Pilihan BASKL: 24 Jan hingga 30 Jan

Oleh DANIAL FUAD

Kita kini telah melangkah ke minggu ketiga di bulan Januari dan medan seni semakin rancak dengan pelbagai aktiviti. Kami di BASKL ingin mengetengahkan beberapa aktiviti yang bakal berlangsung sepanjang 24 Jan hingga 30 Jan.

Reening Lau di Merdekarya (25 Jan)

Merdekarya merupakan sebuah bar serta ruang event yang kerap menampilkan pemuzik tempatan dengan Program Discover Grassroots Music mereka. Bagi menyokong anak seni tempatan, kali ini mereka mempersembahkan penyanyi ‘soul’ yang kian menempa nama di persadar tanah air, Reening Lau.

Persembahan ini bakal berlangsung pada hari Selasa, 25 Jan dan bermula pada jam 9mlm di Merdekarya, Petaling Jaya, Selangor. Harga tiket adalah RM30 jika ditempah melalui Peatix, manakala harga di pintu masuk pula adalah RM40.

Disko Senyap 2 (29 Jan)

Tiada siapa dapat mengelak daripada mengharungi hidup dalam norma baharu sewaktu pandemik ini. Dalam kita perlu melalui perubahan ini, satu trend yang kian berkembang adalah konsep ‘silent disco’. Jika sesebuah konsert akan sarat dengan pelbagai jenis pembesar suara, ‘silent disco’ pula akan menyediakan ‘headphone’ tanpa wayar bagi para hadirin menikmati muzik yang dipersembahkan.

Alam Bunyian dengan kerjasama Kuala Lumpur Performing Arts Center (KLPAC) mempersembahkan Disko Senyap 2. Siri kedua ini akan berlangsung pada 29 Jan di Pentas 2, KLPAC, Sentul, Selangor yang akan bermula pada jam 8:00mlm. Antara barisan pemuzik jemputan yang bakal membuat penampilan adalah LOKO, 0108 SLATAN, Laws, Son Of A Policeman, Naxx, Heyacap dan Fi7i.

Harga tiket adalah RM65 dan boleh didapati di Cloudtix.

Jolly@80 (Tamat pada 29 Jan)

Jolly Koh merupakan sebuah seniman tempatan yang telah berkecimpung dalam bidang ini semenjak dari tahun 1950-an lagi. Bagi menyambut hari kelahirannya yang ke-80, bermula dari 10 Jan yang lalu, Galeri G13 telah mempersembahkan Pameran Jolly@80. Lebih dari 40 karya dipamerkan merentasi hampir lima dekad dalam pameran ini yang menunjukkan betapa aktifnya Koh dalam bidang seni lukis hingga ke hari ini. Maklumat lanjut mengenai pameran boleh didapat di laman sesawang G13.

Galeri dibuka pada setiap Isnin – Sabtu, 11pg hingga 5ptg dan pameran ini akan berakhir pada Sabtu 29 Jan ini. Masuk adalah percuma dan anda juga boleh menghubungi Wendy atau Kenny untuk membuat temu janji.

Buy For Impact Market 29 – 30 Jan

Diterajui oleh Malaysian Global Innovation & Creative Center (MaGIC), Buy For Impact Market menampilkan pelbagai jenis peniaga tempatan dimana sebahagian keuntungan mereka akan disalurkan bagi membantu mereka yang rentan. Lebih kurang 40 peniaga akan terlibat dalam acara ini. Selain itu terdapat banyak aktiviti untuk anda untuk diisi sepanjang hujung minggu. Terdapat juga persembahan dari 17 pemuzik tempatan yang akan menghiburkan pengunjung serta bengkel yang menarik untuk anda semua.

Tiada tiket masuk yang akan dikenakan tetapi pengunjung perlu membuat bayaran jika berminat untuk menyertai bengkel yang dijalankan. Namun begitu, tempahan awal bagi membeli tiket perlu dibuat di Eventbrite bagi pengesahan kehadiran. Maklumat lanjut boleh didapati di laman Instagram mereka.

Alam Dan Manusia Galeri Z (Sehingga Mac)

Kebiasaan setelah membeli karya seni, lukisan tersebut akan terus disimpan dan jarang sekali ia dipamerkan untuk umum kerana ia telah menjadi hak milik persendirian. Namun kebelakangan ini, terdapat trend baharu dimana para pengumpul seni kini telah membuka muzium mereka sendiri bagi mempamerkan koleksi mereka. Hal ini juga tidak asing bagi antara pengumpul seni tersohor Malaysia, Zain Azhari (atau lebih dikenali sebagai Pak Zain) dengan Galeri Z beliau.

Peluang untuk melihat koleksi Pak Zain perlu diambil kerana karyanya yang telah dikumpul sejak dari tahun 1960-an lagi. Dengan Alam dan Manusia, dia melihat kembali bagaimana seniman dalam koleksinya mengkaji hubungan manusia dengan alam di tanah tropika ini.

Pameran ini akan berlangsung sehingga 31 Mac dan lawatan adalah berdasarkan temujanji sahaja di Galeri Z, Setiawangsa, Kuala Lumpur. Temujanji boleh dibuat di z.galeri.35@gmail.com dan hanya lapan orang sahaja boleh melawat dalam satu masa. Maklumat lanjut boleh didapati di laman Facebook mereka.

Berikut adalah sedikit sebanyak aktiviti yang bakal berlangsung dan kami harap ini dapat membantu anda dalam memilih serta mengisi hari minggu anda dengan aktiviti bermanfaat. Sampai berjumpa lagi di BASKL Pick minggu hadapan.

Gambar yang dipaparkan diatas: Pameran Alam dan Manusia yang berlangsung di Galeri Z sehingga Mac.
Foto: Facebook Galeri Z.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites