Selami personaliti seniman menerusi lebih 30 arca Fergana

EX01 Art Exhibition merupakan pameran arca kecil berbentuk ‘pop-up’ hasil kerjasama KolmeGlu dan Renzo Concept yang memaparkan pemberat kertas Fergana sebagai kanvas!

Oleh NABILA AZLAN

Berlangsung hanya pada hujung minggu ini, EX01 Art Exhibition adalah pameran seni berasaskan arca pemberat kertas Fergana (paperweights) di Kuala Lumpur yang memaparkan karya dari artis seperti Dhan Illiani, Hui Qin Chua, Gabriel Cheah, Felix Oo dan lebih lagi. Ia diinspirasikan oleh kebolehan Kesatria (Knight) dalam permainan catur yang mampu ‘menggerakkan’ buah catur lain di jalannya.

Sebuah projek bersama KolmeGlu dan Renzo Concept, kedua-dua syarikat ini bersemangat dalam menghubungkan karya dengan pelbagai jenis peminat seni dan percaya akan kebolehan seni sebagai alat komunikasi.

Sedikit latar belakang

KolmeGlu: Kolektif seni yang diasaskan oleh Kolme Management yang juga sebuah agensi kreatif buat karya-karya berkenaan pengiklanan, muzik, bakat dan media sosial.

Renzo Concept: Syarikat reka bentuk (design) yang dipandu oleh Alvan Lock, seorang arkitek, ahli perniagaan dan pereka bentuk produk.

Bersama kami dalam mengenali pameran ini adalah Iz Sulaini selaku pengarah kreatif dan pemilik bersama Kolme Management.

Apakah tetapan mood yang cuba dikeluarkan menerusi EX01 Art Exhibition?

Sifat mentah (raw) dan rapat (intimate) terus tampil sewaktu merancang pameran ini. Saya dan rakan usaha sama, Alvan Lock dari Renzo Concept menamakannya EX01 sebagai penanda projek bersama yang pertama antara kami, dengan harapan banyak lagi projek seperti ini di masa hadapan. Pameran ‘pop-up’ ini bertempat di ruang kafe Monet di Taman Melawati yang mempunyai konsep basic industrial tanpa hiasan dinding, sesuai untuk mementaskan karya-karya di bawah pameran ini.

Pameran ini sebenarnya diadakan untuk siapa?

Semua orang. Sebolehnya kami berusaha untuk membuang sifat elitis dalam usaha mempamerkan seni buat semua. Kami lakukannya dengan bantuan arca Fergana dari Renzo Concept yang berfungsi sebagai kanvas buat para artis. Mereka bebas untuk mempamerkan kreativiti, visi dan amalan seni mengikut disiplin karya masing-masing.

Berapa lamakah masa yang diambil untuk mengatur pameran ini?

Lebih kurang empat bulan. Kami mencuba sendiri konsep ini sebelum menemui barisan artis yang terlibat. Kemudian, kami ikuti secara rapat perkembangan mereka.

Apakah antara cabaran yang timbul dalam perancangan pameran ini?

Pembuatan (casting) arca konkrit Fergana tidak mudah – setiap satunya memerlukan seminggu untuk dibentuk dan kami ada lebih dari 32 buah arca. Barisan artis yang bersama kami dalam EX01 Art Exhibition ini, diberi peluang untuk menunjukkan kebolehan mereka menerusi pembentukan arca konkrit Fergana mengikut kreativiti sendiri. Setiap satunya bebas untuk mereka cipta di atas ‘kanvas’ ini.

Pada pendapat anda, apakah persamaan yang ada antara barisan artis yang terlibat dalam pembikinan pameran ini?

Mereka mempunyai suara dan bakat yang menyerlah, malah mereka tabah dalam perjuangan seni masing-masing.

Bagaimanakah sifat seni yang ditonjolkan di dalam pameran ini?

Yang ini, biarlah rahsia! Anda haruslah datang sendiri untuk melihat karya-karya tersebut. Arca Fergana yang dipaparkan juga akan dijual (boleh diubahsuai mengikut citarasa dan ruang anda) oleh barisan artis kami buat mereka yang berminat.

EX01 Art Exhibition bertempat di Monet, Taman Melawati, Kuala Lumpur pada 17 dan 18 Sep 2022. Maklumat lanjut ada di laman Instagram KolmeGlu dan Renzo Concept.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites