Barehands Residency merupakan sebuah program mandiri ikhtiar daripada seniman-seniman sekitar Asia Tenggara
teks oleh DANIAL FUAD gambar oleh A.P Art Gallery
Program residensi seni merupakan satu perkara yang dapat membantu seniman dalam mengembangkan praktik seni mereka. Terdapat pelbagai jenis program residensi disediakan di dalam dan juga luar negeri dengan bermacam tujuan dan tempoh masa. Kebiasaannya, program residensi seni akan menerima seniman daripada luar negara ke tempat mereka seperti kolaborasi antara Khazanah Nasional dan Acme Gallery, London. Terdapat juga program residensi seperti di Rimbun Dahan yang menerima seniman tempatan meluangkan masa di tanah mereka yang seluas 14 ekar!
Tidak hanya melibatkan badan-badan besar, program residensi seni juga dijalankan oleh organisasi kecil malahan individu persendirian juga mampu menjalankan program ini. Program Southeast Asian Residency Exchange oleh HOM Art Trans dan juga program residensi Rumah Seni Selangor adalah antara contoh organisasi kecil yang mengadakan program residensi.
Kebiasaannya, seniman menyertai program residensi seni untuk lebih mendalami kawasan setempat residensi mereka serta meluaskan rangkaian dengan seniman baru. Pelbagai program akan diisi bagi seniman yang menjalankan program residensi. Akan tetapi, terdapat juga program residensi yang lebih bersifat berdikari di mana seniman lebih meneroka kawasan setempat dengan sendiri.
Permulaan
Barehands Residency merupakan satu contoh yang baik di mana program ini lebih bersifat berdikari semenjak penubuhan mereka pada tahun 2010. Terasas di Akaldilulu, studio bagi seniman cetakan kayu sohor Malaysia, Juhari Said, beliau telah menyatakan, “Ia terbentuk tanpa perancangan yang khusus tetapi berdasarkan persahabatan yang erat dan persefahaman yang tinggi.”
Begitulah bagaimana Barehands Residency telah bermula dengan seniman daripada Jordan, Aneees Mani yang telah meluangkan tiga bulan di Akaldiulu. “Pada 2014, saya telah menjemput Mamoru Abe artis daripada Jepun bergabung bersama saya dan Anees Mani,” tambah Juhari lagi.
Begitulah bagaimana sebuah persahabatan yang akrab dapat menghasilkan sebuah program residensi yang berpanjangan sehingga program ini telah membawa Juhari ke Jordan untuk program residensi di sana pula. Pertukaran budaya seperti inilah merupakan nadi bagi program residensi.
Pemanjangan program
Selepas Jordan, Barehands Residency ini telah berjaya dijalankan di Bandung dengan penyertaan 19 seniman daripada Filipina, Malaysia, Jepun, Jordan dan juga Indonesia. “Kami ke Bandung atas jemputan Setiawan Sabana dari Institut Teknologi Bandung untuk berpameran di Gedung Yayasan Pusat Kebudayaan Bandung,” ulas Juhari.
Berkembang daripada 19 hingga 21 seniman dari negara yang sama sebelum ini, kumpulan tersebut telah bergerak ke Jepun pada tahun 2016. Mereka telah membuat kerja di Fukuoka University of Education dan mempamerkan hasil kerja mereka di beberapa tempat iaitu Gallery Ashiya, Chinkokuji Temple, Gallery Ogata, Uku Gallery dan Tetra Art Space.
Bagai sirih pulang ke gagang, program ini telah kembali ke Malaysia pada tahun 2018; 8 tahun selepas penubuhannya dan menjalankan pameran siri terakhir mereka di Balai Seni Negara. Kali ini ia berjaya mengumpulkan 28 seniman daripada negara yang sama sebelum ini untuk berganding bahu menyiapkan pameran berkumpulan mereka seiring dengan tujuh pameran tunggal seniman terlibat.
Sifat berdikari sebagai teras
“Barehands Vol. ii pula bergerak dengan sifat yang lebih molekul. Peserta terdahulu digalakkan menjana kelompok kecil untuk mencari kemungkinan baru,” ujar Juhari. Dengan pemahaman sebegini, para peserta program sebelum ini menjalankan bermacam program tersendiri. Seniman muda dari Indonesia, Budi Adi Nugroho dengan kerjasama Shin Asato dari Jepun telah mengorak langkah pertama siri kedua program ini di Pulau Okinawa.
Terdapat pelbagai lagi program seperti pameran Barehands/Barefooted di Ukur Gallery, Barehands Art Project for kids in the forest Akama dan juga Barehands Raw di Wei-Ling Contemporary. Juhari menambah, “sebagai penutup Vol. ii, Barehands ke Bandung dalam projek residensi Cisanti 18 bersama Institut Teknologi Bandung.”
Barehands Vol. iii
Setelah 13 tahun penubuhan program ini, projek Barehands kembali pada tahun 2023 di mana Akaldiulu telah membuat kerjasama dengan A.P Art Gallery serta Uku Gallery Fukuoka. Jika sebelum ini sarat dengan peserta, program kali ini lebih mesra dengan hanya seorang peserta sahaja. Seniman 31 tahun daripada Fukuoka, Kieta Ando telah dijemput untuk meluangkan tiga bulan di studio Juhari, Akaldiulu di Hulu Langat.
Menurut Juhari, “beliau saya kenali ketika berkunjung ke Fukuoka pada 2017 dan 2019. Sememangnya kebanyakan jemputan datang dari pertalian persahabatan yang baik dan akrab.” Tentulah perkara sebegini hanya mampu terhasil daripada jalinan yang terhasil daripada program awal residensi ini.
Amatlah menarik apabila melihat sinergi yang dijanakan oleh Juhari bersama Ando walaupun jurang usia mereka adalah hampir tiga dekad! “Dalam program ini, kefahaman yang tinggi kepada pendidikan, persahabatan serta sifat mandiri amat diutamakan,” ujar Juhari. Perkara tersebut penting kerana boleh dikatakan pengurusan program ini dilakukan secara persendirian sahaja.
Penutup tirai
Setelah tiga bulan di Akaldiulu, tibalah masa untuk mempersembahkan hasilnya dengan sebuah pameran. Diberi judul Burn and Rotting, karya-karya Keita Ando telah dipamerkan di A.P Art Gallery di Melawati daripada 23 Julai hingga 30 Ogos lalu. Dapat dilihat pengaruh peluangan masa di tanah seluas empat ekar tersebut dalam karyanya melalui pemilihan subjeknya.
Terdapat cempedak busuk, latar belakang hutan malahan terdapat interpretasi tentang makhluk dalam karyanya di mana ia merupakan apa yang terdapat di persekitarannya. Penulis meninggalkan rencana ini dengan akhir kata dari Juhari, “Residensi Barehands ini mengembangkan praktik seni seseorang dalam suasana yang berbeza. Dengan bertemu para seniman, belajar kemahiran baru dan meluangkan masa di lokasi baharu yang mempesonakan, program residensi meluaskan kesedaran budaya, menghangatkan pertukaran berbilang lapisan dan membenarkan peserta tenggelam dalam suasana yang sangat berlainan.”
Perkara-perkara tersebut merupakan satu benda yang penting dalam sesebuah residensi dan Juhari telah meringkaskannya dengan sangat baik. Barehands Residency ini telah direalisasikan dengan kerjasama di antara A.P Art Galery, Akaldiulu dan Uku Gallery, Fukuoka. Di samping itu, ia juga disokong oleh Japan Foundation Kuala Lumpur, MyCreative Ventures dan juga Manggis Group.