RIUH Bah! bersama Hotlink memeriahkan suasana Kota Kinabalu

Acara gilang gemilang RIUH Bah! bersama Hotlink telah tiba di Sabah untuk meraikan dan merapatkan lagi jurang di antara industri kreatif tanah air dan masyarakat awam.

Oleh SHAFIQUE DANIAL JOHARI

Kembara RIUH Keluarga Malaysia kembali lagi untuk merancakkan industri kreatif tanah air dengan edisi keduanya, RIUH Bah! Kali ini jelajah RIUH telah tiba di Sabah Negeri Di Bawah Bayu. Acara gilang gemilang RIUH Bah! bersama Hotlink ini telah diadakan di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu pada 3 hingga 5 Jun yang lalu dan telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

Annuar (tiga dari kiri), Hajiji (empat dari kiri) bersama dif-dif jemputan

Edisi RIUH Bah! merupakan sebuah acara anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) di bawah MyCreative Ventures dan RIUH bersama dengan Maxis melalui jenama mereka Hotlink. Edisi kedua daripada 14 lokasi ini telah dihadiri lebih 20,000 pengunjung daripada luar dan dalam negara. Ini juga selaras dengan pembukaan semula Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dengan penerbangan terus daripada Korea Selatan, China, Filipina dan juga beberapa destinasi lain. 

Pada upacara perasmian RIUH Bah! yang telah diadakan disebalik keindahan pantai dan ditemani angin laut yang cukup nyaman, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa telah menzahirkan bahawa Sabah adalah negeri yang amat kaya dengan kreativiti. “Masih banyak berkaitan industri kreatif yang boleh diteroka dan diketengahkan khasnya di Sabah dan boleh membanggakan negara,” kongsi Annuar. 

Program RIUH Bah! cukup istimewa kerana kekayaan warisan dan budaya negeri Sabah ini menjangkaui lebih 30 kumpulan etnik yang pertuturan lebih 50 bahasa yang berbeza. Annuar juga telah berkata bahawa penganjuran program seperti RIUH ini amat penting terutamanya di negeri seperti Sabah agar kepelbagaian identiti, budaya, adat dan tradisi terus ditonjolkan seterusnya dapat membangunkan industri kreatif dan pelancongan di Negeri Di Bawah Bayu ini.  

RIUH Bah! yang telah berlangsung selama tiga hari ini juga telah dimeriahkan dengan kehadiran barisan artis-artis tempatan antaranya seperti Datuk DJ Dave, Dato’ Jamal Abdillah, Syamel, Wani Kayrie, Estranged, Alena Murang, Linda Nanuwil, Countrywolves, Mafidz, Johnathan Tse, Kicau Bilau, Phoebe Tan, Bamboo Woods Orchestra, Atmosfera dan Velvet Aduk. 

Antara artis yang hadir, Velvet juga telah sempat untuk menyampaikan rasa terujanya dengan kehadiran acara RIUH Bah! kali ini. Velvet telah memberi kata positif bahawa program seperti RIUH ini amat baik untuk penggiat-penggiat seni dan terutamanya apabila dianjurkan di Sabah, rakyat Sabah dapat menikmati kesannya secara terus. “Kita memerlukan platform sebegini untuk mempamerkan bakat-bakat yang ada dari segi seni, kraf dan sebagainya,” kongsi Velvet yang merupakan seorang anak tempatan yang dilahirkan di Penampang, Sabah. 

RIUH Bah! kali ini amat bermakna dan istimewa sekali. Acara ini dimeriahi dengan kehadiran lebih 500 penggiat seni yang cukup bersemangat dalam mempamerkan pelbagai jenis hasil seni yang ada di negara kita terutamanya hasil daripada negeri Sabah sendiri. Ini dapat mencerminkan kekayaan kreativiti dan kemahiran seni kita yang bertaraf antarabangsa serta mampu memecahkan potensi pasaran global.

Inilah tujuan sebenar RIUH, membawa bakat dan hasil seni tanah air yang telah cukup lama duduk di belakang tabir untuk dipertonton oleh segenap lapisan masyarakat, tidak kira daripada dalam atau luar negara. RIUH, sebuah jenama perdana di bawah My Creative Ventures Sdn Bhd, sebuah cabang pelaburan Kerajaan dibawah Kementerian Kewangan Malaysia akan terus menjadi platform buat anak-anak kreatif di Malaysia. 

Bagi anda yang meminati acara RIUH ini bolehlah melawat dan mengikuti mereka di laman sosial Facebook dan Instagram. Anda juga boleh membaca cerita-cerita berkenaan RIUH yang lepas di laman BASKL iaitu sewaktu RIUH Raya Souk yang diadakan di Sentul Depot dan RIUH Ek! yang diadakan di Ayer Hitam, Johor. 

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites