Penyertaan Badan Kebudayaan dan Kesenian SETIA BUDI dalam Projek Light kelolaan Alir Cahaya di Johor hadirkan rasa unggul kepada projek yang dinamik. Bersama pengasasnya, Miskon Karim, kita selami perjuangan dan harapannya sebagai tokoh seni tempatan.
Oleh NABILA AZLAN
BASKL berkesempatan untuk bertemu dengan Miskon Karim, 78, yang mesra digelar Wak Miskon melalui aplikasi Zoom tempoh hari, memandangkan agak sukar untuk kami menyusun temu bual ini secara fizikal. Sepanjang lebih kurang satu jam perbualan kami, dia duduk berlatarbelakangkan ruang tontonan wayang kulit yang dibangunkan di perkarangan kediamannya sendiri. Di situ jugalah terbinanya Pentas Budaya Setia Budi dan galeri seni peribadi, tempat dia turut menyemarakkan kesenian tradisional yang lain seperti kuda kepang dan alunan muzik gamelan.
Banyak juga yang dapat kami kupaskan melalui masa yang singkat. Padat huraiannya tentang tempat kelahirannya, sebab utama untuk dia bergiat dalam seni dan juga bagaimana Badan Kebudayaan dan Kesenian SETIA BUDI (Kumpulan Setia Budi) menjadi sebahagian daripada tarikan sepanjang Projek Light (The Light Project) oleh Alir Cahaya di Batu Pahat baru-baru ini.
“Saya lahir di kampung ini pada tahun 1944,” cerita Wak Miskon tentang markasnya di Kampung Parit Nipah, Batu Pahat, Johor. “Di Batu Pahat ini ramai yang berketurunan Jawa. Usai penghijrahan orang-orang Jawa sekitar tahun 1900 ke sini, terbentuklah satu masyarakat baru. Lahirlah pula kumpulan-kumpulan wayang kulit, tarian barongan, kuda kepang – juga nasi ambeng dan kenduri-kendara.”
Sedang umurnya belasan tahun, dia mula mahu mengenali muzik gamelan dan wayang kulit di kampungnya itu secara lebih dekat. Jelas Wak Miskon, asal penglibatannya di dalam arena seni tradisional bukanlah melalui kelas formal atau pukal.
“Ada saja kenduri kahwin, majlis berkhatan, sambutan kelahiran bayi kebanyakannya tidak tinggalkan wayang kulit. Sejak kecil lagi, saya memang suka menonton,” katanya.
“Para penggiat seni yang juga idola saya di tempat ini adalah orang-orang lama yang sudahpun meninggal dunia. Datuk saya juga orang seni – bahasa mudahnya, inilah saka (pusaka) datuk saya!”
Bacaan berkaitan: Channelling light into Batu Pahat with ‘Alir Cahaya’
“Penglibatan kumpulan saya dalam Projek Light ini adalah melalui jemputan pihak Alir Cahaya sendiri,” katanya. Sejak program itu bergerak aktif pada bulan September 2021, berganti-ganti bentuk pengisian yang dimuatkan. Pada bulan Mac 2022, giliran kumpulannya pula untuk tampil. Melalui kerjasama ini, Kumpulan Setia Budi menjalankan sembang seni santai, sebuah bengkel pembuatan alat muzik gamelan dan turut membawa persembahan penutup program.
Lebih kurang 120 orang penonton memenuhi ruang Pentas Budaya Setia Budi untuk menyaksikan persembahan penutup tersebut. “Dalam 40 minit yang singkat itu saya dapat memperkenalkan apa itu Wayang Kulit Purwo, sedikit sebanyak falsafahnya, alat-alat gamelan yang digunakan serta gendingnya (dendangan lagu gamelan). Saya sebagai dalang tunggal diiringi oleh 10 orang pemain muzik gamelan,” kata Wak Miskon.
Buat anda yang tidak berkesempatan untuk menyaksikan persembahan wayang kulit oleh Kumpulan Setia Budi, jemputlah untuk menonton ulang tayangnya di Facebook.
“Dahulu, yang membawa persembahan Purwo ini hanya orang Jawa. Sekarang ini, kalau lagu-lagu yang sama dipersembahkan di Malaysia hanya di dalam Bahasa Jawa, mungkin bukan semua orang akan minat mendengar! Yang memahami dialog Jawa tidak seramai dahulu, jadi sesetengah lagu dinyanyikan dalam Bahasa Malaysia tanpa mengubah cara persembahan. Satu contoh lagu yang mudah didengar kini ialah Timang Burung.”
Menurut Wak Miskon lagi, tarikan jiwanya terhadap seni tradisional terutamanya wayang kulit dan muzik gamelan dapat disimpulkan menjadi empat buah teras yang amat dekat dengan dirinya – keturunan, keagamaan, kewarganegaraan dan kebudayaan. Dia tekad untuk menghalusi salasilah dan selok-belok agama dan seni melalui penguasaan ilmu dan pengalaman. “Saya pun masih belajar. Kalau bukan membaca dan mengikuti media massa, bagaimana lagi caranya untuk kita memperoleh ilmu?” tanyanya.
Dia yang sudah biasa menjadi tenaga pengajar alat muzik gamelan pernah menyalurkan ilmu menerusi program-program di universiti tempatan, misalnya Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Wak Miskon juga sering menjadi rujukan buat penyelidikan terperinci sosiologi dan budaya.
Katanya lagi, “Saya masih mencari para pelapis wayang kulit agar nanti seni ini lebih mudah difahami. Semoga semuanya dapat disemarakkan, dilestarikan untuk masa hadapan. Perlunya bantuan para pengkaji dan penulis untuk kelangsungan warisan.”
Harapan Wak Miskon selaras penumbuhan Kumpulan Setia Budi. “Kalau boleh, ilmu para penggiat seni dimanfaatkan sehabisnya, supaya peninggalan ini nanti tidak akan terasa kekurangannya.”