dengan penghasilan karya Liu ini juga, dia berharap sedikit sebanyak dapat membantu membangunkan semula lokasi ini sebagai daya tarikan masyarakat setempat.

Selain daripada pameran karya Pride #3 ini, terdapat pelbagai lagi aktiviti yang dirangka oleh Liu dan kumpulannya sepanjang Projek Light ini berlangsung. Aktiviti seperti Bengkel Cat Air, Bengkel Muzik dan Bengkel Tarian Bollywood juga diadakan di Medan Selera Dato’ Tahwil Azhar ini bagi tujuan menghidupkan lagi kawasan tersebut. Karya Liu dijangka akan dipamerkan sehingga Mac 2022. Anda boleh ikuti laman Facebook mereka di sini untuk sebarang kemaskini aktiviti mereka.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites